Wednesday, January 30, 2013

KABUS PUTIH DI LALUAN PUAKA


Hari itu panas betul. Rumah aku tiada air-cond. Biarpun proposal telah berkali-kali kami hantar supaya ayah memasang satu penghawa dingin di rumah lama, rumah kami luangkan zaman kanak-kanak kami, ternyata gagal.

Alasan, jangan membazir elektrik. Nanti menambah global-warming. Haish. Kejam.

Jadi aku dan Jah ambil keputusan untuk keluar window-shopping. Selain jalan-jalan kat tempat berair-cond, kami juga memasang niat untuk cuci mata.

Petang itu kami juga janji dengan ibu, yang kami akan pergi jenguk mereka di kampung.

Di pendekkan cerita, jalan punya jalan, tidak sedar masa berlalu, dan jam telah pun menjangkaui pukul 8.30 malam. Seperti sebelum ini, saya pernah bercerita mengenai laluan ‘istimewa’ yang perlu kami ambil untuk sampai ke kampung halaman. Di sini.

Dah ramai yang memberi amaran. Kalau boleh jangan ambil laluan itu apabila malam tiba.

Penduduk kampung itu pun tidak akan keluar melalui laluan itu jika tidak terpaksa. Namun, bagi kami, nasi telah pun menjadi bubur. Sama ada mahu atau tidak, terpaksa kami telan juga hakikat itu.

Salah sendiri apabila membiar masa berlalu tanpa disedari.

Walaupun ada perasaan sedikit takut-takut, tapi aku gagahkan juga mengambil laluan itu memandangkan aku tidak memandu seorang. Jah ada menemani aku malam itu.

Hati ada sedikit lega dan bersyukur apabila dapat melihat, kiri dan kanan jalan, banyak kereta yang lalu lalang. Memandangkan malam ini, malam minggu, mungkin ramai yang keluar jalan-jalan macam kami juga.

Namun begitu, itu tidak mengubah keadaan kampung itu. Entah di mana masalahnya, walaupun laluan ini dikatakan laluan utama ke sebuah pusat peranginan terkenal di negeri ini, laluan itu tidak banyak diletakkan lampu jalan. Boleh dikatakan juga, hampir tidak ada lampu jalan.

Jalan itu hanya diterangi oleh lampu dari kenderaan yang lalu-lalang disitu.

Kebetulan, ketika aku memandu melalui hadapan sebuah rumah banglo putih di kiri jalan, hanya terdapat kenderaan kami sahaja yang berada di situ.

Kereta di bahagian belakang jauh dari kereta yang dipandu aku (kereta lain ditinggalkan akibat aku yang memandu laju).

Jalan di hadapan gelap gelita.

Mata aku memang lemah kalau memandu malam. Ada sedikit kabur dan jarak pandangan aku terhad. Maka, demi mendapatkan pandangan yang lebih jelas aku memandu sambil merapatkan badan ke hadapan rapat pada stereng kereta. Jarak permandangan aku hanyalah lebih kurang jarak pandangan lampu kenderaanku.

Tiba-tiba terdapat sebuah kereta menyalakan lampu tinggi ke arah kereta aku. Akibat silau dek cahaya tersebut aku turut menyalakan lampu tinggi kepada kenderaan tersebut.

Sebaik sahaja kereta itu lepas dari pandangan kami dengan laju, aku mengalihkan semula perhatianku ke hadapan kereta. Namun ketika itulah aku dikejutkan oleh sesuatu.

Aku ternampak ada sesuatu objek berdiri di hadapan kereta ku. Tapi akibat sudah terlalu dekat, aku tidak sempat menekan pedal brek, lalu aku melanggar objek berkenaan.

Shush!

Kereta ku sedikit bergegar.

Serta-merta badanku tersandar ke kerusi dengan kaki kiri menekan sedikit pedal brek. Aku tidak berhenti, namun kelajuan kenderaan semakin perlahan.

Aku sedar, aku dah berlanggar dengan sesuatu tapi kereta aku dapat menembusi objek itu.

Seperti melanggar kabus atau asap. Tapi ia mempunyai bentuk.

Bentuk seperti seorang perempuan sederhana tinggi memakai telekung berdiri di tengah jalan.

Muncul betul-betul dihadapanku. Betul-betul di hadapan lampu kanan kereta aku.

Mana sempat brek!

Jantung aku berdegup dengan pantas. Aku ingat nak meletup dah jantung aku. Aku langgar orang?

Aku pandang cermin sisi kereta, jika betul aku melanggar seseorang, mesti dia sudah terbaring di jalan sekarang.

Tetapi tiada. Jalan kosong. Lampu dari rumah banglo putih di kiri jalan menunjukkan jalan itu kosong. Tiada orang mahupun objek yang berada di tengah jalan ketika itu.

Kereta yang mengekori kami juga sudah tiada. Walaupun merasa sedikit terkejut dan bimbang, aku teruskan juga perjalanan untuk sampai ke rumah. Pedal minyak aku tekan laju semula.

Jah yang duduk di sebelahku membatukan diri. Seperti aku, Jah juga senyap tanpa reaksi.

Aku rasa dia sedang mendengar dengupan jantungnya sendiri sambil membuat penafian dalam hati yang kami tidak melanggar apa-apa.

Aku tahu aku melanggar sesuatu tapi aku tahu juga bukan orang yang aku langgar. Kalau tidak, pasti kereta aku tidak boleh dipandu ketika ini.

Kalau tidak, pasti aku dapat mendengar bunyi dentuman yang kuat. Impak kelajuan kereta yang melanggar sesuatu objek seperti manusia atau objek pejal, pasti akan mengeluarkan bunyi yang kuat.

Pasti ada kesan kepada kereta ku. Namun aku hanya mendengar bunyi yang sedikit pelik dan keretaku cuma bergegar sedikit.

Tiada impak yang kuat pun. Bunyi enjin juga kedengaran seperti biasa. Tiada yang luar biasa.

Sepanjang perjalanan selepas itu, aku dan Jah senyap, tidak berkata apa-apa. Tidak ada seorang pun yang bersuara. Radio, aku biar terpasang perlahan.

Menutup debaran dalam hati. Takut-takut terdengar bunyi pelik lagi.

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku keluar memeriksa kereta aku.

Tiada apa. Calar pun tiada. Kesan kemek pun tiada. Bersih.

Masuk sahaja dalam bilik, aku mula membuka mulut.

“Jah, masa kita lalu kat Kampung S*** R***** tu, kau perasan tak aku ada langgar something?”

“Perasan. Aku ingat kau yang tak perasan. Sebab tu aku senyap je dalam kereta tadi.”

Persoalan sama yang keluar dari mulut kami.

Hari ini panas terik. Malam ini juga panas dan kering.

Mana datang kabus? Mana datang asap? Asap berbentuk muncul di tengah jalan?

Bunyi tu? Datang dari mana kalau bukan dari perlanggaran dengan kabus itu?

Kenapa kereta aku nak bergegar pula sedangkan ianya hanya berlanggar dengan kabus nipis?

Jah turut membuat pengakuan yang dia dapat mendengar bunyi itu dan merasakan kereta kami bergegar.

Sehingga hari ini, setiap kali aku dan Jah melalui jalan itu, pasti tempat itu kami ingat. Pasti kisah-kisah yang pernah kami dengar sebelum ini, terungkit bersama. Berkaitan dengan laluan ini.

Kaitan yang sama. Banglo putih di kiri jalan dan kawasan perkuburan di kanan jalan.



No comments: