Monday, November 14, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : 'MASTER BEDROOM'

Hari itu, semua orang tak tahu kenapa, jadi mengada-ngada. Takut lebih-lebih, tak nak tidur bilik belakang dengan aku. Sejak aku duduk asrama,mak cakap semua nak tidur dengan mak kat master bedroom.

Cuti sekolah hujung bulan aku balik rumah. Tapi abang tak balik. Sebab dia bukan satu sekolah asrama dengan aku. Aku tanya Jiha, time tu heroin kat rumah lah, sebab dia paling besar lepas aku kenapa nak tidur bilik mak. Jomlah tidur bilik kita.

Dia pun sama. Ikot ngada-ngada tak nak tidur bilik belakang.

”Nyamuk lah,” balasnya selamba. Nyamuk bukan alasan. Aku yakin. Dalam hati aku time ni terdetik gak, habis kalau tidur bilik mak dengan ayah, nyamuk takde ke?

Sudahnya tanpa banyak soal, aku pun mengikut. Takut tidur seorang punya pasal. Biasalah budak dulu-dulu, tak ada maknanya nak tidur sorang-sorang dalam bilik.

Semasa masuk ke master bedroom bersama bantal dan selimut sendiri, baru aku sedar keistimewaan bilik mak dan ayah dan kenapa semua orang nak tidur bilik dia orang.


Ada kelambu. Nan dengan Adik hari-hari tidur dalam kelambu atas katil. Patutlah syok saja. Aman tiada gangguan.

Aku terfikir, habis kalau kami mengasak kat dalam bilik ini, mak dengan ayah tidur mana pula? Jawapan itu terjawab masa Nan dan Adik dah tidur, mak tidur bilik aku. Cess, kalau aku tahu tak payah aku bersusah payah.

Namun begitu, aku teruskan jelah alang-alang dah berbaring atas katil ni, malas pula nak bangun. Lagipun bilik ayah, sejuk. Macam ada aircond.

Masa tengah terkebil-kebil tu, aku menyumpah dalam hati. Tak boleh juga aku tidur kat sini. Tukar tempat tidur buat aku tak boleh lelap. Aku pusing kiri, tengok adik aku dah sedap berdengkur. Tinggal aku seorang tak tidur.

Mulalah aku melilau melihat keliling bilik. Lampu bilik air, terbuka. Mungkin mak sengaja tak tutup. Dari celah-celah pintu bilik, aku nampak lampu tangga terbuka. Senyap. Yang aku dengar, bunyi cengkerik dan daun-daun gerak ditiup angin.

Aku tengok keluar tingkap. Ada bayang-bayang pokok durian yang dipantulkan cahaya lampu neon oren. Gerak-gerak. Jantung aku tiba-tiba rasa kecut. Kecik je. Jam time tu dah lepas tengah malam. Masih aku ingat waktu itu 12.50 am.

Entah kenapa aku rasa tak selesa dan seram sejuk. Aku tengok keliling lagi sekali. Tak ada yang berubah. Yang berubah cumalah kedudukan Adik dengan Nan yang tidur tak reti duduk setempat.

Aku tutup mata dan selubung badan aku dengan selimut walaupun berpeluh. Akhirnya entah bila aku terlelap aku pun tak sedar.

Aku terjaga bila dengar suara ayah keras, suruh bangun solat Subuh. Hehe depan ayah buat-buat bangun. Siap duduk lagi. Ayah keluar je aku sambung tidur balik. Akhirnya, mak pula masuk kejut.

Tapi dia membebel. Marahkan Nan. Dia kata Nan kencing sebab dia bau hancing kuat menyerbakkan biliknya. Aku toleh pada Nan yang masih tak sedar diri.

Aku tengok seluar dia. Kering.

Begitu juga seluar Adik.

”Mak, mana ada dia orang kencing. Kering je. Akak tak rasa basah pun.”

Mak hairan tapi nada marah tetap ada.

”Habis bau ni, datang dari mana? Kuat ni” bebelnya lagi.

Aku tak kuasa melayan mak, bangun pergi ambil air sembahyang. Rupanya betul kata mak, keluar saja dari kelambu, bau itu menusuk hidung.

Kalau betul Nan atau Adik yang membuang, kenapa aku yang berada dalam kelambu tidak bau?

Mak dengan kuasa supermaknya, mula mengesan bau itu menggunakan hidungnya. Habis semua dia selak dan pegang. Aku biar saja perbuatan mak tanpa membantunya. Aku masih superkak, tak alert benda-benda macam ni. Heh!

Kemudian selepas selesai solat, mak gamit aku. Dia tunjukkan sesuatu.

“Apa mak?” Soalku.

Mak tak bersuara tapi dia menunjukkan tompok air kencing warna coklat kekuningan di bahagian atas kelambu, hampir dengan pintunya. Aku hairan tapi aku diam. Bau dia, mak…memang !@#$%^&*&^%$.

Dalam hati, JANGAN TEGUR.

Dengan pantas, mak buka kelambu dan dengan bantuan aku, kami masukkan kelambu tersebut dalam plastik hitam.

Mak nak buang?soalku. Mak diam. Aku pula tak banyak soal lagi menurut saja.

Aku tengok mak bawa plastik itu keluar. Cerita tentang apa mak buat dengan kelambu itu aku tak berapa pasti. Aku rasa mak buang, tapi mungkin juga mak dah bakar.

*****************

Beberapa hari lepas tu mak buka cerita, kencing yang kami bau itu, bau kencing orang tua. Aku tanya mak, macam mana dia boleh tahu pula?

Kencing orang tua?

Mak kata bau itu sama macam bau kencing arwah Atok, masa mak jaga dia dulu time sakit. Aku tanya mak lagi siapa yang kencing. Nan ke Adik?

“Bukan adik kencing. Orang lain”. Jawab mak. Aku suspen. Takkan adik perempuan yang kencing. Selama ni sejarah kami bersih. Seorang pun tak pernah tumpah kat katil.

“Orang tua yang kencing. Tapi mak hairan macam mana dia boleh pancut sampai bahagian atas kelambu tanpa kotorkan lantai. Besar tau tompokkan dia.” Mak masih memikirkan ‘how’ tapi bagi aku Mak tak payah hurai lanjut sebab selepas itu aku dah faham.

Orang tua maksud mak adalah, ‘mereka’. Kemudian kepala aku terasa bengang.

Bertenggekkah mereka atas kelambu aku malam tu sambil melihat kami tidur? Kencing sebab tengok kami tidur kah?

Darah aku menyirap dan peluh keluar. Patutlah aku payah lena. Ada orang tengok rupanya.

S_ _ _ !!

Tidur lagi bilik mak! Menyesal. Menyesal!

By : Aie Afat



To See More Illustration click here :)


No comments: