Saturday, April 7, 2012

BOLA API




Malam itu aku tidak ingat hari apa. Tapi yang aku tahu malam itu sangat sunyi. Aku yang tinggal di dorm depan sedang berjalan menuju ke bilik bersiram asrama yang terletak di hujung bangunan.

Sementara mahu sampai ke destinasi, biasalah. Kawan-kawan dan jiran-jiran dari dorm bersebelahan sibuk menegur aku. Mereka sedang bersiap-siap untuk ke kelas prep.

’Minah! Ko nak pergi mana?’ soal Een. Aku sengih. Budak kelas B yang suka sangat kat K. Heh!

‘Toilet. Nak ikut ke?’ soalku sambil ketawa. Dia mencebik. Dah tanya aku jawab la! Aku sengih lagi.

‘Nanti pergi kelas nak ikut!’ katanya. Aku angguk sambil meneruskan perjalanan aku yang suci itu.

Pergi bersuci memanglah suci!

Semasa aku melalui dorm senior-senior, aku membuang pandang ke bahagian belakang asrama yang gelap gelita. Sengaja, untuk mencabar hati sambil cari penyakit.

Langkah aku terhenti apabila aku ternampak sesuatu yang sangat menarik bagi pandanganku.

Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….
Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….

Kuat bunyinya. Melayang-layang. Terhoyong-hayang.

Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….
Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….

Aku berhenti melangkah dan berdiri di tepi koridor hadapan bilik bersiram sambil memandang benda yang melayang itu. Asyik. Aku mengamatinya betul-betul. Bentuk apa tu?

Apa bendanya tu?

‘Oit!’ Kemudian aku melompat. Terkejut!

‘Apa kau tengok tu, Kak Minah!’ sergah Ten. Aku sekeh kepalanya.

‘Terkejutlah!’ Aku marah. Dia sengih sambil urut kepalanya. Budak tingkatan 3 ni memang suka aku sekeh kepalanya.

‘Sorry, ar.’ Dia turut memandang ke arah ‘mereka’ yang aku tengok beriya-iya itu.

‘Fulamak! Berapi tuu.’ Muncung mulutnya. Aku siku perutnya.

JANGAN TEGUR.

Aku bagi amaran. Kami lihat lagi benda itu melayang-layang dengan laju sambil mengeluarkan bunyi pelik dan bercahaya seperti sedang terbakar.

‘Mereka’ melayang dari arah Felda yang terletak di belakang sekolah aku menuju ke bahagian hutan terletaknya kem tentera darat.

Ten pandang aku. Aku letak jari di mulut. Isyarat diam.

‘Weh, aku nampak macam bola api. Kau nampak apa, kak?’ soalnya.

Dia ni memang nak kena. Berani betul dia ni. Aku jungkit bahu dan cuba buat-buat tidak tahu.

Aku tidak mahu menafsir kerana aku tidak tahu apakah benda itu. Aku pun nampak bola api melayang-layang. Aku mula rasa bulu roma aku menegak. Apa benda itu? Siap keluar bunyi kuat lagi. Wau ke?

Malam-malam main wau? Gila ke apa.

Ada ke wau bentuk bulat? 

Lagipun kawasan yang ‘mereka’ lalui itu kawasan pencawang RTM yang ada wayar besar dan panjang-panjang. Bukan kawasan lapang nak main wau! Main helicopter control pun tak layak!

Persoalan itu terhenti dalam kepala otak kami apabila bunyi siren tanda jam hampir pukul 9.30 malam, dibunyikan kuat oleh ketua pengawas yang satu dorm dengan aku. Heh!

Aku dan Ten kemudian mengambil haluan masing-masing. Takut lambat. Lambat ke kelas prep sama maknanya dengan cuci tandas pada hari Ahad. Eii!

Cepat-cepat!

*****
Balik kelas prep, aku melenggang-kangkung menuju ke dorm Een. Maklumlah geng. Nak paw dia punya megi. Tidak tahu mengapa, perut aku berkeroncong. Padahal tadi dah makan supper!

Alah, supper biskut empat segi tak cukuplah, ujarku beralasan. Een memang baik hati. Lepas aku buat muka kesian sambil merayu, dia bagi megi karinya yang tinggal sebungkus itu saja. Siap letak syarat lagi.

‘Kita share, kau masak!’ katanya sambil ketawa besar. Ces!

Ingatkan nak bagi aku semua! Disebabkan geng punya pasal, aku terus setuju.

La...la…la…la..

Aku berjalan dengan suka hati sambil memegang jug untuk ambil air di bilik bersiram tanpa menyedari apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

Namun begitu, apabila langkah aku tinggal beberapa sahaja lagi untuk sampai ke bilik bersiram, aku mangambil langkah seribu, berpatah balik ke dorm Een.

Aku pulangkan megi kari Een.

‘Dah kau ni kenapa Minah? Tadi beriya-iya nak makan!’ Rungut Een.

‘Lain kalilah!’ tanpa mempedulikan Een yang membebel-bebel itu, aku berlari balik ke dorm aku. Rosak program!

Sampai sahaja aku dalam dorm, terus aku duduk atas katil Ten.

‘Aku tidur dengan kau ye malam ni, Ten.’

Ten kerut dahi. Dia sedang sibuk melipat baju atas katil.

‘Kau kenapa Kak Minah?’ Aku hanya diam sambil pandang Ten.

‘Esoklah cerita,’ kataku sambil mengambil bantal dan selimut dan aku bawa ke katil Een. Apa pun terjadi, malam ni aku nak tidur juga dengan Ten. Tak kira!

***
Pagi-pagi lagi aku dan bercerita dengan Ten apa yang aku nampak pada malam aku cancel nak makan megi kari Een itu.

Sambil siap-siap nak ke sekolah, mulut aku bercerita pada Ten, budak katil sebelah. Aku cerita pada dia seorang saja sebab dia nampak bersama aku semalam. Malas kecoh-kecoh sebab Kak Mawar; ketua pengawas ada. Tengah siap-siap macam kami juga.

‘Bola api tu, patah balik.’ Mata Ten membulat.

‘Kali ini besar sikit. Bunyi pun tambah kuat. Rasanya ‘mereka’ terbang dekat sikit la dengan asrama kita,’ ujarku. Ten sudah takut.

‘Biar betul kak?’ Ten telan liurnya.

‘Betul!’.

***

Sebulan selepas itu, kami pulang bercuti. Seminggu. Cuti semester.

Pulang sahaja ke asrama semula selepas bersuka-ria bersama keluarga, Ten terus mendapatkan aku. Belum sempat dia salin pakaian, dengan nada perlahan dia bercerita padaku.

‘Saya dah tahu apa ‘mereka’ yang kita nampak hari itu.’ sungguh-sungguh dia bercerita.

‘Apa?’ soalku tidak sabar.

‘Penanggal, kak,’ katanya. Bulu roma aku menegak. Badan mula rasa seram sejuk.

‘Mana kau tahu?’ Ten tersengih sambil mengeluarkan senyap-senyap buku Mastika dari dalam begnya. Aku tengok kak Mawar tiada di katilnya. Bagus. Dia turun ke bilik bacaan. Kalau tak, mahu kena rampas buku tu.

“Ten baca dalam bas tadi. Betul kak! Sebijik dengan apa kita nampak hari tu.’ Ujarnya sungguh-sungguh. Aku pun membaca muka surat yang dimaksudkan Ten. Mataku terbeliak dan jantungku berdegup laju.

Aku tidak perlu baca sampai habis. Dengan hanya satu baris ayat sahaja, ia berjaya menangkap segala nafas aku.


Ketika penanggal terbang, ia menyerupai cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.

‘Kan? Betul kan?’ soalan Ten itu aku balas dengan anggukan. Sama.

Apa?!!GULP.

Penanggal rupanya. Dia buat apa terbang malam tu? Cari makan ke?

‘Macam mana kalau ‘mereka’ datang dekat kita malam itu?' soalku. Ten tergelak.

 ‘Apalah kak ni. Penanggal cari darah orang lepas bersalin jelah!’ ujar Ten.

‘Yelah tu. Darah period kita macam mana?’ soalku. Ten garu-garu kepalanya yang gatal tiba-tiba itu.

‘Sama ke?’ soal Ten pada aku. Aku jungkit bahu.

HISH! Mintak simpang malaikat 44!

Malam itu aku tidur dengan Ten lagi. Memang aku cari penyakit! Kan dah dapat penyakit!

Penyakit takut tidur sorang-sorang!

Dalam hati, aku menangis.

Huwaaaa! Aku ada lagi 2 tahun tinggal di sini!

Nota kaki : Aku nampak lagi ‘mereka’ melayang di belakang sekolah setiap kali bulan mengambang penuh sambil mengeluarkan bunyi yang menjengkelkan. Kalau ikutkan hati aku nak je baling dengan batu. Biar ‘mereka’ jatuh!


Pengalaman lain >>


> Histeria di Asrama Puteri
> Laluan Puakan - Menara Condong
> Rumah Atas Bukit
> Master Bedroom