Monday, July 23, 2012

DI TEBING BUKIT - pada malam Raya



Menjelangnya bulan puasa ini mengingatkan saya kepada satu kisah yang terjadi pada hari Raya, kira-kira 4 tahun yang lalu. Seperti biasa, kami pulang ke kampung nenek yang terletak di Hutan Melintang, Perak. Kami menaiki 2 kereta kerana jumlah kami yang ramai.

Selepas bermaaf-maafan dengan orang-orang kampung dan sanak saudara di Sg Samak, kami sekeluarga pulang semula ke rumah di Pekan Gajah. Kerana pulang agak awal memandangkan masing-masing perlu memenuhi tuntutan kerja yang membernarkan kami bercuti selama 3 hari sahaja.

Malam ke 2 raya, kami pulang. Aku memandu kereta di hadapan membawa ayah dan ibu. Manakala Abang memandu kereta lagi satu membawa adik-adik yang lain.

Jam telah menunjukkan pukul 12.30 malam. Kami berhenti seketika di pekan lombong untuk mengisi minyak. Lalu aku, ayah dan abang berbincang.

Laluan mana patut kami ambil malam ini.

Kesemua laluan menuju ke rumah kami merupakan laluan puaka yang pernah aku ceritakan dalam blog ini.


Setelah berbincang selama 5 minit, kami membuat keputusan melalui jalan puaka 3 kerana laluan itu walaupun di kelilingi lombong dan terkenal sebagai tempat makan kerbau.

Ini adalah kerana laluan itu paling dekat untuk sampai ke rumah. Ayah kata, tak mengapalah. Kita ada dua kereta. Apa-apa hal kereta lagi satu ada.

Doa banyak-banyak. Pesan ayah lagi. Abang angguk. Aku pun angguk.

Setelah itu kami pun mulakan perjalanan balik menggunakan laluan yang telah dikenalpasti. Memang seperti dijangka.

Laluan ini gelap gelita. Namun tiada kerbau mahupun lembu yang datang mengalas perut malam ini.

Dengan kelajuan sederhana, kami berjaya melepasi laluan itu tanpa apa-apa gangguan. Yang aku pasti, ibu dan ayah cuba berbual di sepanjang perjalanan bagi memastikan aku tidak takut memandu.

Aku pandang cermin sisi. Abang memandu dengan jarak yang dekat dengan kereta aku. Mungkin aku perlahan atau dia tidak mahu kehilangan rentak yang sama dengan kereta aku.

Kami telah pun selamat keluar dari laluan puakan itu. kami meneruskan perjalanan menuju ke kawasan perumahan aku yang teletak kira-kira 10 kilometer dari laluan tadi.

Jam telah menunjukkan jam 1.15 pagi. Kiri kanan, rumah kampung sudah sunyi sepi.

Tiada lagi kelihatan pergerakan orang kerana dah lewat malam. Mungkin telah melelapkan mata kekenyangan.

Dengan kelajuan 80km/jam kerana mengantuk dan ingin cepat sampai ke rumah, kali ini kami dikejutkan dengan sekumpulan kerbau melintas jalan.

Hanya beberapa meter sahaja mahu sampai ke kawasan rumah kami.

Aku perlahankan kereta sambil memandang cermin sisi kereta.

Harap-harap abang sempat mem’brek’ kerana jarak keretanya yang hampir dengan kereta aku, membimbangkan.

Kereta ku pandu perlahan sementara memberi laluan kepada kerbau-kerbau itu berlari melintasi jalan dan hilang di dalam belukar di sebelah kiri jalan.

Aku perhatikan kerbau-kerbau itu. bentuknya yang gemuk dan besar, bertanduk dan mempunyai mata merah menyala. 6 ekor semuanya.

Dengan sekelip mata, bayang mereka hilang dari pandangan dan kami meneruskan perjalanan.

Buat seketika kami semua terdiam.

Sampai sahaja di pintu pagar rumah, aku terus pergi mendapatkan abang.

“Kau nampak tak kerbau-kerbau tadi?” soalku. Mahu memastikan bahawa bukan aku seorang sahaja yang nampak.

“Nampak,” balas abang pendek. Aku menarik nafas lega kerana selain aku dan ayah yang nampak, abang yang berada di belakang juga nampak kerbau-kerbau tersebut.

Maknanya tak peliklah kan?

Namun seketika kemudian aku terdiam. Langkah ku terhenti, menyebabkan adik yang sedang berjalan di belakang aku, terlanggar aku.

“Weh, janganlah berhenti tengah jalan,” katanya marah. Dia yang sedang mengantuk bengang dengan tindakan aku. Bukan apa, dia turut di perintahkan membawa beg-beg berat masuk ke dalam rumah.

“Ayah, bukan belah kiri jalan tadi tu bukit ke? Macam mana kerbau-kerbau tu boleh panjat? Cepat pula tu?” kataku. Aku berasa pelik kerana setahu aku laluan sebelah kiri adalah bukit. Tinggi dan dipenuhi belukar.

Adalah mustahil bagi seorang manusia, walaupun berkereta mahupun menggunakan jentolak untuk naik bukit itu apatah lagi sekumpulan kerbau yang banyak.

Kot ye pun kerbau boleh panjat bukit, tapi tidak akan sepantas 15 saat untuk naik ke atas bukit berkenaan.

Ayah terdiam. Mungkin pendiriannya tentang ‘JANGAN TEGUR’ telah disematkan. Abang dah garu kepala. Dia pun pelik.

“Esok akak nak check balik,” ujarku.

“Kat situ la ada pokok besar yang ada kuilkan?” soal ibu. GULP!

Aku telan liur.

Memang ada kuil Hindu lama dan di bina satu lagi yang baru di sebelahnya dicelah-celah bukit itu. Biar betul!

Esoknya, pagi-pagi aku mengikut ayah dan ibu ke pasar pagi. Bukan sahaja nak menolong mereka, tapi juga untuk memastikan tekaan aku itu betul.

Aku minta ayah memandu agar aku boleh memberi tumpuan dengan betul pada laluan dan ‘spot’ tepat semasa kami nampak kumpulan kerbau-kerbau itu.

Aku terkejut dan memang sah!

Ibu turut menjadi saksi bahawa laluan yang digunakan oleh kumpulan kerbau-kerbau mata merah malam tadi adalah bukit yang tinggi. Mencecah hampir 30 kaki dari paras jalan raya. Kedudukan bukit yang rapat di bahu jalan membuatkan aku membuat kesimpulan bahawa kerbau-kerbau itu adalah ‘mereka’.

Ayah diam. Masih memegang prinsip JANGAN TEGUR.

Selepas melintas jalan, kerbau itu terus hilang dari pandangan mata. Kalau betul kerbau mesti mereka terhenti di tengah jalan kerana keadaan yang berbukit itu.

Tambahan pula, mana tuannya?

Lagi menariknya memang aku ternampak 2 kuil kecil terletak di satu sudut bawah pokok besar di tepi bukit berkenaan. Mungkinkah?

Aku tidak berani membuat apa-apa spekulasi yang aku tidak pasti.

Yang aku pasti, malam tu mata ‘mereka’ berwarna merah apabila mengenai cahaya kereta kami.

Fuh!

Nota tambahan : Bertambah laluan puaka yang terpaksa kami lalui semata-mata untuk pulang bertemu ayah dan ibu! Pindah lagi? Hish! Tak mampu rasanya.

No comments: