Tuesday, November 15, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : BILIK ABANG PART 1

Artist : Aie Afat

CERITA 1

Kali ni punya cerita memang paling popular. Permintaan tinggi dari adik beradik aku untuk siarkan cerita ini. Sebab? Kami semua ada di tempat kejadian, kecuali abang.

Menurut kisah pokok jambu air sebelum ini, bilik abang yang berada ditingkat dua memang best. Redup, gelap dan sejuk bak ada aircond.

Namun bukanlah keistimewaan bilik abang yang kami nak cerita sebab bukan ada orang pun selalu duduk dalam tu. Tak kira siang atau malam, keadaan bilik itu sama saja.

Gelap.

Aku tak ingat tahun bila tapi aku yakin peristiwa ini berlaku antara 1995 – 1996. aku tak berapa ingat sama ada waktu itu cuti sekolah atau tidak. Tapi yang aku tahu, abang tiada masa kejadian dan rumah atas bukit, kosong lama. Seminggu.

Kami pulang petang tu lebih kurang dalam pukul 6 petang. Sampai di garaj kereta, aku alert. Tengok sekeliling. Tak ada apa yang berubah. Cuma rumput panjang sikit, kemuncup banyak kat tempat sidai kain.

Akibat yang lain keletihan selepas pulang dari perjalanan yang jauh, aku yang tua ditugaskan pergi buka pintu rumah. Dengan harapan yang tinggi dan dengan pantas aku laksanakan tugas dengan dedikasinya.

Drama Hong Kong kegemaran aku dah mula. Tak nak miss walau seminit pun.

Dengan tenaga yang ada, pintu aku kuak ke dalam, sambil menjinjit sebuah beg baju. Tiba-tiba aku terpandang seekor kucing gemuk berwarna coklat kekuningan tanpa tompok, melintas depan aku.

Langkah kucing itu terhenti bila ternampak aku tengah tengok dia. Dia pandang aku. Mata bertentang mata, seolah-olah terkejut dengan kehadiran aku. Aku memanglah terkejut, sebab setahu aku kami tak dibenarkan bela kucing sebab Jah asma. Kucing adalah larangan sama sekali! Tanpa membuang masa aku terus menjerit.

AYAH! Ada kucing duduk dalam rumah! Dengan semangat suara aku keluarkan.

Tanpa fikir panjang aku kejar kucing itu. Dengan harapan dapat tangkap dia untuk bawa dia keluar rumah.

Apa lagi, kucing itu berlari lintang pukang macam tak cukup tanah. Macam tahu sangat dah dengan keadaan dalam rumah aku, kucing itu tanpa lengah-lengah lagi berlari naik tangga ke tingkat atas rumah. Aku terus kejar.

Nanti dia masuk bilik aku berak, payah pula. Fikiran aku ketika itu.

Aku mengejar lagi dengan pantas. Laju sungguh kucing itu lari sampai tak sempat nak break. Nak tergelincir pun dia lari juga dengan bersungguh-sungguh. Bayangkan kucing gemuk kaki pendek lari. Macam itulah keadaan dia. Sampai di atas, dia melencong ke lorong menuju bilik kami dan bilik abang.

Namun, kucing itu sempat menoleh kepada aku sebelum berlari masuk ke dalam bilik abang. Aku yang termengah namun masih punya semangat, tanpa fikir panjang juga terus buka tombol pintu bilik abang.

Tapi langkah aku terhenti di depan pintu. Aik?

Kenapa perlu aku buka pintu?

Kucing itu masuk ikut mana? Bawah pintu?

Aku tunduk, tengok bawah pintu abang. Semut atau anak tikus je boleh masuk.

Aku hairan. Garu kepala. Aku buka lampu. Terang, namun tiada seekor kucing pun ada di situ. Adik-adik yang mengekori lambat belakang aku, aku suruh tengok kat bilik kami, yang pintunya terbuka.

Aku tengok bawah katil abang. Kosong. Ada habuk saja. Bawah tilam pun aku tengok. Kot-kot dia menyorok macam tikus. Tiada juga. Kemudian, aku buka almari abang pula tapi tutup semula. Takkan kucing boleh buka almari pula. Aku tengok sekeliling.

Pintu bilik air, tutup. Begitu juga tingkap. Aku buka tingkap, aku nampak pokok jambu air dan bahagian dapur rumah aku. Terdengar suara mak panggil kami turun.

Adik-adik datang melapor, semua tempat dalam bilik kami sudah digeledah, namun bayangan dan tapak kucing itu tidak dijumpai. Malah master bedroom juga kami buka pintu dan masuk. Seperti tadi, dia gagal ditemui.

Lenyap begitu sahaja.

Aku pandang siling bilik abang, putih dan rata. Mana kau pergi kucing? Soalku dalam hati. Setelah puas hati, kami keluar dari bilik abang dan tutup macam biasa tanpa usik apa-apa barang.

Kat meja makan, aku termenung. Adik-adik dah bertanya itu ini pada mak dan ayah. Sibuk bercerita mengenai penemuan baru ‘mereka’.

“Kucing tu terperangkap dalam rumah ni ke mak? Kita kan tak ada dalam rumah ni seminggu? Dia makan apa?” Macam-macam persoalan timbul.

Mak bising. Dia kata kami tak tutup tingkap, sampai kucing boleh masuk. Masalahnya mak, kucing tu masuk ikut bawah pintu bilik abang. Yang itu macam mana pula?

Mak diam. Ayah pun diam. Adik-adik, diam. Tapi seminit je. Lepas tu bising balik. Pot-pet. Pot-pet. Masing-masing dengan teori masing-masing.

Aku pula masih tidak dapat mempercayai pandangan mata ini, kucing yang besar dan gemuk, boleh masuk bawah pintu selebar 2 cm.

Di depan mata sendiri. Mata bertentang mata. Tembus pintu masuk bilik abang.

Apa kau buat dalam rumah ini?

Ambil nota : Ilustrasi situasi sebenar sila klik sini.


No comments: