Saturday, July 7, 2012

KEM JAMBORI SG BATU PAHAT - MALAM HARI



Aku tidak ingat tahun bila tapi sekitar 2000-2002 peristiwa ini dialami oleh aku dan kawan-kawan geng ‘pengakap’ yang diketuai oleh Aie, si Pengakap Raja merangkap  ketua kem jambori peringkat negeri Perlis. Ketika itu aku dan geng, Rena, Shuda, Ara, Hani dan Roya  bertugas di bahagian makanan.

Malam kejadian adalah malam kedua kami di tapak perkhemahan yang terletak kira-kira 1 km dari Sg. Batu Pahat, Perlis. Dek kerana nak bagi kami yang berumur 20 tahun ini berseronok selepas bertungks lumus memasak, Aie benarkan kami menyertai satu aktiviti yang direka khas bagi kami remaja dewasa. Heh! Iaitu Jalan Malam.

Setelah memastikan semua kanak-kanak riang duduk di dewan untuk acara bersama orang-orang ‘besar’ kami yang tidak berapa besar ini boleh buat aktiviti ‘suka hati’. Tanpa menunggu lama, kami telah siap sedia, tidak sabar memulakan ekspedisi kami yang tidak dirancang ini. 

Sebelum memulakan aktiviti, selaku ketua yang berdedikasi, Aie meminta kami mengira dengan kuat, bagi menentukan berapa ahli yang mengikut ‘rombongan’ ini.

Dengan semangat yang membara dan torchlight di tangan, kami pun menjerit menyebut nombor masing-masing. Setelah siap, terdapat 26 orang semuanya.

“Jalan berpasangan!” Jerit Aie dengan penuh semangat, sebab kami semua syok bersembang.

Kami telah di ‘briefing’ oleh Saman, seorang pakar jalan malam dan merupakan penduduk tempatan yang telah mengenalpasti laluan kami untuk malam ini pada sebelah siang tadi. Kami diingatkan agar berhati-hati dengan batu di jalanan dan anjing yang menjaga kilang batu di tengah perjalanan kami nanti.

“Di dusun nanti pun sama. Banyak anjing duduk dalam belukar.” Terang Saman.

Okey! Jerit kami penuh semangat. Aku berjalan berpasangan dengan Hani, manakala 2 kawan baik ku,  Rena dan Shuda, berjalan di belakangku. Setelah semua sedia, kami pun memulakan perjalanan yang penuh dugaan ini.

Kami diberitahu akan memasuki satu kawasan dusun buah-buahan dan kebun getah milik penduduk tempatan. Jalan lurus yang kami lalui untuk sampai ke dusun tersebut berakhir di kawasan perkelahan Sg Batu Pahat, tapi kami tidak berjalan sampai ke sana.

Keadaan yang gelap dan suram serta tiada cahaya bulan, berjaya membuatkan hati ini berasa sedikit gusar. Malam itu juga, agak panas. Tiada angin.

Seperti yang sudah diberitahu semasa kami melalui kawasan di hadapan kilang arang batu, segerombolan anjing seramai 4 ekor, menyalak ke arah kami dengan kuat.

Terasa bulu roma menegak bila terdengar mereka menyalak sebegitu. Nasib kami baik, mereka berada di dalam pagar yang berkunci.

Kemudian ternampak pula sekumpulan 4 orang berjalan secara beriringan lagak seperti samseng.  Jantung kami berdebar. Aie mengarahkan kami berhenti seketika untuk mengira ahli kumpulan. Seorang demi seorang mengira dengan kuat. Sampai yang terakhir, 26.

Kami meneruskan perjalanan dan kami telah ditegur oleh ketua kumpulan itu. Rupanya mereka adalah penduduk kampung yang sedang membuat rondaan malam.

“Kami pengakap dari Kem Pengakap sana tadi. Kami mahu jalan malam di dusun durian depan tu,” ketua mengangguk tanda faham dengan penjelasan Aie.

Aku memandang ke arah dua lagi ahli JKKK itu. Mereka memandang kami dengan serius tanpa senyuman. Dalam hati ku berkata, kami bukan buat salah pun. Kenapa serius sangat ni? Tapi aku diamkan sahaja.

Takut tercakap benda bukan-bukan. TAK BAIK. KITA KAT TEMPAT ORANG. Pesan Aie.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke satu lorong berupa satu lorong tidak berturap namun, kereta pun boleh melaluinya. Menurut Saman, kami hanya perlu jalan terus kerana tiada lorong mahupn jalan bersimpang yang perlu kami lalui.

Sebelum masuk ke jalan denai itu, kami kira dahulu ahli kami supaya kami tidak kehilangan sesiapa.
Kali ini kiraan kami berhenti pada angka 27.

Aik? Mana datangnya lagi seorang? Tapi seorang pun tidak merasa pelik kerana aku sendiri, mungkin tadi, Aie, tidak mengira dirinya sendiri. Aku rasa yang lain pun berfikiran seperti itu. Seorang pun tidak berkata apa-apa.

Mungkin teringat pesanan Aie.

Oh okey, betullah tu, tak kisahlah. Janji tidak ada sesiapa yang hilang, fikir kami.

Aku dengan Bismillah dan torchlight di tangan, berjalan dengan senyap sambil memerhatikan keadaan sekeliling dusun menggunakan bulan mengambang yang terang. Cahaya lampu aku sorotkan di tanah tempa kami berpijak, takut terseradung batu yang besar.

Keadaan sekeliling dusun ini benar-benar seperti di dalam hutan yang tebal. Pokok berdahan tinggi, belukar yang tebal dan bunyi unggas-unggas sana sini membuatku bertekad. Apa pun aku tidak akan tegur, walaupun dalam hati.

Setelah  beberapa minit berjalan, kami ternampak satu pondok menunggu durian yang sempurna.  Seperti rumah lagaknya, namun gelap. Tiada orang menunggu durian nampaknya malam ini.

Kami berhenti seketika di tepi pondok itu sambil seorang bersuara mengingatkan kami agar mengecam bentuk dan kedudukan pondok ini. Aku sedikit gusar kerana pondok ini menakutkan. Sekali lagi kami mengira ahli rombongan.

27 orang. Cukup. Kami teruskan perjalanan.

Makin lama aku menjadi semakin gusar. Ini adalah kerana keadaan dusun semakin gelap dan berangin. Tanda-tanda mahu hujan. Tambahan pula pasangan aku, Hani dia tidur sambil berjalan. Aduh.

Aku tengah takut ni, boleh pula dia tidur.

Selepas itu perjalanan menjadi sedikit sukar kerana laluan denai mulai tidak rata dan terdapat banyak lubang dan lopak-lopak yang perlu kami perhatikan agar kaki tidak terseliuh. Langkah kami makin lama makin laju, dek masing-masing mahu keluar cepat dari dalam dusun ini.

Tidak lama kemudian, kami ternampak satu pagar kayu di bahagian kiri kami. Aie, mengarahkan kami berhenti dan, seperti biasa kami diingatkan agar mengecam bentuk dan kedudukannya. Pada mulanya aku tidak mengerti kenapa kami harus berbuat begitu.

Ada perkara yang menanti kami rupanya. Dan pagar itu saksi yang amat penting.

Sekali lagi, kami mengira ahli rombongan.

Alhamdulillah, semua masih berada dalam kumpulan. 27 orang semuanya.

Sebelum kami mula melangkah, salah seorang dari kami mencadangkan agar bateri torchlight masing-masing dapat dijimatkan dengan setiap pasangan menggunakan satu torchlight sahaja agar kami tidak kehilangan sumber cahaya kelak.

Aku dan Hani berpakat agar lampu aku digunakan pada perjalanan balik nanti. Sekarang guna Hani punya. Tapi aku yang pegang. Sebab dia nak tidur.

Dugaan perjalanan kami bermula selepas kami bertembung dengan satu persimpangan di tengah-tengah dusun itu. Serta-merta langkah kami terhenti. Masing-masing mencari Saman.

“Aik, aku tak perasan pulak ada simpang ni siang satni. Aku jalan terus ja sampai keluar balik jalan besaq.” Jelas Saman.

Aku mulai rasa pelik. Rena dan Shuda yang berada di belakang aku turut pelik. Aku tambah gusar. Rasa tidak sedap hati.

Bila semua orang tidak berpuas hati dengan jawapan Saman, ini dia jawab.

“Macam mana siang aku boleh tak perasan pulak simpang ni, sedangkan malam ni nampak pulak,” jawabnya. Ada nada ragu-ragu pada suaranya. Menandakan dia juga kehairanan dengan keadaan itu.

Agak lama juga kami berhenti disitu. Disebabkan Saman kata dia tidak masuk kemana-mana simpang, maka kami semua bersetuju untuk mengambil jalan yang lurus. Sebelum berjalan, sekali lagi kami mengira ahli.

Asyik main kira-kira je kan?

Jam ketika itu sudah menunjukkan jam 12.30 malam. Setelah cukup 27 orang, kami berjalan ke hadapan. Kali ini Saman mengepalai rombongan yang tak berapa Cik Kiah ni. Destinasi jalan keluarnya tidak menampakkan batang hidung.

Jejaka-jejaka belakang yang tadi dok sembang-sembang bab motor, mulai senyap. Menumpukan perhatian agaknya. Takut tertinggal.

Kawan sebelah aku ni pulak, bukan nak bantu. Aku pula disuruhnya memegang dan memimpin tangannya. Haish!

Aku sudah terdiam. Satu, sebab dah ponek. Dua sebab risau. Tiga, sebab tak nak cakap bukan-bukan. Empat, nak simpan tenaga sebab nak memimpin orang yang tidor. Hani, Hani.

Di sebelah kiri kami, aku ternampak satu kebun bunga yang tidak berpagar. Walaupun gelap tetap kebun bunga itu. Kemas, nampak seperti di jaga. Tapi dalam dusun pun ada orang nak tanam bunga kertas ke? Hairan tapi seorang pun tidak bersuara.

Atau, aku seorang sahaja yang nampak? Selalunya kalau ternampak perkara pelik, Aie akan mengarahkan kami berhenti mengira ahli. Kali ini tidak.

Beberapa minit kemudian, kami sampai ke kawasan padang yang luas, tapi penuh dengan belukar dan semak samun. Ia kelihatan seperti satu kawasan sawah padi yang terbiar dan tidak diusahakan. Nak dekat keluar dah ke ni? Ada nampak lampu jalan lagi. Tapi mana laluan denainya?

Di hadapan kami, JALAN MATI.

Dari jauh kedengaran suara anjing menyalak sayup-sayup. Aku cuma mampu berdiri dan terdiam. Sambil itu mata mencari-cari denai atau jalan keluar yang boleh dilalui.

Dah nak sampai jalan keluar dah ni, detik hatiku. Ada lampu neon, dan aku ternampak satu kawasan perumahan teres di sebelah kiriku.

Sekali lagi, Saman garu kepala.

“Tadi masa aku lalu ada ja, jalan denai terus sampai jalan besaq. Ka, kita tak nampak denai tu sebab gelap sangat?” bila dia tidak tahu, apatah lagi kami. Aie dan Anip bergerak ke depan. Mencari denai atau laluan jalan kaki.

Kemudian, seorang dari kami bersuara, aku tidak ingat namanya.

“Kalau kita redah, hati-hati ada ular dan anjing dalam belukar. Kena standby kayu. Macam mana? Atau kita semua patah balik?” semua terdiam mendengar kata-katanya. Masing-masing sedang memikirkan pilihan mana yang lebih selamat termasuk aku.

Aku rasa nak melawan anjing, memang kudrat aku tak mampu. Nak pukul anjing sambil bawa beban 50 kilo sebelah aku ni, tak mampu kudrat 42 kilo ni. Takut ada ular lagi. Kalau patah balik pun rasa ralat juga sebab dah jauh berjalan. Lampu pun dah malap. Tanda-tanda bateri dah nak habis.

Aku lihat kawan-kawan lain. Ramai dah terduduk keletihan. Ditambah pula dengan mengantuk. Aku jenguk jam sekali lagi. Satu lebih. Aku sorot cahaya sekelilingku.

Aku seolah-olah sedang berdiri atas batas sawah, di hadapan dan sebelah kanan aku hanya ada belukar tebal, gelap gelita. Ular pun tak nampak. Suara kedengaran anjing sayup-sayup.  Belakang aku, hutan belantara tebal dan gelap.

Namun, hati aku terdetik seketika apabila aku terpandang pemandangan belah kiriku.

Taman perumahan tu. Lampu neon menerangi deretan rumah teres itu. Walaupun kawasan ini kawasan kampung dan pedalaman, namun kawasan perumahan ini lengkap kemudahannya. Rumah berpagar, lampu pun terang. Semua menyala. Jalan besar yang kami lalui sebelum masuk dusun tadi tu pun tiada lampu neon yang terang seperti ini. Sedangkan ia menuju ke kawasan perkelahan yang terkenal di Perlis ini.

Aku juga ternampak beberapa buah kereta yang diparkir di hadapan rumah dan di tepi jalan. Satu perkara menarik perhatianku. Semua rumah di situ gelap. Seperti semua penghuni di dalamnya sudah masuk tidur.

Oh yelah. Dah lewat malam ni. Kami je masih terkial-kial mencari jalan keluar.

Emm, kalau teruskan, mungkin ada jalan keluar dari taman ni. Kalau sesat lagi,mintak tolong je makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang duduk di situ. Tapi ada ke masih yang terjaga? Lagipun, nak sampai ke taman tu, kami terpaksa menempuh belukar tebal yang dikhuatiri menjadi tempat tinggal sang panjang dan sang  kala.

Fikiran kata baik teruskan je. Dah nak sampai jalan besar ni. Namun hati kata patah balik.

Akhirnya semua berpakat untuk berpatah balik kerana ramai ‘girls’ dalam kumpulan ini yang terasa tidak mampu untuk melawan anjing liar tambahan pula peralatan yang tidak mencukupi. Saman pula menguatkan alasan bahawa dia tidak perasan ada kawasan perumahan ini siang tadi.

“Kita dah salah ambil jalan ni,” terangnya. Sudahnya, kami patah balik semula.

Baru je keluar dari hutan gelap gelita tu. Dah kena masuk balik? Aku menarik nafas dalam-dalam. 

Bismillah.

Dengan sisa tenaga yang sudah hampir habis, kami berjalan pantas. Semua dia. Rata-rata pasangan sudah kehabisan bateri torchlight. Ada di antara mereka yang hanya bawa satu, maka, bergelaplah mereka.
Berbantukan cahaya lampu torchlight aku dan beberapa yang sudah malap, kami berhenti di setiap lokasi penanda yang kami nampak tadi.

“Betul tak tadi kita nampak pagar ni?” soal Aie.

“Betul!” sahut kami ramai-ramai. Kami mengambil keputusan untuk duduk sebentar di sekitar pagar kayu itu. Setelah siap mengira diri sendiri, kami pun duduk berehat.

Kami semua di arahkan menjimatkan lampu yang tinggal. Lalu kami duduk dalam kegelapan sambil mendengar deruan angin dan bunyi unggas-unggas yang semakin lama kedengaran semakin pelik. Aku duduk di sebelah Rena.

“Tadi simpang tu kau nampak tak?” soal Rena.

“Nampak.” Kemudian aku diam. Bahagian belakang badanku sudah berpeluh. Terdengar Saman berbual dengan Aie dan Anip. Aku tidak dengar butiran dengan jelas. Tapi aku dengar suara Saman dengan jelas.

“Satgi sampai sana aku habaq.” Katanya. Selepas 5 minit, kami meneruskan perjalanan. Misi kami kali ini mencari pondok durian itu pula.

Alhamdulillah. Ada. Sama seperti tadi. Kami kira ahli. 27 orang semuanya.

Selepas pondok itu, semua lampu ditangan habis tenaganya. Mujur sudah hampir ke jalan bertar. Dengan cahaya bulan yang menjenguk sedikit, akhirnya kami berjaya keluar dari kawasan dusun itu.

Sebaik sahaja kaki kami menjejak jalan berbatu itu, kami berbaris untuk mengira ahli. Biar banyak kali kami mengira. Asalkan tiada satu pun antara kami yang tertinggal atau ‘diambil’ oleh ahli dusun.

Satu kenyataan mengejutkan melanda kami sebaik sahaja selesai mengira.

26 orang semuanya. Aku dan Rena saling berpandangan.

“Check pasangan masing-masing. Cukup tak?” jerit Aie, berjalan dari belakang ke hadapan. Memeriksa semua ahli kumpulannya. Mana la tahu kot-kot ada yang tertinggal.

“Cukup?” soalnya kuat.

“Cukup!” balas kami serentak. Setelah mendengar respon kami, pantas Aie kembali kepada pasanganya. Setelah sedia, tanpa menoleh ke belakang, kami melangkah laju pulang ke kem Jambori pengakap.

Masa itu seorang pun tidak bersuara. Yang terdengar hanyalah derapan kaki yang melangkah laju. Hani di sebelahku masih tertidur dan tidak peduli apa yang sedang berlaku. Sudahnya aku, Rena, Shuda dan Hani jalan beriringan.

Yang lain-lain sudah melintasi kami, tinggallah aku, Rena, Shuda memimpin Hani yang tidur dan Aie dan pasangannya berjalan belakang kami. 

Rasanya, kamilah belakang sekali. Mujur ketika itu teringat nak melihat kilang arang batu. Anjing ada, tapi sudah tidak menyalak. Hanya memerhatikan kami dengan pandangan kosong. Tidak seperti tadi.

Sampai sahaja dalam kawasan jambori, Aie mengarahkan kami semua beratur seperti mana kami berjalan keluar tadi. Oleh kerana masing-masing mahu cepat sampai di kem, barisan sudah berpecah. Maka, Aie meminta kami mengira semua ahli rombongan.

Angka akhir. 26. Sah!

Seorang demi seorang membuka cerita mengenai ‘ahli tambahan’ yang mengikut rombongan kami sampai tersesat dalam hutan tadi.

Ada yang kata ternampak lelaki tua berjanggut putih sebelum masuk persimpangan dusun itu. aku tidak berkata apa-apa kerana aku tidak nampak orang tua yang dimaksudkan oleh mereka.

Sudahnya kami terduduk beramai-ramai di bahagian dapur sambil mendengar cerita Saman.

Siang itu dia pergi memeriksa kawasan dusun itu dengan Anas menaiki motor. Perjalanan masuk ke dalam dusun itu, lancar sahaja. Naik motor 10 minit. Jadi, jalan kaki paling slow pun 20 minit, ujarnya. 

Namun perjalanan yang kami ambil lebih 3 jam. Mula jam 11 lebih, keluar dari dusun, selepas 2 pagi. 

Jalan denai itu, kereta pun boleh masuk katanya. Tapi sumpah dia kata tiada simpang apa-apa pun yang ada dalam dusun itu. semua itu hanyalah kebun dan dusun milik penduduk kampung.

Dusun durian, kebun tanaman pisang dan ladang getah. Tiada simpang.

“Bagaimana pula dengan kawasan perumahan tu?” soalku. Saman garu kepalanya.

“Weh, logik sikit kot. Kat sini kampung. Pedalaman pula tu. Mana ada rumah batu sebiji pun. Kalau tak percaya jom kita tengok esok siang. Aku tunjuk kat hangpa. Durian dengan pisang ja kawasan tu. Kat sini pun tak dak lampu jalan, nun kat kawasan tu ada pula lampu kemain banyak gi.” Katanya.

Serta-merta bulu roma aku tegak berdiri. Betullah. Bila ingat-ingat balik, deretan kereta yang aku nampak tu, kereta proton saga lama. Tahun 1982 punya keluaran. Kemudian, Fiat lama. Ayah aku pun dah campak lombong kereta tu.

Rakan-rakan yang turut mendengar, terdiam.

Betul jugak, cetus hatiku. Sudahnya malam itu kami tidur 4 orang berhimpit dalam satu khemah. Seorang pun tidak berani melepak diluar. Kami duduk berbual dalam khemah, sampai pagi.

“Mungkin simpang yang kita nampak berbukit sikit tu la, jalan yang betul. Entah-entah ‘orang tua’ tu la yang bawa kita jalan terus.” komen Rena. Aku terdiam. Taman bunga itu macam mana? Sampai sudah aku lupa mahu bertanyakan kepada mereka.

Biarpun telah pagi, pengalaman malam tadi tetap menhantui diriku. Kalau lah kami teruskan juga perjalanan, mungkin kami tiada di alam nyata pagi ini. Semasa dalam perjalanan pulang kami ke kampus, sekali lagi kami terkejut.

Benar kata Saman, dusun itu hanyalah dusun durian, kebun pisang dan ladang getah yang bersih. Tidak tebal dan tiada semak samun dan belukar tebal seperti mana yang kami lihat malam tadi. Jauh sekali ada kontraktor yang mahu membina kawasan perumahan perumahan teres di situ.

Alhamdulillah. Kami berjaya nampak jalan yang lurus.

Ambil nota : Kawan-kawan, korang nampak tak taman bunga malam tu? Betul-betul masa kita bertembung dengan simpang dalam dusun tu?
nuffnang_bid = "522b0151707d6b8429295d308f4d25f0";

No comments: