Thursday, November 17, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : KENDURI BAWAH POKOK RAMBUTAN

Kali ini punya cerita adalah pengalaman yang selalu kami alami sejak tinggal dekat rumah atas bukit. Lama-lama ia menjadi perkara ‘alah bisa, tegal biasa’ kami sebab selalu sangat berlaku sampai kami naik tak hairan dah.

Walau bagaimanapun aku akan cerita salah satu kejadian yang mak alami. Kebetulan waktu itu kami semua ada di rumah. Cuti penggal persekolahan selama 2 minggu. Tahun mak tak berapa ingat tapi, dia tahu kami memang ada dalam rumah.

Masa aku bertanya mak berkenaan perkara yang sama, aku mengakui waktu itu aku juga mendengar perkara yang sama, hanya berbeza sedikit pengalamannya.

Setelah semua selesai makan malam dan mengemas dapur, kami lepak sekejap depan tv. Jam menginjak jam 11 malam dan siaran tv sudah hampir tamat. Aku dan adik-adik lain sudah siap-siap nak tidur.

Seperti selalu, jika aku ada dirumah, aku akan heret adik-adik tidur bilik belakang a.k.a bilik aku. Aku sudah tak mahu tidur bilik mak sebab tak ada privasi nak bergossip sebelum tidur.

Kebetulan aku tidur di tingkap atas katil 2 tingkat sebelah tingkap. Sebagai akak, aku mengalah dengan yang lain-lain sebab dia orang nak tidur katil bawah. Aku tak ingat butir gossip tingkap kami, yang aku tahu, akhirnya semua tertidur tinggallah aku terkebil-kebil seorang-seorang atas katil.

Pintu bilik kami biar terbuka sebab tak nak keadaan bilik terlalu gelap. Maka cahaya dari tangga membias sedikit ke dalam bilik. Keadaan di luar senyap sebab semua orang dah  masuk bilik masing-masing untuk tidur.

Tengah aku termenung dan mengelamun, aku terdengar bunyi riuh rendah dari arah luar rumah. Jam aku tengok dah menunjukkan pukul 12.45 malam. Aku budget, bunyi datang dari arah belakang rumah kami sebab tingkap sebelah katil aku tu menghala ke belakang rumah.

Aku tengok dari celah-celah kekisi tingkap. Dekat luar gelap gelita. Ada cahaya lampu jalan sahaja. Namun bunyi bising itu jelas kedengaran di telinga.

Ada bunyi makcik-makcik bersembang, sedang memanggil orang, dan suara lelaki muda sedang bercakap-cakap sambil buat kerja. Percakapan mereka tidak dapat aku tangkap butirnya. Suara mereka dapat didengari, tapi apa yang mereka sembang aku tak pasti.

Keletang, keletung, ting ting…

Bunyi pinggan mangkuk, talam, sudu-sudu, bunyi periuk belanga berlaga-laga jelas kedengaran. Ni mesti tengah basuh pinggan ni, ujar aku dalam hati. Waktu supper bukan dah lama ke habis? Baru nak basuh pinggan malam-malam buta ni? Bila dia orang nak siap buat kerja? Takkan tidur kat situ kot? Aku keliru dan pelik sikit.

Tapi yang aku pasti, waktu itu yang aku merungut dalam hati saja. Bising betul orang dewan makan ni buat kerja. Tak reti diam ke? Buat kerja pun nak kecoh-kecoh.

Aku mengalihkan badan mengadap ke arah lain. Malas nak layan. Akhirnya aku tertidur tanpa berbuat apa-apa.

*******

Aku tolong mak buat sarapan pagi itu. Semua orang sudah sambung tidur balik sebab hari cuti, dan ayah tidak membuat apa-apa pengumuman pun nak pergi ke mana-mana hari ini.

Sengaja aku membuka bicara untuk aku berbual dengan mak sambil buat kerja.

“Mak, semalam akak tak boleh tidur sebab orang dewan makan bising sangat,” ujarku sengaja nak bermanja.

“Bising? Mana kamu tahu orang dewan makan?” tanya mak. Ada bunyi suspen pada suaranya.

“Yalah, basuh pinggan, sembang kuat-kuat. Tak boleh tidur tau. Tak ada ke orang pergi tegur dia orang tu mak? Suruh ayah pergi marah dia orang mak,” kataku dalam percubaan menjadi batu api.

“Mak dengar orang basuh pinggan mangkuk dengan periuk belanga je. Tak ada pulak mak dengar suara orang cakap-cakap.”

“Yakah?” Soalku sambil pandang muka mak. Kemudian mak angkat kening.

“Lagipun, sekarang kan cuti sekolah. Dewan makan tutuplah kak,” balas mak selamba. Heh!

“Habis mak? Bunyi semalam tu?” soal aku, masih tak puas hati. Namun mak jungkit bahu saja tanda tak tahu. Tapi kemudian selamba saja muka mak masa dia beritahu aku perkara itu.

“Mereka buat kenduri bawah pokok rambutan semalam.”

Mata aku terbeliak dengar kenyataan mak. Mak cakap dia dengar jelas dekat area pokok rambutan belakang bilik dia selepas tengah malam tadi.

Aku pandang luar tingkap dapur. Terus nampak pokok rambutan yang rendang dan suasana redup bawahnya. Tiba-tiba Nan dengan Adik masuk dapur sambil membawa traktor mereka.

“Mak, nak main kat belakang ya?” Soal Nan. Adik tersengih disebelah Nan.

“Kat mana?” Soal mak sambil tangannya memotong sayur.

“Tu, kat bawah pokok rambutan tu. Best akak, tak panas pun.” Balas Nan selamba sambil buat muka bangga dengan aku. Mak pandang aku. Aku dah resah. Fikiran ligat berputar.

“Eh, tak payahlah. Jom kita mandi kolam kat belakang nak?” Soalku untuk mengalih perhatian mereka.

“Boleh ke mak?” Soal Nan untuk kepastian. Maklumlah selama ni mak jarang mahu beri mereka kebenaran mandi dalam kolam plastik yang ayah beli haritu.

“A’ah. Hari ini mandi kolam je. Tak payah main kat luar.” Balas mak.

“Yeay!!” jerit keduanya. Aku tengok mak. Dia buat-buat cool. Aku faham. Selepas malam tadi, takkan selamba je nak pergi main bawah tu kan?

Kalau main juga bawah pokok rambutan tu, agak-agak ‘mereka’ jemput tak kami makan? Heh!

Silap haribulan, siap buat menantu! Hish mintak simpang.

Malam tu kenduri berlangsung lagi. Kali ini, aku tidur tengah-tengah Jah dan Ilah. Mata dan telinga, aku tutup rapat-rapat.


No comments: