Sunday, November 13, 2011

RUMAH ATAS BUKIT

LOKASI : ATAS BUKIT. KUARTERS SEKOLAH ASRAMA.

RUMAH : BANGLO LAMA ZAMAN BRITISH. BENTUK L.

2 RUANG TAMU, 3 BILIK, 2 BILIK ORANG GAJI. 5 BILIK AIR.

KELUASAN : 1 RUANG TAMU SAMA BESAR 1 RUMAH KOS RENDAH.

Suasana petang itu, kelam kabut. Hujan lebat. Kami sekeluarga diberitahu rumah kami yang lagi satu mengalami banjir kilat.

Oleh kerana kami ni sekolah rendah je belaka kecuali abang yang sulung bersekolah asrama, terpaksa diangkut juga mengikut membersih rumah. Kami berangkat meninggalkan rumah atas bukit itu betul-betul sebelum maghrib.

Aku masuk ke dalam kereta dan bersesak dengan adik-adik yang lain selepas siap masukkan beg baju ke dalam but kereta. Keadaan sesak sebab adik beradik aku ketika itu 7 orang. Tolak abang aku, 6 orang.

Cuba bayangkan. Bayangkaaan.

Aku geleng kepala masa bayangkan. Heh!

Okey. Okey. Selaku ayah yang berdedikasi, semua lampu dan kipas ditutup dan pintu berkunci. Mak yang mendukung adik lelaki umur 3 tahun membebel. Suruh kami diam.

Ayah nak masuk kereta. Diam!

Dengan perlahan rumah atas bukit itu kami tinggalkan. Gelap. Lampu porch berwarna kuning sahaja yang menyala. Oleh kerana hujan, pintu porch dibiarkan terbuka.

* * * * * *

Esoknya. Jam 7 pagi. Kelam kabut juga. Lambat dah nak pergi sekolah.

Kereta, ayah pandu masuk ke dalam porch. Aku lihat lampu dapur terbuka dari celah-celah kekisi tingkap kayu itu.

Tapi aku blur. Lupa yang kami semua memang tiada di rumah semalam.

Aku masuk selepas ayah. Sebaik sahaja masuk, dapur terang berlampu.

Langkah ayah terhenti.

Akak, semalam ayah tutup lampu semua kan?

Entah. Sambil jungkit bahu.

Aku jawab ala-ala budak darjah 6. Pasal aku darjah 6 la aku jawab macam tu. Habis kau orang nak aku jawab macam mana?

Ilah, adik aku darjah 2, ikut belakang aku. Ayah, aku dan Ilah meluru ke dapur.

TV di dapur terbuka. Channel tiada. Hitam putih. Ssssssssrrrrrrrrrrr.

Volume 17. Ayah ambil remote tv atas meja dan tutup. Dia pegang tv itu.

Panas.

Aik, siapa yang tengok tv last semalam tak tutup? Soal ayah. Ada nada marah.

Aku pandang Ilah. Ilah pandang aku balik.

Semalam kan hujan lebat. Kami mana tengok tv. Kalau tengok juga kena pulas telinga pulak.

Pandai-pandai je tuduh kami tengok tv. Heh!

Aku tengok keliling. Satu kerusi terletak betul-betul menghadap tv. Menonton bola agaknya malam tadi.

Abang balik kot, sampuk Mak entah dari mana.

Kami semua tarik nafas. Sepakat. Abang balik.

* * * * * *

Petang itu aku balik sekolah, kelam kabut juga. Kecoh.

Ayah pergi sekolah tanya abang, ada tak dia balik rumah malam tadi.

Biasalah kalau budak laki, fly dari asrama.

Abang kata mana ada. Hujan. Dia malas nak berbasah.

Lagipun dia mana ada kunci rumah. Dia baru form 2. Mana pandai fly lagi.

Ah sudah. Ayah pandang Mak. Mak pandang ayah. Aku, pandang dapur.

Siapa pula yang tengok bola malam tadi?

Gulp!

Badan rasa seram sejuk.

Ambil nota : TV zaman 90-an, memang pakai remote, tapi masih analog tv. Mana ada skrin biru macam sekarang.





No comments: