Musim peperiksaan di UiTM memang mencabar. Tambahan pula
dalam fikiran, CGPA nak kena top up naik. Takut-takut sangkut, kena buang pula.
Silap haribulan grad dengan pointer rendah. Hish.
Naya!
Cerita bermula pada malam kelmarin dulu, beberapa tahun yang
lalu. Sudah hampir 3 jam aku terkebil-kebil atas katil tak boleh tidur.
Sebelum tutup lampu ngantuk nak mampus. Bila dah tutup ni,
tak boleh tidur pula. Roommate di katil sebelah dah lama berdengkur comel.
Pusing kiri. Pusing kanan. Duduk. Baring balik. Peluh dingin
memercik di dahi. Belakang badan dah peluh.
Rasa seram sejuk.
Aku pusing pandang Len yang tengah sedap tidur. Kenapa la
awal sangat dia ni tidur? Keluh aku dalam hati.
Tapi roommate aku ni sangat sporting dan baik. Aku ingat
lagi minggu tu, dah beberapa malam aku tak dapat tidur malam. Semua gara-gara
minggu studi. Kebetulan, subjek sem akhir ni memang mencabar minda. Len tetap
sabar dan senyum mendengar keluhan aku.
Malam itu malam Selasa atau Rabu. Yang pasti bukan malam
Jumaat. Bilik dah gelap. Suasana blok itu pun dah sunyi. Mungkin semua sedang
tidur atau sedang khusyuk studi.
Budak bilik depan yang tadinya terdengar suara sembang
telefon pun dah senyap. Hati makin debar-debar. Berpeluh sakan dahi aku.
Last-last aku bangun buka lampu meja studi aku. Usaha aku sia-sia.
Tetap tak boleh tidur.
Setengah jam lepas tu, aku buka lampu meja studi Len pula.
Dalam hati terasa kesian roommate aku ni. Mesti tak lena gara-gara perangai aku
yang tak munasabah ni.
Tapi tak boleh buat apa. Aku tetap tak boleh tidur. Dan Len
tetap baik.
LENA je.
Aku tengok jam. 330 pagi. Tak boleh jadi ni! Esok ada kelas
tambahan pukul 9 pagi!
Dengan menebalkan muka walaupun tak ada siapa yang nampak
aku pergi ke katil Len.
“Len, aku nak tidur dengan kau, boleh?” aku sentuh lembut
bahunya.
Len buka mata sedikit kemudian mengenjak sedikit rapat ke
dinding. Tanpa berkata apa-apa dia membenarkan aku tidur disebelahnya. Dah
dapat tidur sebelah Len, lain pula kerenah aku timbulkan.
PANAS PULA!
Biarpun kipas ligat berputar, aku tetap panas. Aku mengeluh.
Aku pandang ke arah meja studiku. Kosong. Yang ada hanya cermin.
Cermin yang menghadap tingkap. Aku pejam mata aku
rapat-rapat. Aku tutup telinga aku kejap. Bagi aku cermin itu menakutkan.
Walaupun tak nampak apa-apa.
Akhirnya, entah pukul berapa, aku terlelap juga. Tapi tak
lama sebab aku tersedar bila jam henfon menyalak dan menunjukkan jam 6 pagi.
Aku bangun kembali pada katil milik aku dan sambung tidur.
Tidur-tidur ayam. Len bangun. Aku ikut sekali. Tak nak pergi toilet sorang-sorang!
Aku tanya Len, dia sedar tak aku kejut dia malam tadi. Dia
geleng.
“Kenapa ko kejut aku?” soalnya. Sah! Dia tak sedar aku tidur
sebelah dia malam tadi.
“Ye ke? Tak pelah. Tak kisah pun,” itu jawapan yang keluar
dari mulut Len bila aku ceritakan padanya perihal kerenah ku. Aku garu kepala.
Hairan.
Macam mana dia boleh tak sedar sedangkan dia menginjakkan
badannya memberi aku ruang tidur di sebelahnya?
Nak dijadikan cerita, akibat ketakutan yang aku alami itu,
tidak diketahui puncanya, aku telah menjemput 2 rakan baikku Ros dan Linda buat
‘party’ studi di bilikku.
Dengan harapan, lagi ramai lagi best. Meriah. Tak takut.
Dengan berbekalkan muka cute dan aksi manja, dua rakan yang
baik hati itu bersetuju untuk studi bersama dan tidur di bilik aku walaupun
kolej diorang jauh lebih selesa dan terletak di atas bukit.
Untuk memujuk mereka dan menyatakan kenyataan bahawa bilik
aku pun seronok, aku sediakan extra minuman dan belanja mereka makan burger Ramly
special. Ada tambah‘cheese’ lagi. Heh!
Biarpun ‘party’ makan best, kami tetap buat ‘party’ studi. Kami
memang belajar.
SUNGGUH-SUNGGUH. Sampai jam 2 pagi.
Oleh kerana aku banyak lagi tidak studi berbanding Ros,
Linda dan Len, aku meneruskan studi semasa masing-masing sudah mengadu
mengantuk. Mahu tidur. Mereka janji nak bangun semula jam 5 pagi sambung studi.
Aku angguk. Tapi aku belum rasa mengantuk. Malam itu segar
pula mata aku. Adakah sebab tidur siang? Heh!
Jam waktu itu, pukul 230 pagi. Aku duduk di meja studi yang
menghadap tingkap.
Tingkap sengaja dibuka sejak siang untuk mengudarakan bilik
ini. Maklumlah keadaan yang padat boleh mendatangkan kepanasan. Namun langsir ditutup kerana kalau tidak
pemandangan hutan belukar pasti kelihatan tidak berapa jelas ketika ini.
GELAP DAN GULITA.
Ros dan Linda sudah terlelap sewaktu aku menoleh ke arah
mereka yang studi di atas lantai bilik. Len sudah terlena meniarap atas
katilnya dengan buku terbuka di hadapannya.
Aku panggil nama seorang demi seorang. Hmm.
Senyap. Seorang pun tidak menyahut. Walaupun lampu bilik
masih terang benderang, depa tetap lena. Letih kot noh!
Aku kembali kepada buku yang aku baca. Aku tidak ingat
subjek apa. Tapi yang pasti ianya berbahasa Inggeris.
Tak sampai sepuluh minit, aku rasa kesian pula pada
member-member yang telah lena tersebut. Ingat nak pergi tutup lampu. Aku guna
lampu meja studi sudahla, ye tak?
Baru sahaja aku hendak bangun, tiba-tiba aku terdengar satu
bunyi pelik dari luar tingkap bilikku yang terbuka itu.
Bunyi seperti orang sedang bernafas. Kuat dari sebalik langsir.
Aku duduk kembali. Aku rapatkan telinga ku ke arah rakan
yang sedang tidur.
Tenang sahaja. Sikit pun tidak berbunyi.
Aku jadi pelik. Kemudian, aku dengar lagi. Seperti tadi.
Aku yakin. Bunyi itu datang dari luar tingkap. Di sebalik
langsir yang tertutup itu. Tangan kananku sudah mahu bergerak menyelak langsir.
Mahu melihat apa yang menyebabkan bunyi nafas itu.
Tapi fikiran aku menahan. Kalau aku selak langsir itu, apa
akan jadi pada aku? Aku pandang semula ke arah rakan-rakan ku.
Bukan mereka. Aku pasti! Mereka tidur jauh sedikit dari
kedudukan aku yang membelakangi mereka. Sedangkan bunyi nafas itu benar-benar
datang dari luar tingkap di hadapanku.
Sekali lagi, hati aku meronta-ronta mahu menyelak langsir
itu. Semata-mata mahu mencari punca bunyi itu. Jari jemari sudah memegang kain
langsir yang berwarna biru itu.
Sekali lagi juga, fikiran aku melarang.
Dan hati aku berkata, ko biar betul, Nad. Bilik ko ni
tingkat 1. Siapa pula nak panjat sampai tingkat satu semata-mata intai ko ni?!
Aku juga hairan dengan diri sendiri. Aku kan penakut, kenapa
beriya-iya mahu melihat keluar tingkap? Adakah desakan kuasa ‘mereka’?
Lantas selepas menyedari hakikat itu, segera aku bingkas
bangun dari meja studi dan bergerak menuju kepada dua rakanku yang sedang tidur
di lantai.
Aku tidur di tengah mereka sambil pejam mata kuat-kuat.
Akibat bunyi tolakan bunyi kerusi yang kuat, Len terjaga. Berkeriuk
bunyi katil yang bergerak mengikut gerakan Len. Aku buka sedikit mataku.
Len pandang aku. Aku pandang Len. Ada nada hairan pada
pandangan matanya.
Nasib dia faham. Tanpa banyak soal, dia bangun tutup lampu.
Serta merta bilik gelap. Kemudian, dia kembali ke katil.
“Esok kau cerita kat aku ye?” katanya tenang. Aku hanya
angguk sambil tutup mata. Tak pasti Len nampak atau tak gelengan kepala aku tu.
Sambil berpeluh akibat takut dan tidur di celah-celah dua
manusia, aku masih terdengar bunyi nafas itu berdesir di sebalik langsir. Aku
ambil bantal, aku tutup telinga, peluk rapat lengan Ros.
* * *
“Weh Mak cik. Bangunlah! Subuh dah nak habis ni,” kejut Ros.
Aku menggeliat. Aku pusing kiri. Aku pusing kanan. Tinggal aku seorang saja yang
tidur atas lantai.
Aku tengok jam. 0700. Terbeliak mata aku!
“Cepatlah sembahyang. Aku dengaq hang ada citer baguih nak
habaq. Pi la sembahyang dulu,” ujar Ros. Len atas katil dah sengih-sengih.
Linda dah baring atas katil aku. Tersengih juga.
“Cepatlah!” gesa Linda. Ros menarik tanganku supaya bangun.
Tetap sengih-sengih macam tadi.
Hangpa sengih noh!Satgi aku cerita komfem hangpa tak boleh sengih
dah! Aku berkata dalam hati.
Memang betul sangkaan ku. Mereka tak sengih lepas aku buka cerita!
Len apatah lagi. Mau tak berdarah kalau aku toreh muka dia
time tu. Pucat!
Akibat dari cerita itu, seminggu aku dan Len tak tidur kat
bilik kami itu. Aku tidur di kolej Ros dan Linda yang terletak atas bukit itu,
manakala Len tumpang tidur dengan member bilik depan!
Kami tak kecoh-kecoh sangat. Tapi kerabat terdekat yang
tinggal di lorong itu taulah ceritanya serba sedikit sebab kami merata menumpang tidur. Hanya ada
di bilik tu, time siang atau sebelum pukul 10 malam. Selebihnya gelap. Senyap.
Kami keluar.
Satu hari, budak cantik bilik hujung tanya.
“Awalnya korang tidur. Tak studi ke?”
Sambil tersengih, kami jawab soalan itu, sepakat. Sama ja
jawapan kami.
“Kami tidur bilik member. Buat studi group,’ heehehe. Konon!
* * *
Kerabat terdekat semua ‘curious’ nak tahu sejarah bangunan
itu ataupun ‘bilik’ kami itu apabila mendengar pengalaman aku.
Aku pun ‘curious’ juga. Ada macam-macam versi keluar.
Satu, ada yang kata pernah terdengar makcik jual nasi lemak
tengah-tengah malam lalu lalang kat koridor kami yang panjang tu.
Dua, ada yang pernah dengar budak berlari kat koridor
itulah.
Tiga, ada budak bilik depan dengar bunyi tapak kasut orang
berjalan. Tapi tapak kaki itu hilang sebaik sahaja tiba di bilik kami. Ingatkan
kami ada di bilik. Nak pinjam satu pek Nescafe katanya.
Tup tup bilik gelap. Aku ingat lagi masa tu aku dan Len ada
sesi perbincangan assignment.
Siapa yang singgah bilik kami tu?
Nak kata orang berjalan pergi toilet, sedangkan bilik kami
bukan toilet. Toilet pun jauh. Ada selang lagi 4-5 bilik baru sampai toilet.
Hish!
Bila aku dengar, biaq betui hangpa ni!
Aku juga pernah mendengar, pegawal kolej ni bercerita,
mereka pernah ternampak kelibat wanita terbang di tingkat 2 melalui
tingkap-tingkap bilik pelajar, seawal jam 4 pagi. Aduh!
‘mereka’ itukah?
Patutla, malam sebelum kejadian tu aku tak boleh tidur.
Panas semacam.
Nak percaya pun susah. Tak percaya pun tak logik juga. Kalau
tak ada masakan aku sukar mahu tidur? Habis bunyi nafas dari luar tingkap tu?
Aku tak tidur lagi. Mengantuk pun tak. Sebab aku dah tidur siang tu.
Len dah garu kepala. Dia ni jenis tak suka menempel kat bilik
orang lain. Lainlah aku. Kaki menempel. Hah!
Aku dan Len sepakat. Apa nak jadi jadilah. Makin lama kami
makin malas nak fikir akan ketakutan itu.
Len lah paling berani. Aku respek sama dia. Hari-hari baca
Yassin. Aku balik bilik bila jam dah 8 pagi. Walaupun Len masih lena, aku tahu,
dia tidur seorang dalam bilik itu.
Akibat rasa bersalah, akhirnya aku cuba beranikan diri
menerima hakikat yang aku dah berselisih dengan ‘mereka’. Tapi walau macam mana
pun ‘mereka’ usik aku, ini bilik aku!
Tak caya, tanya mak cik pengurus asrama itu. Kami dah
berdaftar secara rasmi sebagai penghuni bilik tersebut.
‘Mereka’ ada?
Akhirnya, setelah berminggu-minggu tidak mempedulikan
keadaan itu, dengan mematuhi peraturan sendiri untuk menutup tingkap sebelum
maghrib, dan mengaji tanpa jemu, gangguan tersebut pun hilang.
Kami dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan jayanya.
Terima kasih kat member bilik depan gak, sebab bersabar dengan kerenah kami,
terutamanya aku. Nak pergi buang air sama-sama, basuh baju sama-sama, nak gosok
gigi pun sama-sama. Pukul 3 petang pun ajak teman yang paling tak boleh blah
tuh!
Haish!
Woi! Aku kat dalam! Kat luar dok main jauh-jauh!
Nota tambahan : Terima kasih buat rakan yang mengajar
ketabahan kepada aku >> love send out to Bai, Pau, K.G, Fery, Lenny, Ros
& Linda!
No comments:
Post a Comment