Sunday, November 13, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : TERAWIH BERSAMA ‘MEREKA’

LOKASI : RUMAH ATAS BUKIT (1990an)
RUANG TAMU KE 2. SEBELAH TANGGA
KELUASAN : TAK PAYAH SEBUT. MEMANG BESAR.

Ayah dengan abang pergi solat terawih di surau.

Mak, aku, Jiha, Ilah, Jah dan 2 adik laki aku Nan dan Adik ada kat rumah.
Kecoh macam biasa. Kau orang tahulah kalau budak perempuan duduk sekali. Kalau bercakap mengalahkan nyonya kat pasar. Volume semua up up belaka.

Sebagai mak yang mementingkan disiplin dan didikan agama, kami wajib solat terawih.
Jemaah. Mak jadi imam.

Terkedek-kedek la kami berempat budak perempuan ni pergi ambil air sembahyang, sambil merungut sebab cerita 2+1 nak mula dah.

Kami solat di ruang tamu 2. Tempat lain kami tutup lampu.

”Jimat”. Kata mak.

2 adik laki, sibuk main lori traktor yang baru ayah belikan kat pasar malam Rapat Setia semalam.
”Bbbbrrrrrr”. Siap bunyikan traktor tu pakai mulut. Main depan tangga.

Sedang khusyuk kami solat, tiba-tiba terdengar air tab bilik mandi master bedroom di tingkat atas dibuka.

Perlahan. Kemudian disusuli bunyi orang sedang membasuh kain.

Bukan pakai mesin basuh. Tapi membasuh sambil memberus di lantai bilik air. Kain yang dicuci juga dihempas-hempas ke lantai.

Siap ketuk-ketuk berus tu kat lantai lagi.

Sesh..sesh..sesh..duk..duk..duk..sesh..sesh..duk..duk..lama ulangannya.

Ala-ala orang membasuh kain di tepi sungai tu. Bayangkan cerita P.Ramlee sudah!

Aku yang sedang solat tak berapa khusyuk tu, mendiamkan diri. ’Mengusyuk’kan diri mendengar bunyi tu.

Jiha yang solat di sebelah aku, dan dan merapatkan saf. Dekat.

Ilah pun sama. Merapat ke Jiha. Jah, cool je. Sebab dia baru tadika. Budak-budak. Mana tahu semua ni.

Adik yang berumur setahun ketika itu terdiam. Mengamati bunyi.

Tiba-tiba dia berlari ke arah mak yang sedang mengimamkan terawih. Dia terus bersandar pada mak.

Dek kerana adik duduk atas telekongnya, tersangkut-sangkut orang tua itu solat.

Nan bersandar dekat dinding. Depan kita orang solat. Konon-konon tak nak ada orang sergah dari belakang lah tu.

Aku, tak payah cakaplah. Memang ala-ala kecut dah perut waktu ni. Mata dah melilau.

Ilah cakap, dia tengok siling dah time ni. Dari tengok sejadah, ke siling. Kejap – kejap tengok tangga. Kot-kot ada orang turun dari tangga.

Habis solat, mak pandang aku. Tapi kami masing-masing diam. Tak nak bersuara.

Mak buat-buat cool. Tak takut.

JANGAN TEGUR. Tak elok.

Setengah jam lepas itu, ayah dengan abang balik, mak ajak ayah naik bilik.
Haish! Ha! Bukanlah!

Ajak pergi jenguk bilik air di master bedroom. Mana tau, kot-kot ada orang curi-curi masuk rumah ke?

Abang macam biasa masuk bilik tutup pintu. Buat ’nehen’ je. Bak kata orang Perak.

Aku dan adik-adik lain duduk kat ruang tamu dua sambil menunggu dengan penuh suspen. Setelah 20 minit suspen, terdengar suara ayah.

Dah, tidur. Esok nak sahur susah pula nak bangun. Nada arahan bercampur bebelan. Tinggi sikit volume dia.

Macam biasa. JANGAN TEGUR.

Waktu berbaring di katil, aku terdengar suara mak bersembang dengan ayah kat dapur sambil supper kuih baki buka puasa tadi.

”Orang dewan makan kat bawah tu kot. Tu yang boleh dengar tu.” Selamba je mak buat kesimpulan.

GULP.

Aku telan liur. Orang dewan makan apa mak ni. Dia orang bukan tutup ke sekarang? Semua budak sekolah balik kampung. Tu abang ada.

Kalau dia ada maknanya sekolah cuti la kan?

* *

Esok siang-siang aku dapatkan mak.

”Lampu bilik air terbuka semalam. Tapi paip air tak buka. Lantai pun tak basah. Kita terdengar orang lain basuh kain ni. Jiran bawah bukit tu kot.”

Mak, kita satu-satunya rumah atas bukit ni. Mana ada jiran.

Kemudian aku terpandang pokok rambutan rendang belakang master bedroom.

Redup.

Bukan bulan puasa hantu dan syaitan kena ikat ke?

Habis siapa yang basuh kain malam tadi?

Ambil nota : Bahagian bawah bukit tu terletaknya dewan makan sekolah dan bilik tidur aku setentang dengan bumbung dapur.