Friday, November 18, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : KENDURI BACA YASSIN

Aku dengar kisah ini buat kali pertama, semalam. Kisah ini terkeluar dari lipatan sejarah mak rentetan kisah ‘pokok jambu air’. Rupa-rupanya, kejadian ini berlaku ketika kami baru sahaja menduduki rumah atas bukit tersebut dalam tempoh beberapa bulan.

Sejak memasuki rumah itu, ayah terlebih dahulu mengalami peristiwa pelik-pelik. Rupa-rupanya ayah tidak boleh tidur selama sebulan dan selepas itu, cirit birit pula. Sebulan juga.

Jumlahnya, 2 bulan. Dalam tempoh itu juga, ayah mengalami belakang badannya di cakar ‘mereka’, banyak kali. Ayah cakap, dia tidak stress atau susah hati pun sehingga tidak boleh tidur pada waktu malam. Keadaan jiwa dan raganya biasa-biasa saja. Tiada tekanan rumahtangga mahupun bebanan kerja.

Namun begitu, siang ayah boleh tidur. Tapi hanya di pejabat bukan di rumah. Sudah banyak solat tahajjud, mahupun solat hajat malah membaca al-quran (selalu dapat tidur lena lepas baca Quran) telah dilakukannya, namun usaha ayah tetap gagal. Mak merungut, sebab ayah selalu kejut mak suruh teman dia bersembang setiap malam. Heh!

Atas nasihat mak, ayah pergi berubat dengan seorang guru alim, bagi bertanyakan tentang simptom-simptom berikut, kerana doktor kata ayah okey. Darah tinggi pun tidak, stress pun tiada.

Selepas berjumpa dengan ustaz tersebut (sudah pun arwah), ada sedikit perubahan. Namun, tidak lama selepas itu, simptom berulang kembali. Atas nasihat ustaz dan persetujuan mak, ayah ambil keputusan untuk membuat kenduri membaca yassin dan doa selamat bagi menjauhkan apa-apa yang menganggunya ketika itu.

Tetamu yang ayah jemput ketika itu adalah pelajar lelaki sekolah asrama dan beberapa orang warden. Mak cakap, ramai. Lebih daripada 50 orang termasuk ahli keluarga kakitangan sekolah yang dijemput sekali.

Majlis malam itu dimulakan dengan bacaan yassin di ruang tamu satu. Warden-warden dan pelajar-pelajar duduk dalam satu bulatan, termasuk seorang warden yang aku namakan dia sebagai Cikgu N.

Syukur alhamdulillah, secara zahirnya majlis bacaan yassin dan doa selamat telah berlaku dengan lancar tanpa apa-apa gangguan dari dalam rumah kerana kanak-kanak macam aku dibiarkan bermain di luar rumah. Meriah malam itu.

Dia orang macam tengah berhari raya la pulak. Lepas makan-makan, mereka lepak-lepak sampai pukul 11 malam. Setelah masing-masing pun mula menguap, mereka minta diri untuk beransur pulang. Begitu juga tetamu perempuan yang datang membantu mak didapur, termasuk isteri Cikgu N.

Mereka adalah tetamu terakhir yang melangkah keluar dari rumah. Isteri Cikugu N dengan mak memang rapat. Rakan mensyuarat tingkap mak.

Sebelum pulang, Cikgu N gamit ayah dan mak. Ada perkara yang nak disampaikan, tapi agak rahsia pula lagaknya.

Artist : Aie Afat

Dengan penuh keyakinan namun hati-hati, dia cerita pada ayah sesuatu yang memeranjatkan aku sewaktu mendengarnya dari mak. Sudah tentu mak dan ayah reaksinya lebih kurang aku ketika itu.

Dia tanya ayah, adakah kita ada bela binatang? Ayah geleng. Mak pelik.

Sambil menarik nafas panjang, Cikgu N cakap ketika majlis bacaan yassin sedang berlangsung, dia ada ternampak satu binatang berwarna hitam, berjalan melintasi bulatan bacaan yassin yang pelajar-pelajar buat di ruang tamu 1 tadi.

“Muncung dia serupa tikus tapi kakinya panjang dan badan besar sedikit dari kucing.” Katanya penuh semangat sebelum menyambung.

“Binatang itu melintas dan masuk dalam stor bawah tangga. Ingatkan memang ada bela binatang. Saya pun selamba sajalah. Tapi bila fikir-fikir semula, saya tidak pernah pula nampak binatang macam itu.” Ujarnya. Mak pandang ayah. Isteri Cikgu N, cuit mak.

“Binatang apa macam tu? Memang tikus kot,” ujarnya. Mak hanya terdiam tanpa membalas.

“Betul ke?” soal ayah. Cikgu N angguk. Setelah memberi nasihat dan sepatah dua kata selepas itu, Cikgu N dan isterinya pulang.

Seperti tidak percaya, hakikat itu terpaksa ayah dan mak telan tanpa memberitahu kami adik beradik. Patutlah ayah selalu buat-buat cool. Sebab dia sudah tahu. Pesannya hanya satu.

JANGAN TEGUR.

Mak cakap, dia dengan ayah duduk berbincang dalam master bedroom, mesyuarat tergempar. Mak mahupun ayah kehairanan kerana ‘mereka’ begitu berani dan tidak takut langsung. Yalah, bacaan yassin tidak membawa apa-apa kesan kepada ‘mereka’.

Sudahnya, keduanya tidak boleh tidur malam itu. Mereka juga sepakat perkara itu dirahsiakan dari pengetahuan siapa-siapa dalam rumah ini.

“Esok kena jumpa lagi dengan ustaz tu.” Ayah putuskan dengan tegas. Mak angguk akur.

Namun begitu, keputusan tetap sama walaupun pelbagai perkara sudah dilakukan ayah mengikut nasihat ustaz tersebut. Ayah tetap bersabar biarpun usaha murni itu gagal. Tepat 2 bulan simptom tersebut hilang dengan sendiri tanpa pengetahuannya.

Kalau kami tahulah agaknya ketika itu, mesti kami jerit macam ni :

NAK BALIK RUMAH LAMA!!
NAK BALIK RUMAH LAMA!!
NAK BALIK RUMAH LAMA!!!!

Sambil hentakkan kaki beramai-ramai. Heh!

Ambil nota : Malam itu, disebabkan ramai tetamu, kitorang siap main buaian lagi bawah pokok durian. Yalah, abang-abang hensem semua datang, kenalah tayang muka. Hahaha!!


No comments: