Sunday, November 27, 2011

LALUAN PUAKA - Pekan Gajah


Peristiwa ini baru sahaja berlaku. Kemungkinan sebelum bulan puasa tahun 2010. Kali ini melibatkan mak, ayah dan sebuah laluan atau jalan puaka.

Orang luar mungkin tidak perasan laluan ini kerana ianya antara tempat laluan pemandu-pemandu dari KL dan Utara mahu ke Lumut. Selalunya pemandu yang selalu berangan nak menyertai F1 atau F4, gunakan laluan ini untuk melepaskan gian berlumba setelah melalui laluan sebelum ini yang berliku-liku dan sempit.

Kalau kau orang nak pergi mandi laut kat Teluk Batik pun akan lalu jalan ini. WAJIB!

Laluan ini boleh dikatakan sering digunakan oleh aku dan keluarga untuk ke Ipoh membeli-belah atau keluar jalan-jalan memandangkan sekarang aku tinggal di pekan kecil atau budak bandar suka kategorikan pekan aku tinggal sekarang ini sebagai pekan cowboy.

Terletaknya laluan ini adalah di sebuah kampung yang aku namakan dia sebagai Kg SR. Keadaan laluan ini ketika siang adalah redup dengan deruan angin asli dek oksigen yang berlebihan dari pokok-pokok yang tumbuh meliar dan tebal di kiri dan kanan jalan. Apabila malam pula, pemandu seringkali menggunakan lampu high beam untuk memberi sinaran pada laluan ini dek kegelapan yang sama macam crayon warna hitam.

Laluan ini agak sibuk, tidak kira pagi, tengahari, petang mahupun malam dan kesibukannya memuncak tatkala musim perayaan. Segala macam kereta, lori balak ke lori pasir serta lori kontena pun menyibuk melalui jalan ini tanpa mereka menyedari mengenai risiko yang mereka mungkin hadapi.

Kalau ikut pengalaman aku sendiri, tempat yang sama juga aku pernah nampak anak harimau mati terbaring ditepi jalan. Mungkin tak sempat ikut mak dan bapak dia melintas jalan, sudah dilanggar lori kontena. Tapi aku tak kutiplah anak harimau itu sebab takut mak bapak dia kutip aku balik buat lauk pula. Heh!

Sudah bermacam cerita dapat didengari dari penduduk setempat, pengalaman cikgu sendiri, kawan kepada Nan, kawan kepada aku, mengenai laluan ini. Mereka semua berpesan perkara yang sama.

JANGAN IKUT JALAN INI SELEPAS 12 TENGAH MALAM.

Bukan seorang dua yang berpesan tau. Ramai!

Selalu jugalah makcik-makcik jual pisang goreng dan laksa di tepi jalan di kampung sebelah berpesan kepada orang luar yang datang menyinggah gerai mereka, agar tidak melalui jalan ini selepas jam 12 tengah malam.

Aku pun pernah mendengar sendiri dari mereka-mereka yang pernah mengalami kejadian pelik ketika melalui jalan tersebut.

Panjang laluan ini adalah sejauh 1 kilometer. Lurus dan sedikit berbukit. Terdapat pula satu pondok kayu yang ditinggal tanpa tuan di kiri bahu jalan. Ciri-ciri batu tarnya elok. Ada tampal pun sikit je. Tidak akan menjejaskan tayar kereta savvy mahupun kereta kembara.

Berbalik kepada cerita.

Malam itu, ayah, mak dan adik bongsu Qis, dalam perjalan pulang dari Ipoh. Jam waktu tu masih belum lewat pun. Masih menunjukkan jam 9.30 – 10 malam. Menurut ayah, laluan itu sibuk, banyak kereta, lori pasir dan lori babi lalu lalang disitu, maklumlah hari minggu.

Selepas traffic light, ayah memandu kereta sederhana laju kerana dihadapannya terdapat 4 atau 5 lagi kereta sedang mengekori sebuah lori membawa muatan pasir. 40km sejam. Okeylah kan? Namun kereta dari arah lawan, kemain lagi laju. Menyukarkan proses cilok mencilok yang ingin dilakukannya.

Sedang asyik memandu sambil mendengar ceramah di radio kereta, tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatian mata ayah. Jauh di hadapan.

Dia ternampak ada satu silinder berwarna putih bercahaya berada di tengah-tengah atas garis putih pembahagi jalan. Ayah merasa pelik.

Silinder tersebut tetap kejap berdiri di atas jalan tanpa sedikit pun terjejas atau berganjak dari kedudukannya walaupun kereta yang lalu-lalang di sebelah kiri dan kanannya laju-laju belaka.

Hati ayah terdetik hairan kerana belum pernah sekalipun di dalam hidupnya selama 60 tahun melihatkan kejadian seumpama itu. Kereta-kereta yang dipandu laju dikiri dan kanan semestinya akan menghasilkan momentum tinggi yang boleh menyebabkan apa-apa sahaja bendasing akan berterbangan. Malah silap hari bulan, budak kecil pun boleh melayang.

Ayah terus menatap ‘benda’ itu sehinggalah tiba giliran kereta Protonnya akan melalui sebelah silinder itu. Waktu itu mak tidak perasan apa yang ayah nampak dan Qis elok tidur berbaring di belakang.

Sebaik sahaja ayah melepasi’nya’, ada satu bau busuk yang teramat sangat menusuk ke dalam hidung ayah dan mak. Seolah-olah bau itu ada di dalam kereta. Ayah tahan nafas, mak segera pusingkan kepalanya melihat ke tempat duduk belakang, melihat ke arah Qis.

BY Aie Afat

“Eh, bau apa ni?” tegur mak dengan sepontan. Dia cuba untuk mengejut Qis. Berak ke dia ni? Soal mak dalam hati.

“Hish, jangan tegurlah.” Suara ayah perlahan namun dalam nada keras. Walau bagaimanapun Mak masih belum dapat menangkap apa maksud ayah.

“Kenapa pula. Busuk sangat ni. Bau apa ni?” soal mak. Ada nada marah. Geram dengan sikap ayah yang menegurnya. Ayah memandang mak. Cuba memberi isyarat melalui matanya.

“Apa?” soal mak. Ayah ulang lagi pergerakan matanya menyuruh mak jangan menegur.

Semasa itulah baru mak mengerti. Dia ikut terdiam dan duduk tegak menghadap ke hadapan sambil menahan nafasnya. Lama mereka berkeadaan seperti itu. Mak cakap dia hampir termuntah menghidu bau yang sangat kuat itu. Di dalam hatinya terdetik yang bau itu adalah seperti bau bangkai ataupun bau mayat.

Setelah dalam lebih kurang 2 minit, bau itu hilang dengan serta merta. Mak pandang ayah dan ayah pandang mak. Ayah letak jarinya di bibir membuat isyarat ‘diam’ atau ‘jangan tegur’ pada mak.

Dengan perlahan mak pusing semula ke belakang untuk memeriksa Qis yang tidur di belakang. Dia menarik nafas lega. Nampak macam biasa. Tiada apa yang berlaku pada Qis. Masih bernafas seperti selalu.

Sepanjang perjalanan ke rumah, Mak dan ayah, diam membisu. Masih ada sedikit debaran namun lega ianya telah berakhir.

Sebaik sahaja sampai rumah, lantas mak mendapatkan ayah. Mak masih bimbang dan gusar.

“Bau apa tadi tu bang?”soal mak. Tak sabar nak dengar penjelasan ayah.

“Awak nampak tak ada satu benda putih atas jalan tadi, bentuk silinder?” Mak terdiam mendengar soalan ayah.

“Putih?” Mak geleng. Ayah kerut dahi.

“Bercahaya” terang ayah. Mak geleng lagi.

Mustahil. Sesiapa pun mesti nampak punya lagipun mak memang tengah pandang ke hadapan tadi. ‘Benda’ itu sangat jelas kelihatan pada pandangan mata kasar ayah dan ia mengeluarkan cahaya. Ayah juga yakin pemandu lain juga akan nampak.

“Tidak nampak apa-apa pula sebelum bau itu terbit tadi,” balas mak setelah melihat ayah terdiam. Kemudian ayah ceritakan pengalamannya dari A ke Z.

“Bau itu hilang waktu kita melalui tepi lorong yang ke kubur lama tu.”

Mak tersentak.

“Yalah. Baru teringat dekat situ ada kubur lama,” jawab mak. Terbayang semula tempat di mana bau itu tiba-tiba menghilang. Kedua mereka terdiam. Mak kemudian pergi mendapatkan Qis yang sedang menonton DVD.

“Qis pergi mandi,” suruh mak. Qis merungut. Tidak mahu meninggalkan cerita kartun kegemarannya.

“Orang baru je mandi tadi,” balasnya. Mak paksa Qis mandi sampai menangis budak itu tidak mahu.

“Dah malam la. Sejuk!” bantah Qis lagi. Mak paksa juga walaupun Qis tidak mahu. Ayah memerhati dari jauh. Malas nak masuk campur. Sudahnya, dengan linangan air mata, Qis berangkat juga pergi membersihkan diri.

 Bila ayah persoalkan kenapa mak paksa Qis mandi walaupun dah malam, begini jawapan mak.

“Karang ‘mereka’ ikut macam mana?” Ayah cuma mampu menggeleng.

Pulak dah!

Ambil nota : Qis berumur 8 tahun ketika kejadian.

Contact us ----> click here!

No comments: