Tuesday, November 22, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : 'LAMPU AJAIB'

Waktu itu jam sudah menunjukkan angka 7.45 malam. Selepas solat maghrib, selalunya mak mahu kami semua anak daranya membantu menyediakan makan malam bagi haru tersebut.

Aku, sebagai kakak yang tua, paling rajin masuk ke dapur. Jiha pula jadi pegawai pemerhati sahaja ketika itu. Aku masih ingat lagi mak menyuruh aku memotong ayam kepada 16 bahagian untuk dimasak kicap.

Kegemaran kami sekeluarga memang hidangan ayam masak kicap. Maka aku dengan semangat dan rajinnya membantu mak sambil diperhatikan Jiha. Aku cuba membuat kerja sambil berbual dengan Jiha. Entah bagaimana, perbualan kami hangat, makin lama, makin sengit dan akhirnya berkesudahan dengan pergaduhan besar.

Aku meninggi suara, begitu juga dengan Jiha. Masing-masing tidak mahu kalah walaupun benang masing-masing dah basah. Mak punya penyataan yang betul sebenarnya. Sungguhpun begitu, memang kebiasaannya, aku dan Jiha kalau gaduh tidak akan mengalah sama sekali.

Tidak semena-mena kedengaran satu bunyi riuh rendah sekawan burung yang sangat banyak, mungkin baru pulang petang. Burung-burung tersebut seolah-olah ikut gaduh sekaki bak kata orang sekarang join sekaki. Ilah hairan lantas memandang ke arah luar rumah, namun tidak nampak sekawan burung mahupun seekor burung pun yang berterbangan di luar rumah.

Aku dengar bunyi tersebut datang dari arah bangsal kayu yang terletak di bahagian belakang bilik orang gaji rumah atas bukit. Selepas dengar sahaja bunyi itu, kami berhenti bergaduh sebab suara burung yang riuh itu mengganggu kosentrasi aku untuk gaduh lebih panjang lagi.

Agaknya malas nak menyambung gaduh selepas itu, Jiha menyertai adik-adik lain menonton kartun Doreamon.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kereta Volvo ayah masuk ke dalam garaj. Pintu rumah terkuak dari luar dan muncul ayah di muka pintu. Wajahnya tidak berapa elok ketika itu. Nampak seperti tidak senang akan sesuatu atau kata pendeknya marah.

“Siapa guna bilik air atas tak tutup lampu balik?” tinggi suaranya kerana ayah memang pantang kalau kami mengamalkan sikap membazir elektrik. Mak cuba menenangkan ayah dengan bersuara lembut.

“Bilik air mana?” tenang suara mak bertanya.

“Bilik akak.” balasnya sambil memandang ke arahku. Aku dengan jujurnya mengaku.

“Bukan akak yang pakai last sekali. Akak ambil air sembahyang dekat bawah ni tadi,” balasku selamba dengan nada kerek. Setelah mendengar jawapanku, pandangan ayah beralih kepada sekumpulan anaknya yang sedang khusyuk menghadap tv.

“Siapa guna bilik air atas tak tutup lampu balik?” ayah ulang soalan bagi mendapatkan jawapan sambil menunjukkan kuasanya sebagai ketua keluarga.
“Kita orang tak guna bilik air atas. Hari ni kami duduk kat bawah je,” balas Jiha.

Ada je jawapan, tak nak mengaku. Pergi tutup sekarang,” perintah ayah.

Semua orang terdiam. Masing-masing tidak mahu berganjak dari tempat duduk. Mungkin tidak mahu meninggalkan kartun Doreamon ataupun takut mahu naik ke atas bilik seorang-seorang. Berteman pun belum tentu berani.

“Lekas,” perintah ayah lagi. Semua tunduk.

“Takutlah ayah,” Jiha bersuara mewakili semua orang. Ayah mendengus sambil merungut kecil. Sudahnya, dia melangkahkan kakinya sendiri naik ke tingkat atas untuk menutup lampu.

Aku tidak peduli sangat sebab aku sibuk masak dengan erti kata lain aku selamat, tak perlu naik atas tutup lampu. Heh!

Kemudian kedengaran lantai tingkat atas yang berlantaikan kayu pakir berderap laju dan ayah berlari menuruni tangga. Sampai ke dapur, ayah duduk di kerusi. Dia cuba bertenang.

Semua orang pergi mendapatkan ayah. Mak pelik.

“Kenapa ayah?” Soal semua hampir serentak. Ayah buat-buat gelak.

“Tak ada apa, ayah kejar tikus. Tapi dah lari ikut tingkap bilik abang.” Jawab ayah dengan tenang. Kami ketawakan ayah. Kami rasa perlakuan ayah sangat kelakar.

Lewat malam itu, suara burung-burung yang riuh itu kedengaran lagi dari bangsal kayu tersebut. Aku jenguk keluar tingkap dan memandang ke arah bengsal kayu tersebut namun dek suasana gelap gelita, pandangan aku jadi terhad.

Burung bising malam-malam ni buat apa pula? Tak nak tidur kah? Bebelku seorang sampai tertidur.

************

Mak masuk kejut aku pagi itu. Aku sembang dengan mak sambil kemas bilik.

Mak dengar tak bunyi burung-burung tu lagi tengah malam semalam?” soalku.

“Dengar juga,” jawab mak pendek. Mak pandang aku.

“Kenapa?” soalnya kembali. Aku jungkit bahu. Banyak sangat peristiwa pelik yang sengaja berlaku untuk menarik perhatian kami sekeluarga.

“Bukan apa mak, belakang tu mana pernah ada burung singgah situ. Kat situ kan ada ular,” ujarku. Mak diam.

“Burung jarang berkicau tengah malam kalau tidak ada ‘benda’ mengusik mereka,” jawab mak memberi jawapan supaya muka tanda tanya aku lenyap. Aku angguk dengar jawapan mak.

Faham sangat dah. Macam-macamlah ‘mereka’ ni!

Kemudian mak cuit aku.

“Mana ada tikus semalam,” kata mak memulakan bicara. Aku berdebar kerana aku dengan segera sudah dapat menangkap apa yang mak maksudkan. Iaitu bilik air dalam bilik aku tidur ini.

Aku membuang pandanganku ke arah bilik air itu. Lampunya tertutup. Begitu juga pintunya.

“Masa ayah balik dari surau semalam, dia nampak lampu bilik air kamu terbuka. Tapi masa dia naik mahu tutup lampu, dia terkejut. Lampu dah siap tertutup pula. Itu yang buat ayah lari tu,” cerita mak. Aku terdiam namun kepalaku ligat berfikir.

Serba salah. Nak gelak ke nak takut?

Aku merasakan peristiwa itu kelakar sebab pertama kali rasanya nampak ayah yang macho itu, takut, namun mulai pagi itu aku dan adik-adik, sain kontrak mandi dan ambil air sembahyang guna bilik air tingkat bawah.

Bilik tidur itu juga kosong pada waktu malam akibat kami semua adik beradik tidur master bedroom selama satu bulan. Aku selamat sebab aku tinggal di asrama. Heh!

Ambil nota : toilet tu kami guna kalau terpaksa saja. Itu pun tidak sampai seminit. Pemilik sebelum ini, anak perempuannya berusia 12 tahun dan 8 tahun terperangkap setengah jam dalam bilik air yang sama beberapa tahun sebelumnya. Diceritakan sendiri oleh budak perempuan yang terperangkap itu. Pintu bilik air terkunci ketat dan lampu terbuka dengan sendiri. Mereka dapat diselamatkan bila pintu itu dikopak.



No comments: