Sunday, March 18, 2012

HISTERIA DI ASRAMA PUTERI


Baru-baru ini aku ada bersembang dengan seorang rakan baik dalam perjalanan kami pulang selepas satu urusan penting di Tanjung Malim. Pada mulanya kami berbincang mengenai pantun bertajuk Cindai daripada teks Kesusasteraan Melayu, sambil menerangkan maksud apa maksud Cindai.

Rasanya secara umum, tahu; Cindai mempunyai 2 maksud iaitu kain sutera bercorak bunga dan satu lagi bermaksud Pontianak. Apabila aku mula mengeluarkan perkataan ini, aku teringatkan kisah-kisah ‘cindai’ ini di sekolah asrama tempat aku belajar 12 tahun yang lalu. Sekolah itu terletak di sebuah pekan yang aku gelarkan pekan ‘tuntung’.

Tidak banyak kisah ‘cindai’ yang aku tahu untuk aku ceritakan kerana aku tidak pernah mengalami sendiri berselisih dengan ‘cindai’. Alhamdulillah, mintak dijauhi. Namun begitu, kisah yang aku nak ‘highlight’ disini bukanlah kisah ‘cindai’ tetapi kisah selepas itu. Kisah yang benar-benar aku alami dan jangan terkejut aku adalah antara watak utamanya atau dalang kepada peristiwa ini. Aku yakin, rakan-rakan satu sekolah pun belum tentu tahu kisah sebenar, terutama tentang apa yang terjadi di sebalik kisah histeria yang berlaku di asrama puteri pada 1998.

Aku menuntut di sebuah sekolah asrama yang boleh aku kategorikan antara yang terkenal di negeri bijih timah. Ia terletak betul-betul di bahagian tengah negeri ini. Pada tahun 90an, kawasan tersebut masih lagi tebal dengan hutan belantara di samping terletak berhampiran dengan sebuah felda yang besar dan penuh dengan ladang-ladang kelapa sawit.

Pekan kecil yang terletak 4km dari sekolah aku pula amat terkenal sebagai satu-satunya pusat pembiakan tuntung negeri bijih timah. Sebab itu aku gelarkan pekan ini sebagai Pekan Tuntung. Sekolah aku tidaklah besar sangat. Waktu itu bangunan sekolah ada 5 blok dan 4 blok asrama. 2 blok untuk asrama putera dan 2 lagi untuk asrama puteri.

Asrama puteri terletak diatas bukit. Mungkin sewaktu pembinaan asrama ini, atas bukit adalah antara salah satu faktor keselamatan selain berhampiran dengan kuarters guru. Paling penting, paling hampir dengan rumah pengetua. Asrama puteri mempunyai 2 blok bangunan, blok A dan blok B. Blok A menghadap kuarters guru dan Blok B menghala ke arah asrama putera. Bahagian ‘ground floor’ bangunan terletak bilik bacaan bagi pelajar PMR dan SPM (blok A) dan surau di bahagian blok B dan 2 tingkat lagi adalah dorm.

Kebetulan ketika itu, sekolah kami sedang digemparkan dengan peristiwa orang minyak dan lelaki tempang yang cuba menceroboh dan mengganggu pelajar perempuan sekolah kami. Maka, kebanyakan waktu mengulangkaji yang kami gelarkan sebagai waktu ‘prep’ pada waktu malam ~ antara jam 9 – 10.30pm ~ kami adakan di asrama sahaja. Pelajar PMR dan SPM di bilik bacaan dan selebihnya; belajar beramai-ramai di surau.

Yang menambah ‘trill’ kisah ini lagi, aku dapati musim yang sedang kami hadapi ketika itu adalah musim peperiksaan. Kalau mereka yang tinggal di asrama pasti tahu. Sesi persekolahan ada banyak musim. Musim cuti sekolah, musim sukan, musim peperiksaan, musim hari kantin, musim pertandingan nasyid dan lain-lain musim lagi. Ingat Korea je ada banyak musim? Hey!

Selalunya musim inilah banyak dugaan datang menguji kami pelajar sekolah. Kawan-kawan satu ‘batch’ semua study kat surau. Oleh kerana kami ni tidaklah menghadapi peperiksaan besar, maka ramailah di antara rakan-rakan yang study-sambil-tidur dalam surau. Memang pemandangan biasa bila siang penat bersekolah. Cover, jangan tak cover!

Aku dan geng; Ja dan Lah, malam itu bertugas menjaga KOOP asrama. Peluang ini kami ambil bagi menambah keuntungan di samping membantu rakan-rakan lain agar tidak boring ketika prep. Jadi bolehlah rakan-rakan semua belajar-sambil-makan. Budak-budak perempuan baya-baya aku memang suka ‘snack-snack’ dan ‘chekedies-chekedies’ ni semua. Terutama ketika prep. Heh!

Masih segar dalam ingatan, malam itu aku bertugas menjual ais-krim. Aku tahu, sepanjang malam sibuk menceduk aiskrim menggunakan scoop untuk di taruk atas kon ais-krim. Kerja paling aku tak pernah buat sebelum ini.

Sedang kami sibuk menjaja sambil mengemaskan KOOP yang terletak bersebelahan dengan laundry room, kami terdengar bunyi lembu menguak dengan kuat dan berpanjangan. Lagaknya seperti sedang sakit atau pun sedang menyanyi. Lembu menyanyi ke? Memang aku ingat dia menyanyi sebab lembu itu tidak berhenti-henti menguak dengan tanpa jemu. Bunyi itu datang dari arah belakang blok A asrama merangkap area kuarters guru.

Aku dan geng merasakan ianya pelik namun kami tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan waktu itu sudah malam dan kawasan belakang asrama gelap gelita. Macam-macam andaian kami buat ketika mendengar suara itu. Lembu menangislah, sedih sebab nak kena sembelih untuk majlis raya korbanlah dan kisah merapu lain yang kami dapat fikirkan bagi tahap fikiran pelajar sekolah seperti kami.

Seketika kemudian, ketika jam hampir mencecah angka 10, kami ternampak seorang kakak senior yang terkenal dengan kebolehannya melihat benda ‘halus’ melintas di hadapan KOOP menuju ke laundry room. Mungkin dia ingin membasuh tangannya kerana, baru sebentar tadi dia membeli ais-krim daripada aku.

Kakak ini pelik sedikit sikapnya dan sering menjadi bahan sisihan senior lain dek kerana kepelikan sikapnya. Tapi dia baik, tak kacau orang dan merapu-merapu macam kami dan senior-senior lain. Dia jarang berbual kosong mahupun menegur kami. Setahu aku, belum pernah sekalipun dia bersembang dengan aku walaupun dormnya terletak bersebelahan dorm aku. Aku tidak ingat namanya tapi biar aku gelarkan dia sebagai Kak Sal.

Seketika kemudian, kami ternampak Kak Sal menghentikan langkahnya sambil memandang ke arah tempat letak kereta warden yang terletak di bahagian tepi bangunan blok B. Ja dengan berani menegur Kak Sal. Berbasa-basi atau dia juga seperti aku, ingin tahu apa yang sedang dia perhatikan. Aku mula merasa seram sejuk. Hatiku mula merasa tidak sedap. Aku dapat rasakan Lah juga begitu. Aku pandang Lah. Lah pandang Ja.

‘Kak Sal, nak pergi mana tu? Tengok apa?’ soal Ja dengan berani.

Tanpa menoleh mahupun menjawab pertanyaan Ja, Kak Sal berpatah balik ke arah bilik bacaan dengan langkah yang laju, seperti berlari namun derap langkahnya di tahan agar tidak berbunyi. Aku, Ja dan Lah mula membaca situasi itu sebagai situasi kecemasan dan perlu tindakan segera iaitu beredar ke tempat lain yang lebih selamat dengan erti kata lain, tempat yang ada ramai orang. Ramai-ramai tidaklah takut sangat. Ini adalah kerana KOOP ketika itu sudah tidak menerima kunjungan pelanggan.

Setelah mengemas, menyimpan dan mengunci apa yang patut dengan pantas dan segera, kami berjalan menuju ke arah surau di bangunan blok B. Kami berjalan dengan rileksnya kerana menganggap sikap Kak Sal sebentar tadi sebagai perkara biasa. Yalah, dah hampir 20 minit berlalu, tiada apa-apa pun yang terjadi. Kami anggap keadaan ketika itu sudah selamat. Selamat dari apa pun tidak tahu.

Namun begitu, tanpa kami sangka, rupanya Kak Sal berada di hadapan bilik laundry blok B sambil menjenguk ke bawah kereta milik Cikgu M, warden asrama kami. Tak tahu bagaimana aku nak gambarkan perasaan kami ketika melihat Kak Sal begitu. Serentak dengan itu juga, dengan serta-merta bunyi lembu tadi senyap. Diam sediam diamnya. Keadaan di belakang asrama menjadi sunyi.

Mesti dia ada ternampak sesuatu di bahagian bawah kereta Cikgu M. Jika tidak masakan dia beriya-iya menjenguknya? Kemudian kami nampak Kak Sal berlari anak menuju bilik bacaan. Melihat keadaan itu, aku, Ja dan Lah dengan serentak berlari masuk melalui pintu belakang surau. Gegaran dek keberatan badan kami terasa namun, sedikit pun kami tidak bersuara. Begitu juga Kak Sal. Dia tidak bersuara namun aku tahu gerak tubuh itu. Berlari mencari perlindungan dan aku tahu Ja serta Lah berkongsi perasaan yang sama dengan aku pada ketika itu iaitu; takut dan keliru.

Dengan tidak semena-mena; serentak itu jugalah, pelajar-pelajar yang sedang duduk-sambil-study dalam surau yang ternampak perlakuan kami itu, menjerit sekuat hati mereka sambil berlari menuju ke bahagian hadapan surau dan diikuti oleh semua yang ada dalam surau itu. Mereka menjerit ketakutan seperti histeria sambil berlari beramai-ramai.

Aku, Ja dan Lah terpinga-pinga namun bagaikan seperti ada satu kuasa; kami bertiga turut berjalan pantas menuju ke bahagian hadapan surau. Mereka yang tertidur juga terjaga dan turut menjerit sekuat hati mereka sambil berlari ke hadapan seperti mereka yang terjaga tadi.

Keadaan ketika itu menjadi sangat kelam kabut dan menakutkan kerana kesemua mereka menjerit dan ada yang menangis. Aku menoleh ke arah bilik bacaan di blok A yang menghadap surau, sekali lagi aku terkejut. Dengan lutut yang hampir lemah namun aku gagahi juga berdiri, aku nampak keadaan dalam bilik bacaan, sama seperti keadaan dalam surau. Kelam-kabut dan semua mereka berada di bahagian hadapan bilik bacaan sambil berlari dan menjerit sekuat hati mereka. Aku nampak, kerusi dan meja tunggang terbalik. Belum lagi cerita pasal buku yang bertaburan.

Bayangkan. Ketika itu aku ingat ada 350 orang pelajar perempuan yang tinggal di asrama puteri ini. Tolak aku, Ja, Lah dan Kak Sal, 346 orang telah menjerit sekuat hati atau histeria pada malam itu. Aku pelik, mengapa mereka menjerit sedangkan mereka tidak nampak seperti mana Kak Sal, aku, Ja dan Lah nampak pada malam itu. Kak Sal juga kelihatan terkejut dan bingung. Aku yakin dia juga keliru bagaimana kejadian histeria itu boleh berlaku sedangkan dia tidak bercakap apa-apa pun mengenai apa yang dia nampak. Aku yakin, pelajar lain tidak tahu pun apa yang berlaku. Mereka main jerit sahaja.

Keadaan jeritan beramai-ramai itu berterusan selama lebih kurang 5 minit sebelum semua berhenti serentak diikuti dengan suara tangisan terkejut. Aku lihat warden-warden dan beberapa pelajar lelaki dari asrama putera naik mengikut tangga hadapan dan belakang asrama puteri. Aku dan beberapa orang yang tenang ~ ada rakan-rakan aku yang tersedar dari jeritan namun dapat bertenang~membantu mereka yang masih menangis akibat terkejut dengan memujuk dan menenangkan mereka.

Akibat pelarian dan pelanggaran serta eksiden beramai-ramai yang berlaku, ramai di kalangan rakan-rakan study-di-surau patah gigi, gigi depan tinggal separuh dan mulut berdarah manakala rakan-study-di-bilik-bacaan sakit pinggang, perut dan kaki sakit akibat pelanggaran kuat sesama mereka serta melibatkan kerusi dan meja belajar mereka.

Paling teruk ketika itu, mestilah pelajar paling kecil atau paling muda; iaitu budak-budak form 1. Menangis ketakutan yang sangat jujur dan ikhlas. Silap haribulan, ada di antara mereka yang menelefon ibu bapa minta tukar ke sekolah lain. Nasib baik tiada yang pengsan.

Sebagai kakak senior yang berdedikasi, aku membantu rakan-rakan lain; pengawas dan exco asrama (yang tadi turut menjerit sakan) mengawal keadaan. Keadaan kembali tenang apabila kami mendengar arahan daripada ketua warden asrama putera, Cikgu Mus mengarahkan kami semua naik ke dorm masing-masing.

Ada yang berlari dan ada yang berjalan laju. Yang aku pasti, tiada seorang pun yang bergelak ketawa pada situasi itu. semua orang kelihatan tegang, keliru dan ketakutan. Aku pulang ke dorm manakala Ja dan Lah pulang ke dorm mereka yang terletak selang 2 dorm dari aku. Dari tingkap dorm aku dapat lihat, ramai pelajar lelaki sedang membuat pemeriksaan ke setiap sudut asrama puteri bagi mencari punca yang membuatkan kami semua histeria serta memastikan keadaan selamat dan tiada gangguan.

Di satu sudut aku ternampak beberapa orang guru dan pelajar dari sekolah Teknik yang terletak di hadapan sekolah kami juga datang mmbantu. Aik? Macam mana mereka boleh tahu? Aku terdengar sedikit perbualan mereka kerana dorm aku terletak di tingkat 1 bangunan blok A, berhampiran dengan pintu masuk asrama kami.

‘Kami dengar jeritan kuat sangat. Itu yang kami datang ni,’ kata seorang lelaki yang aku yakin dia warden juga berdasarkan umur dan pakaiannya. 

Dia dan Cikgu Mus kemudian berbual-bual seketika sambil memerhatikan pelajar-pelajar lelaki lain memeriksa kawasan asrama. Aku kemudian teringat buku dan kotak pensel yang tertinggal di surau. Tak sempat nak ambil kerana keadaan sangat kelam kabut. Seperti di langgar todak lagaknya. Tak pun seperti menghadapi peperangan.

Hari ini dalam sejarah, kami tidur beramai-ramai dengan menggabungkan 8 katil 2 tingkat di tengah-tengah dorm. Sebelum tidur kami berkongsi cerita dan aku dapati ahli-ahli dorm aku; semua mereka menjerit ketakutan, menangis dan keliru.

Malam itu juga menyaksikan idea dan strategi bernas (tidak tahu pemilik idea asal ini), warden telah mengarahkan kami semua mengeluarkan semua baldi untuk disusun di kaki lima rapat-rapat bagi menyukarkan sesiapa sahaja untuk melaluinya termasuk bagi mengesan penceroboh dengan bunyi-bunyi baldi yang akan digerakkan jika dia melalui koridor luar dorm kami. Kemudian, di sepanjang tembok koridor juga kami taburkan dengan bedak atau serbuk pencuci baju warna putih bagi mengesan tapak kaki atau tapak kasut; mana tahu dia berjalan melalui tembok pula.

Strategi ini amat mengkagumkan selain menimbulkan kekecohan pada pagi keesokan harinya apabila semua orang bangun untuk solat subuh dan bersiap ke sekolah, terdapat satu tapak kaki lelaki dewasa dan satu tapak kasut saiz besar (kira-kira saiz 11 dan ke atas) di atas tembok di hadapan sebuah dorm bahagian belakang dan hujung tepi tangga.

Memang kecoh kami semua dengan keadaan itu. kerana bagi kami, ia digelarkan sebagai tapak kaki orang minyak atau pun si tempang yang digembar-gemburkan. Keadaan dalam surau mahupun bilik bacaan tidak perlu diterangkan lagi. Memang seperti todak melanggar Singapura. Kami semua lewat ke sekolah kerana kami mengutip dan mencari sisa buku dan alatan tulis yang masih selamat daripada trauma pelanggaran beramai-ramai itu.

Malam keesokannya pula; aku mendengar pula bunyi kucing mengiyau tanpa henti dari arah dewan makan pula. Dalam hati aku berdoa minta dijauhi perkara tidak baik disamping kami masih lagi tidur beramai-ramai di tengah dorm, masih susun baldi di atas koridor dan masih menabur bedak atas tembok koridor.

Pelajar perempuan tidak lagi dibenarkan prep di bangunan sekolah waktu malam, tidak dibenarkan lagi berkeliaran di kawasan bawah asrama selepas solat isya’. Kami semua study-sambil-baring-baring-atas katil dalam dorm. Aku tidak ingat keadaan itu berterusan sehingga berapa lama. Mungkin juga sehingga cuti akhir tahun persekolahan.

Sejak peristiwa itu berlaku, aku mendengar berbagai-bagai spekulasi mengenainya. Ada yang cakap pelajar lelaki yang sanggup terjun dari tingkap bilik bacaan semata-mata ingin menyelamatkan kami. Mereka juga sanggup berjaga malam hanya bagi mengawasi kawasan asrama puteri bagi memastikan kami semua selamat. Ada geng ditubuhkan bagi mengawal keselamatan kami lagi. Terharu!

Kakak Penolong Ketua Pengawas yang tinggal satu dorm dengan aku menceritakan keadaan Kak Sal yang menjadi bahan siasatan warden dan pengetua. Aku dengar, sampai ke sudah dia langsung tidak buka mulut menceritakan apa yang dia nampak malam itu. Namun aku ada juga mendengar sebenarnya Kak Sal berlari masuk bilik bacaan kerana dia ada ternampak sepasang kaki lelaki menyorok di hadapan kereta Cikgu M malam itu.

Tidak tahu untuk percaya atau tidak, kerana Kak Sal sendiri tidak membuka mulut menceritakannya kepada kami, selain tiada bukti bagi menjelaskan kesahihan cerita tersebut. Sehingga kini, aku masih lagi tidak dapat menerima keadaan semua pelajar perempuan seramai 346 orang itu boleh menjerit sekuat hati mereka tanpa mengetahui punca sebenar.

Mereka menjerit dan menangis. Histeria. Aku yakin mereka yang menjerit itu juga keliru dan tidak dapat menerangkan kenapa mereka menjerit dan menangis ketakutan sedangkan mereka tidak nampak dan tidak tahu apa-apa. Ajaibnya, aku, Ja dan Lan yang ketakutakan akibat nampak Kak Sal bersikap pelik, tidak pula histeria.

Atau, kami ke yang pelik tu?

Dan tiada seorang pun yang datang menyoal kami kerana tiada siapa pun yang tahu bahawa peristiwa HISTERIA itu berpunca dari kami. Heh!

Nota kaki : kawan-kawan sesi 1995 – 1999; kalau masih ingat lagi kisah ini, silalah kongsi bersama. Ingin juga dengar dari pengalaman orang lain semasa peristiwa ini berlaku. Peace!


Untuk pengalaman lain yang lebih seram : >>>


> Tolong Sapu Sawang dan Buat Air Pulak!
> Rumah Atas Bukit 

Saturday, March 17, 2012

LALUAN PUAKA - Pekan Menara Condong


Peristiwa ini aku tidak ingat tahun bila dan umurku berapa pada ketika itu.Tapi aku yakin bahawa aku adalah seorang remaja yang melewati usia hampir dewasa. Tugas utama aku pada ketika itu adalah menemani ayah ketika dia menghadiri kerja luar kawasannya atau outstation. Aku umpama PA merangkap driver Ayah.

Maka dengan itu dapatlah aku simpulkan bahawa ketika itu aku berumur lebih kurang 20-22 tahun kerana aku sudah mempunyai lesen  memandu.

Malam itu selepas selesai tugas ayah, kami berangkat pulang. Disebabkan aku dah menjadi tukang ‘jaga’ kereta malam itu, maka ayah menawarkan dirinya untuk memandu pulang.

Jam ketika itu sudah mencecah 12 tengah malam dan masa perjalanan untuk sampai ke rumah mengambil masa lebih kurang dalam 2 jam 30 minit. Oleh kerana perjalanan ini panjang dan melalui banyak jalan dan laluan yang gelap gelita, hutan belantara dan kampung hulu, dengan itu aku pun mengambil keputusan untuk tidak tidur dengan bersembang-sembang dengan ayah.

Tiba di satu kampung sawah padi yang selalu kami gunakan untuk short-cut perjalanan agar lebih pendek, suasana menjadi gelap gelita tanpa lampu jalan dan kereta lain yang lalu-lalang disitu. Keadaan hanya diterangi oleh lampu kereta ayah. Laluan kali ini memang terkenal antara jalan paling pendek digunakan dari bandar menara condong ke bandar bijih timah.

Laluan ini memang sangat ‘familiar’ kerana laluan ini boleh dikatakan sebagai laluan utama untuk aku dan keluarga balik kampung jumpa nenek. Selain dikelilingi sawah padi  yang terbentang luas, laluan ini juga mempunyai jumlah pokok-pokok rendang yang besar lagi tua di tepi-tepi jalan tarnya. Kampung ini juga amat terkenal dengan cerita gerai bunian bawah pokok yang pernah ditayangkan oleh rancangan Seekers NTV7 dan juga rancangan Misteri TV3.

Namun, kali ini aku tidaklah nampak gerai tersebut tapi aku mengalami satu peristiwa ganjil. Semasa masuk sahaja ke laluan itu, aku sudah merasa pelik dengan tahap kegelapan jalan ini yang aku rasa lain macam sahaja malam itu. Walaupun aku pernah melalui laluan ini banyak kali, tak kira siang atau malam, namun perasaan ganjil itu muncul dengan amat ketara. Aku rasa Ayah juga terkena kesannya apabila kedua kami sama-sama tidak bersuara sebaik sahaja tiba di kampung itu sedangkan sebelum ini, kami rancak berbual.

Aku sedapkan hati sendiri dengan berfikiran bahawa ayah sudah letih sebab malam ini dia dah banyak bercakap. Jadi dia mendiamkan diri. Sambil memakan kacang tanah sebagai supplement untuk mengelakkan ngantuk, aku pula melayan perasaan sendiri sambil memandang ke arah luar tingkap.

Aku sememangnya mempunyai satu sikap pelik yang aku sendiri tidak faham. Aku ini penakut orangnya namun apabila aku menghadapi situasi pelik aku akan mencabar diri sendiri untuk melihat ke arah yang menakutkan tersebut. Lagi takut, lagi nak tengok. Aku pandang balam-balam kegelapan malam itu dalam-dalam, kot-kot ada ternampak sesuatu. Tapi aku sedar, sawah yang terbentang luas itu, tidak mungkin ada sesuatu yang dapat bersembunyi di celah-celahnya memandangkan masa itu musim menanam padi.

Aku pandang semula ke hadapan kerana sudah letih menyengetkan badan. Seketika kemudian, semasa aku baru saja nak buka radio, aku ternampak ada sesuatu benda tajam dan lurus ~ lagak seperti pedang pendek berwarna putih melayang laju tepat pada cermin kereta ayah. 

Aku sangat yakin pedang putih tersebut akan melanggar dan tepat mengena cermin hadapan kereta bahagian tempat aku duduk iaitu di bahagian penumpang. Aku bayangkan cermin akan pecah maka dengan serta merta aku melindungi muka aku dengan lengan sambil menunduk ke lutut.

‘Ah!’. Jeritku sekuat hati, dengan nada terkejut. Ayah tersentak dan terpinga-pinga.

‘Kenapa? Kenapa?’ Soal ayah, cemas. Ayah memperlahankan pemanduan namun tidak memberhentikan kereta sambil memandang ke arah aku. Aku kembali duduk dan menegakkan badan setelah aku dapati tiada apa yang berlaku.

Ehhh??? Jeritku dalam hati sambil memegang dadaku yang berdebar kencang. Aku turut terpinga-pinga. Dalam keadaan terkejut itu, aku juga merasa lega, sekurang-kurangnya tiada apa yang berlaku.

‘Mana benda yang terbang tadi? Ayah nampak tak?’ Soalku. Ayah mengerut keningnya.

‘Benda apa?’ ada nada risau dalam suara ayah.dari reaksi wajah ayah, aku tahu ayah memang tak tahu apa-apa.

‘Tadi, ada benda macam pedang terbang. Memang nak kena cermin dah tadi.’ Kataku sungguh-sungguh.

‘Mana ada. Elok je cermin ni,’ balas ayah. Keadaan kembali tenang dan ayah memandu kembali seperti biasa. Aku kemudiannya berasa sangat pelik dan sikit terasa adakah aku ini merepek seorang diri. Sumpah! Aku nampak benda tu terbang!

Aku terdiam sambil memikirkan perkara tersebut. Benda putih apakah yang terbang laju seperti pedang melayang tadi? Jedi ke? Heh!

Setelah kereta kami melepasi laluan tersebut dan berada jauh sedikit dari kampung sawah itu, aku ceritakan apa yang aku nampak kepada ayah. Ayah terkejut apabila dia sendiri pun tidak dapat memastikan apakah benda itu kerana dia langsung tidak nampak apakah benda yang aku maksudkan itu.

Sehingga kini gambaran itu masih jelas dalam ingatan kerana ia merupakan satu peristiwa ganjil yang mengundang reaksi yang benar-benar membuatkan aku yakin dengan kelebihan aku. Aku sangat-sangat yakin pedang itu melayang laju dan akan memecahkan cermin kereta Ayah.

Setelah empat atau lima tahun kemudian, aku pula mengalami kemalangan di laluan yang sama pada waktu siang ketika aku memandu berseorangan pulang dari kenduri kahwin seorang kawan baikku di pekan tepi laut. Keadaan tengahari yang rembang dan panas terik dengan aku yang sedang memandu dengan kelajuan 80km/j tiba-tiba pengsan dan melanggar tembok batu tali air di kampungsawah tersebut.

Apabila aku tersedar dan diselamatkan oleh orang kampung tersebut, aku dapati aku berada di laluan puaka yang sama tempat aku nampak pedang putih tersebut beberapa tahun yang lalu. Mana mungkin aku lupakan laluan itu. Akibat kemalangan itu aku cedera di muka dan mulutku pecah serta kesan tekanan di bahagian dada. Kereta? setahun dalam bengkel. Haish!

Nota kaki : sampai sekarang kami sekeluarga tak lalu jalan tu. Sejak kemalangan 4 tahun lalu, kami rela ikut jalan jauh untuk balik kampung. Sayang mereka tu kat aku heh!

Untuk lebih pengalaman seram :