Wednesday, November 16, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : MAIN GOLEK-GOLEK

Cerita kali ini datang dari seorang warden. Rumah dia terletak jauh sedikit di hadapan rumah kami. Antara rumahnya dan rumah kami dihalang oleh timbunan pokok-pokok ru, pokok buah-buahan dan belukar tumbuh meliar. Memang tak nampak. Rumah dia, kami panggil sebagai rumah dalam hutan.

Menurut dia, waktu itu, malam Jumaat. Dia baru selesai buat rondaan di asrama lelaki. Jam menunjukkan lebih kurang jam 11.30 ke 12 malam. Dia menaiki motor untuk pulang ke rumah.

Aku tanya mak, tapi dia tak pasti ketika itu kami ada dirumah atau tidak. Tapi kalau menurut pengamatanku, peristiwa itu berlaku ketika kami tiada dirumah. Rumah gelap, yang tinggal hanya lampu di bahagian depan rumah dan lampu jalan menerangi laman hadapan.

Dari lokasi asrama ke rumahnya, dia perlu melalui jalan kecil tepi rumah kami. Angin sepoi-sepoi bahasa sewaktu motor kapcai EX5 dia, mendaki jalan berbukit di belakang rumah atas bukit.

Malam nanti hujanlah ni, fikirnya dalam hati. Dia nyanyi-nyanyi kecil.

Sedang dia berangan-angan sambil mendongak ke atas, dia ternampak sesuatu bergolek atas bumbung dapur rumah atas bukit. Sengaja dia menyorotkan lampu motornya ke arah bumbung untuk pastikan apakah benda itu. Takut pencuri.

Apakan daya, lampu motornya macam motor lain juga. Sorot kecil. Suram.

Tidak berpuas hati dia nyalakan sportlight motor. Nak bagi puas hati. High beam. Hah! Puas hati.

Pada mulanya dia ingatkan bola. Nan dengan adik, memang kuat main bola. Petang-petang, selalu main bola depan rumah. Berangan jadi hero bola sepak ala-ala David Beckham. Heh!

Namun, apabila diamatinya sungguh-sungguh, dia terkejut lantas berdebar-debar. Kuat. Dengan jelas dan yakin dia dapat tahu benda yang sedang bergolek atas bumbung itu tanpa jatuh itu, bukan bola mahupun pencuri.

Peluh dah mula memercik bahagian belakang bajunya. Basah. Belum hujan dah basah.

Dalam takut–takut berani itu, dia tengok ‘benda bergolek’ itu tanpa kelip mata mahupun memperlahankan motornya. Semakin hampir, semakin yakin.

Golek..golek…golek…kepala.
Golek..golek…golek…kepala.

Banyak kali. Kehadapan, kebelakang, berulang-ulang. Mulutnya ketika itu sudah kumat-kumit membaca ayat Kursi. Dia berkata lagi, perbuatan itu masih berlaku biarpun ketika itu dia sedang melalui tepi rumah kami.

Golek..golek…golek…kepala.
Golek..golek…golek…kepala.

Dalam hati dia berdoa-doa agar kepala tersebut tidak tumpangnya ikut pulang ke rumah. Mulutnya semakin kuat mengalunkan ayat Kursi. Mujur boleh. Kalau tak mahu dia dikejar, bayangnya. Dia teruskan perjalanan tanpa toleh ke belakang.

Prinsip JANGAN PANDANG BELAKANG di pegang teguh. Walaupun berpeluh dan seram-seram sejuk, sampai rumah dia terus mandi dan tidur tanpa cerita apa-apa pada isterinya.

JANGAN TEGUR. Ucapnya dalam hati.

Dia tidak menceritakan peristiwa itu kepada mak atau ayah kerana bimbang kami takut tinggal di rumah itu. Peristiwa itu diceritakan semula oleh warden lain seminggu selepas kejadian.

Aku tanya mak. “Mana dia tahu itu kepala mak?” soalku.

Ada rambut. Panjang pulak tu. Mata pun ada. Tapi dia tak nampaklah mata tu betul-betul sebab takut nak tengok lama-lama” balas mak.

Ah, payah. Katil aku betul-betul sebelah tingkap tepi bumbung dapur.

Nak ubah katil ke nak tidur bilik lain malam ni?

Bilik lain? Lagi teruk!

Huwaaaaa!!!! Nak pindah rumah malam ni jugak!!

Ambil nota : Kalau nak lari dari bilik aku, panjat ikut bumbung dapur lagi senang. Langkah je. Tak payah terjun-terjun….Oh? Maknanya? Selama ni aku berlagak bilik aku paling selamat. Hampeh!
Ilustration by artist : Aie Afat



1 comment:

Doneida Nurul said...

best2...good job...seram...