Thursday, November 17, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : TOLONG SAPU SAWANG DAN BUAT AIR PULAK!

Artist : Aie Afat

Dah banyak kali mereka mem’propose’ untuk aku publish cerita ini, namun sebab aku tiada di tempat kejadian, maka penghormatan ini aku beri kepada Ilah dan Jah untuk bercerita mengikut pengalaman masing-masing.

Kali ini cerita datangnya dari Ilah, adik perempuan kedua aku. Aku dalam cerita ini adalah Ilah dan Akak tiada kena mengena dalam kejadian ini sebab akak sekolah. Sekolah asrama. Peristiwa ini dialami sendiri oleh Ilah dan Jah, sewaktu masing-masing berumur 11 dan 9 tahun.

Maka cerita dibawah aku salin dari email yang mereka hantar ke email aku. Aku ubah struktur ayat sikit untuk aku samakan standard blog ini dengan cerita mereka.

Ilah dan Jah (1997):-

“Sejak aku tinggal di rumah atas bukit itu, aku tak pernah nampak ‘mereka’. Syukur alhamdulillah sebab aku ni penakut orangnya.Walau macam manapun yang aku nak cerita ni ialah pengalaman yang pada pandangan aku, ‘mereka’ mengusik aku secara sengaja.

Kejadian ini berlaku ketika aku darjah 5. Tahun akhir kami sekeluarga tinggal di rumah atas bukit. Adik-beradik yang tinggal dalam rumah atas bukit itu, tinggal empat orang. Jadi, akulah heroin otai masa tu. Abang , Akak dan Jiha tiada, masuk sekolah asrama.

Tradisi wajib keluarga aku. Masuk sekolah asrama.

Aku ingat lagi hari itu. Rabu, sebab mak dan ayah pergi ke pasar malam. Memang menjadi kebiasaan dalam keluarga kami asal beli barangan mentah je, pasar malam. Lepas tu pulak, pasar malam yang sama tiap-tiap minggu.

Pasar Malam Rapat Setia. Huh! Boring.

Selesai solat maghrib dan mengaji, mak dan ayah pergi pasar malam dengan Nan dan Adik. Tinggallah aku dengan Jah berdua sahaja di rumah. Aku tak nak ikut sebab banyak sangat homework yang perlu aku siapkan. Siang, macam biasalah. Tengok TV.

Kalau tak siap homework yang cikgu berikan, alamatnya aku kena denda ketuk ketampi 30 kali, esok. Cikgu memang, asal ketuk ketampi je 30 kali, asal 30 kali je aku kena ketuk ketampi.

Aduh! Memang tak best. Pasal itulah aku tak nak kena lagi buat kali ke 8! Rasa nak tercabut dah lutut aku ni. Cabut terus karang tak pasal-pasal jadi orang ‘istimewa’.

Alasan ‘cover’ baeek punya. Heh!

Yelah...yelah. Masa depan aku juga kan?

Malam itu Jah teman aku. Dia budak darjah 3, mana ada kerja sekolah. Sambil teman aku, dia melakukan aktiviti ke-creative-an dan kegemaran dulu, kini dan selama dia iaitu melukis.

Mood malam tu dia nak melukis Cinderella dengan pelbagai fesyen baju. Ala-ala fashion designer pula aku tengok dia ni. Kami membuat tugasan tersebut di tengah-tengah ruang tamu 2. Semua ruang lain, kami biarkan tidak menyala. Hanya lampu di ruang tamu 2 dan bahagian tangga sahaja kami biarkan menyala.

“Jimat.” Pesan mak.

Sedang kami khusyuk dan syok membuat tugasan masing-masing, aku terdengar satu bunyi pelik dari arah tangga. Aku duduk tegak. Mengamati bunyi itu.

Shreeeetttttt....... shreeeetttttt....... shreeeetttttt..........


Bunyi seperti siling sedang dibersihkan menggunakan penyapu ‘sawang’.

Dengan tindakan refleks yang ada pada budak darjah 5, aku segera pandang ke tempat yang berbunyi itu. Betul depan tangga. Setahu aku siling ground floor bukan asbestos sebaliknya lantai simen. Bagaimana pula bunyi itu boleh terhasil?

Aku pandang ke arah pintu pemisah ruang tamu 1 dan 2 yang terletak di tepi tangga yang kami sengaja biarkan terbuka.

Dup...Dap...Dup...Dap...jantung aku bergerak laju.

Aku tengok lagi. Kosong dan malap. Sunyi dan sepi. Ruang itu terbias hanya dengan cahaya lampu dari tangga.

Kenapa pulak sapu sawang ni? Ada orang ke?

Aku mengesot rapat ke Jah. Tapi Jah hanya diam. Buat-buat tak dengar atau memang dia tak dengar. Tetap meneruskan aktivitinya melukis Cinderella dengan gaun kembangnya.

Bunyi apa tu?Aku tanya Jah.

Jah hanya menjungkitkan bahu. Jah tak tahu. Dia tak dengar. Aku cuba amati lagi. Kot-kot ada bunyi lagi lepas itu. Tapi gagal.

TV yang terletak atas almari aku pandang sepi sebab memang dari tadi kami tidak buka. Konon tak nak ada gangguan sebab nak buat kerja rumah sampai siap. Daya fokus aku dah lari sikit sebab badan aku dah mula rasa seram sejuk. Bulu roma dah meremang.

Ehem! Ehem! Aku sengaja berdehem. Nak hilangkan debaran di dada. Macam-macam kesimpulan terlintas dalam kepala aku waktu itu.

Cicak kot. Mesti cicak punyalah. Kataku untuk sedapkan hati sendiri. Aku cuba buat-buat cool macam tiada apa yang berlaku. Kemudian aku sambung semula buat kerja aku. Tapi baru saja aku nak cuba mengkhusyukkan diri membuat homework balik, ada sesuatu bunyi datang dari dapur pula.

Ketung...keting...ketung...keting...

Ketang...keting...ketang...keting...

Bunyi sudu berlaga dengan kaca. Macam orang tengah mengacau air dalam jag kaca.

Kali ini Jah pula mencuit aku. Aku tersentak.

“Siapa kat dapur tu?” suara Jah terkeluar kuat sedikit dari nada aku tanya tadi. Hish Jah ni, kan Mak dah pesan banyak kali.

JANGAN TEGUR.

Dengan spontan, Aku dengan Jah memanjangkan leher. Menjenguk pintu dapur yang berbentuk ala-ala pintu bar zaman cowboy.

Gelap. Tiada satu bayang atau pergerakan pun. Bunyi itu masih berterusan seolah-olah ‘mereka’ sedang membancuh air dengan meriahnya.  Bukti menunjukkan bunyi itu tidak dapat dikesan.

Kami tidak berganjak dari tempat duduk tadi. Akibat ketakutan, aku dan Jah segera membaringkan diri ke lantai secara serentak. Berpeluh satu badan.

Aku memandang sekeliling. Siling,  langsir, pintu. Tiada apa yang berubah. Jah, aku peluk rapat-rapat. Aku dapat rasakan badan dia menggeletar. Aku pun sama. Takut.

Dalam fikiran aku waktu itu mengharapkan ayah dan mak agar segera pulang. Masa itu mana ada handphone ni semua. Nak tak nak memang kena tunggu. Akibat ketakutan dan kepenatan menunggu, kami berdua terlelap.

Kami terjaga bila mak kejutkan aku. Mak tanya kami sudah solat isyak atau belum.

Entah kenapa aku bingung dan blur. Namun aku ikutkan juga. Lepas solat, tanpa berlengah aku mengekori mak ke dapur untuk menyimpan barang makanan yang dibeli dan bersedia untuk makan malam.

Jah ikut sekali. Konon-konon nak tolong mak susun barang. Tapi niat aku dan Jah sebenarnya nak tengok sama ada bekas jag berisi air dan sudu yang kami dengar tadi itu ada atau tidak di dapur.

Dapur kemas macam biasa sebab Mak memang pengemas orangnya. Aku tengok sinki kosong. Setitik air pun tiada.

Aku pandang Jah. Dia pun sama. Tak terkata apa. Dalam hati kami terdetik, siapa pula yang membancuh air dalam keadaan gelap tadi?

Kemudian aku tanya mak. “Mana mak simpan penyapu sawang?”

Mak pelik. “Tu.” Balasnya sambil mulut dimuncungkan pada satu sudut di belakang pintu dapur.

Ah, sudah.”

Demikianlah cerita dia orang. Aku memang tahu ‘mereka’ memang suka bancuh air kat dapur tu. Tak percaya, tanya Abang. Dia suka duduk sorang-sorang dalam rumah. Heh!


No comments: