Saturday, March 17, 2012

LALUAN PUAKA - Pekan Menara Condong


Peristiwa ini aku tidak ingat tahun bila dan umurku berapa pada ketika itu.Tapi aku yakin bahawa aku adalah seorang remaja yang melewati usia hampir dewasa. Tugas utama aku pada ketika itu adalah menemani ayah ketika dia menghadiri kerja luar kawasannya atau outstation. Aku umpama PA merangkap driver Ayah.

Maka dengan itu dapatlah aku simpulkan bahawa ketika itu aku berumur lebih kurang 20-22 tahun kerana aku sudah mempunyai lesen  memandu.

Malam itu selepas selesai tugas ayah, kami berangkat pulang. Disebabkan aku dah menjadi tukang ‘jaga’ kereta malam itu, maka ayah menawarkan dirinya untuk memandu pulang.

Jam ketika itu sudah mencecah 12 tengah malam dan masa perjalanan untuk sampai ke rumah mengambil masa lebih kurang dalam 2 jam 30 minit. Oleh kerana perjalanan ini panjang dan melalui banyak jalan dan laluan yang gelap gelita, hutan belantara dan kampung hulu, dengan itu aku pun mengambil keputusan untuk tidak tidur dengan bersembang-sembang dengan ayah.

Tiba di satu kampung sawah padi yang selalu kami gunakan untuk short-cut perjalanan agar lebih pendek, suasana menjadi gelap gelita tanpa lampu jalan dan kereta lain yang lalu-lalang disitu. Keadaan hanya diterangi oleh lampu kereta ayah. Laluan kali ini memang terkenal antara jalan paling pendek digunakan dari bandar menara condong ke bandar bijih timah.

Laluan ini memang sangat ‘familiar’ kerana laluan ini boleh dikatakan sebagai laluan utama untuk aku dan keluarga balik kampung jumpa nenek. Selain dikelilingi sawah padi  yang terbentang luas, laluan ini juga mempunyai jumlah pokok-pokok rendang yang besar lagi tua di tepi-tepi jalan tarnya. Kampung ini juga amat terkenal dengan cerita gerai bunian bawah pokok yang pernah ditayangkan oleh rancangan Seekers NTV7 dan juga rancangan Misteri TV3.

Namun, kali ini aku tidaklah nampak gerai tersebut tapi aku mengalami satu peristiwa ganjil. Semasa masuk sahaja ke laluan itu, aku sudah merasa pelik dengan tahap kegelapan jalan ini yang aku rasa lain macam sahaja malam itu. Walaupun aku pernah melalui laluan ini banyak kali, tak kira siang atau malam, namun perasaan ganjil itu muncul dengan amat ketara. Aku rasa Ayah juga terkena kesannya apabila kedua kami sama-sama tidak bersuara sebaik sahaja tiba di kampung itu sedangkan sebelum ini, kami rancak berbual.

Aku sedapkan hati sendiri dengan berfikiran bahawa ayah sudah letih sebab malam ini dia dah banyak bercakap. Jadi dia mendiamkan diri. Sambil memakan kacang tanah sebagai supplement untuk mengelakkan ngantuk, aku pula melayan perasaan sendiri sambil memandang ke arah luar tingkap.

Aku sememangnya mempunyai satu sikap pelik yang aku sendiri tidak faham. Aku ini penakut orangnya namun apabila aku menghadapi situasi pelik aku akan mencabar diri sendiri untuk melihat ke arah yang menakutkan tersebut. Lagi takut, lagi nak tengok. Aku pandang balam-balam kegelapan malam itu dalam-dalam, kot-kot ada ternampak sesuatu. Tapi aku sedar, sawah yang terbentang luas itu, tidak mungkin ada sesuatu yang dapat bersembunyi di celah-celahnya memandangkan masa itu musim menanam padi.

Aku pandang semula ke hadapan kerana sudah letih menyengetkan badan. Seketika kemudian, semasa aku baru saja nak buka radio, aku ternampak ada sesuatu benda tajam dan lurus ~ lagak seperti pedang pendek berwarna putih melayang laju tepat pada cermin kereta ayah. 

Aku sangat yakin pedang putih tersebut akan melanggar dan tepat mengena cermin hadapan kereta bahagian tempat aku duduk iaitu di bahagian penumpang. Aku bayangkan cermin akan pecah maka dengan serta merta aku melindungi muka aku dengan lengan sambil menunduk ke lutut.

‘Ah!’. Jeritku sekuat hati, dengan nada terkejut. Ayah tersentak dan terpinga-pinga.

‘Kenapa? Kenapa?’ Soal ayah, cemas. Ayah memperlahankan pemanduan namun tidak memberhentikan kereta sambil memandang ke arah aku. Aku kembali duduk dan menegakkan badan setelah aku dapati tiada apa yang berlaku.

Ehhh??? Jeritku dalam hati sambil memegang dadaku yang berdebar kencang. Aku turut terpinga-pinga. Dalam keadaan terkejut itu, aku juga merasa lega, sekurang-kurangnya tiada apa yang berlaku.

‘Mana benda yang terbang tadi? Ayah nampak tak?’ Soalku. Ayah mengerut keningnya.

‘Benda apa?’ ada nada risau dalam suara ayah.dari reaksi wajah ayah, aku tahu ayah memang tak tahu apa-apa.

‘Tadi, ada benda macam pedang terbang. Memang nak kena cermin dah tadi.’ Kataku sungguh-sungguh.

‘Mana ada. Elok je cermin ni,’ balas ayah. Keadaan kembali tenang dan ayah memandu kembali seperti biasa. Aku kemudiannya berasa sangat pelik dan sikit terasa adakah aku ini merepek seorang diri. Sumpah! Aku nampak benda tu terbang!

Aku terdiam sambil memikirkan perkara tersebut. Benda putih apakah yang terbang laju seperti pedang melayang tadi? Jedi ke? Heh!

Setelah kereta kami melepasi laluan tersebut dan berada jauh sedikit dari kampung sawah itu, aku ceritakan apa yang aku nampak kepada ayah. Ayah terkejut apabila dia sendiri pun tidak dapat memastikan apakah benda itu kerana dia langsung tidak nampak apakah benda yang aku maksudkan itu.

Sehingga kini gambaran itu masih jelas dalam ingatan kerana ia merupakan satu peristiwa ganjil yang mengundang reaksi yang benar-benar membuatkan aku yakin dengan kelebihan aku. Aku sangat-sangat yakin pedang itu melayang laju dan akan memecahkan cermin kereta Ayah.

Setelah empat atau lima tahun kemudian, aku pula mengalami kemalangan di laluan yang sama pada waktu siang ketika aku memandu berseorangan pulang dari kenduri kahwin seorang kawan baikku di pekan tepi laut. Keadaan tengahari yang rembang dan panas terik dengan aku yang sedang memandu dengan kelajuan 80km/j tiba-tiba pengsan dan melanggar tembok batu tali air di kampungsawah tersebut.

Apabila aku tersedar dan diselamatkan oleh orang kampung tersebut, aku dapati aku berada di laluan puaka yang sama tempat aku nampak pedang putih tersebut beberapa tahun yang lalu. Mana mungkin aku lupakan laluan itu. Akibat kemalangan itu aku cedera di muka dan mulutku pecah serta kesan tekanan di bahagian dada. Kereta? setahun dalam bengkel. Haish!

Nota kaki : sampai sekarang kami sekeluarga tak lalu jalan tu. Sejak kemalangan 4 tahun lalu, kami rela ikut jalan jauh untuk balik kampung. Sayang mereka tu kat aku heh!

Untuk lebih pengalaman seram :




No comments: