Monday, January 2, 2012

KEDAI PEKAN LOMBONG

Aku mulakan kisah ini kerana pengalaman ini aku lalui sepanjang 2 tahun perkhidmatan aku di syarikat retail terkenal di Malaysia yang terletak di pekan lombong, dan untuk pengetahuan kau orang ia mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Pengalaman – pengalaman yang akan aku paparkan mengenai kisah kedai di pekan lombong ini aku ceritakan dari sudut pengalaman aku sendiri bersama rakan sekerja lain. Tidak kira siang atau malam, hari Jumaat atau tidak, ia tetap akan berlaku.

Aku bekerja sebagai manager cawangan di kedai yang terletak hampir dengan padang bandar itu. Rata-rata dan majoriti penduduk pekan ini adalah kaum cina, di ikuti India dan Melayu. Sejarah kedai yang disewakan kepada syarikat kami adalah sebuah kedai kopi lama, tempat pelombong-pelombong melepaskan lelah selepas penat bekerja.

Pembinaan deretan kedai di pekan lombong itu bermula pada 1880an, yang mana pembinaan itu termasuklah kedai syarikat tempat aku bekerja itu. Sebelum kami memulakan perniagaan di situ, ia adalah merupakan sebuah kopitiam di tingkat bawahnya manakala tingkat atas di gunakan oleh pemilik asalnya untuk tempat mereka bermain mahjung atau berjudi. Manakala tingkat yang ketiga adalah tempat mereka sekeluarga tinggal.

Setelah kami mengambil alih unit itu, tingkat 3 ditutup untuk penggunaan (dibiarkan tanpa lantai) dan ditutup dengan siling tingkat 2. Di bahagian belakang premis itu ada sebuah bilik kecil seperti loteng yang hanya dapat di akses menggunakan anak tangga kecil yang curam lagi reput.

Menurut rakan yang ada ketika pembukaan kedai tersebut, bilik kecil di loteng itu adalah tempat tinggal seorang nenek tua yang sudah uzur, dan dibiarkan di dalam bilik itu agar tidak menggangu bisnes yang mereka jalankan. Dengar cerita dari mereka, nenek tua tersebut baru sahaja mati di bilik tersebut, maka mereka anak beranak mengambil keputusan untuk tidak tinggal disitu lagi lalu menyewakan kepada syarikat kami.

GULP!

Sewaktu kerja-kerja pembersihan dijalankan mereka dapati bilik itu hanyalah memuatkan sekeping tilam, sebiji bantal dan tempat membuang najis. Paling menyedihkan adalah bilik itu dikunci dari luar menggunakan mangga kecil.

Tangga menuju bilik kecil terletak betul-betul dalam tandas tingkat 2 unit itu. Pihak pengurusan syarikat mengambil keputusan untuk menutup ruangan itu dari kegunaan kami. Bukan sahaja bahaya dari segi fizikalnya (sudah reput dan ancaman seranggadan binatang perosak lain) malah mungkin ancaman lain yang tidak dilihat oleh mata kasar.

Faham-faham sajalah, kan?

Sudahnya, pintu ruangan itu ditukar kepada pintu besi dan dikunci dari luar. Tinggallah ruangan itu tanpa cerita selama 2 tahun sebelum aku mengambil alih pengurusan kedai itu.

Tingkat 2 unit itu kami gunakan sebagai stor barangan dan pejabat untuk aku lakukan kerja-kerja pengurusan. Sememangnya aku adalah satu-satunya yang selalu menggunakan ruangan itu bagi melunaskan kerja-kerja kawalan operasi kedai. Namun begitu, ia juga adalah tempat dimana rakan sekerja lain menyimpan barang.
Pendek kata tingkat dua itu memang dicop seram oleh staff dulu, kini dan akan datang. Heh!

Hari kejadian yang ingin aku ceritakan kali ini berlaku pada hari bukan Jumaat. Aku tak ingat hari apa, tapi yang pasti bukan Jumaat. Aku bekerja shift petang bersama seorang rakan sekerja lelaki, aku namakan dia HAN. Sebelum waktu melepasi magrib aku cuba menyiapkan kerja-kerja pengurusan di pejabat di tingkat dua. Entah mengapa pada hari itu, keadaan di tingkat dua itu bising sedikit berbanding selalu.

Jam dalam pukul 6.30 petang dimana aku terdengar bunyi ketukan di dinding office. Pertama kali aku mendengarnya, aku menyangka ia bunyi ketukan yang datang dari unit sebelah. Walaupun aku tahu unit sebelah kosong, aku anggap sahaja mereka ada.

TOK! TOK! TOK!

Dinding batu diketuk keras. Namun begitu, aku dapati bunyi itu berpanjangan. Aku cuba mengamati bunyi yang berterusan seolah-olah ingin menarik perhatianku. Aku berhenti dari membuat kerja dan mengalihkan perhatian kepada bunyi itu. Apabila aku fokus, bunyi itu senyap seketika.

Aku kemudiannya menyambung semula kerja, sebelum bunyi itu berulang kembali.

TOK! TOK! TOK!

Kali ini bunyi itu sedikit perlahan namun aku dapat menangkap sesuatu. Serta merta bulu roma aku naik.

Alamak, kerja tak siap lagi ni, getus hati aku. Antara takut-takut berani.

Bunyi itu rupanya datang dari arah dinding tandas dan bilik kecil yang berkunci itu. Mustahil bunyi itu datang dari unit sebelah menyebelah kerana kedudukan dinding itu tidak bercantum dengan mana-mana dinding dari premis lain.

Dengan segera aku mengemas meja dan cuba membawa kerja-kerja yang masih belum siap itu untuk aku selesaikan sahaja di lantai jualan di tingkat bawah.

Ketika itu bunyi berhenti seketika sebelum ia berulang lagi. Kali ini kuat sedikit. Dengan tenaga dan langkah yang pendek-pendek namun pantas aku, segera bergerak menuruni tangga sambil menjinjit dokumen.

Sampai aku ditingkat bawah aku dapati Han sedang mengemas barang. Tanpa menegurnya, terus aku menuju ke bahagian belakang kedai untuk menyiapkan kerja-kerja. Orang tengah kusyuk buat kerja jangan tegur.

Karang start cerita komplain dan drama swasta yang tidak perlu aku dengar.

Tepat jam 7, tidak semena-mena aku terdengar bunyi hentakan kaki menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas. Bunyi itu jelas kedengaran kerana tangga menuju tingkat atas diperbuat daripada kayu.

Dalam hati aku ketika itu, aku sangkakan Han naik ke tingkat atas untuk mengambil barang. Namun begitu tiba-tiba Han menuju ke arahku dari bahagian depan kedai.

“Eh, akak ada kat bawah. Saya ingatkan akak naik atas tadi,” katanya. Aku pandang dia.

“Saya ingatkan awak yang naik,” aku membalas kenyataannya. Kami sama-sama terkesima. Han pandang aku, aku pandang Han. Kemudian dia bersuara.

“Habis, siapa yang naik atas tadi?” soalnya. Ada sedikit ketaran dalam suaranya. Sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab aku cuba melogikkan keadaan mengikut perspektif seorang manager.

Buat-buat kontrol berani. Heh!

“Entah-entah ada customer naik kot. Pergi la check,” ujarku. Yelah, dia lelaki. Aku perempuan. Mestilah dia yang kena buat itu semua.

“Akak, saya dah setengah jam kat depan kaunter itu, seorang customer pun tak ada yang masuk,” katanya sambil mempertahankan diri. Aku tahu. Sengaja.

Tapi apa nak buat?

“Nenek tumpang lalu kot,” balasku selamba. Wajah Han berubah. Dia datang dekat padaku sambil berbisik.

“O, sebab tu akak buat kerja kat bawah ye?” soalnya sambil ketawa mengekek. Cis!

Nenek! Cucu tumpang buat kerja je. Huwaa!


No comments: