Thursday, November 24, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : BILIK ABANG - PART 2

Pengalaman kali ini paling menyeramkan bagi aku. mungkin aku akan kategorikan pengalaman ini sebagai seram tahap 3.

Tahap 1 : Seram bengang.
Tahap 2 : Seram naik bulu roma.
Tahap 3 : Seram tahap berpeluh.

Jarang-jarang kita dengar pengalaman tahap 3 sebegini, namun kau orang akan dapat merasainya selepas siap membaca kisah ini. Aku bersyukur kerana aku tidak mengalaminya. Namun begitu ia telah dialami oleh seorang ahli keluarga yang rapat dengan kami iaitu Uncle, adik lelaki mak yang bongsu.

Pertama kali aku mendengar pengalaman ini, kerana Uncle menyembunyikannya daripada pengetahuan kami. Kalau kami tahu, sudah tentu aksi hentakkan kaki daripada aku adik beradik untuk pindah rumah lain akan berlaku. Begitu juga mak dan ayah akan sering mengadakan mesyuarat tergempar di master bedroom.

Jikalau mengikut kronologi hayat Uncle, peristiwa ini berlaku pada tahun 1994. Ketika Uncle berumur 15 tahun. Uncle satu sekolah dengan abang, tapi sebab periksa PMR dah habis, Uncle lepak kat rumah atas bukit sambil tunggu keputusan keluar.

Berikut adalah apa yang Uncle cerita pada emailnya :-

Rumah atas bukit (1994).

Aku ingat lagi, masa itu cuti sekolah. Seronok sangat sebab periksa PMR dah habis. Hati dok berbunga-bunga sebab kononnya aku akan bertukar sekolah masa tingkatan 4 nanti. Iaitu ke sekolah Teknik atau Vokasional. Lagipun borang dah beli dan aku merasa amat teruja.

Malah dengan semangat aku isi borang tersebut. Gambar pun dah ready. Jadi, aku lepak-lepak kat rumah atas bukit, dengan harapan senang nak hantar borang itu nanti.

Sekolah teknik pilihan aku berjiran dengan sekolah aku sekarang. Sebelah sahaja. Kalau aku jenguk keluar tingkap bilik akak, boleh nampak bumbung sekolah itu. Punyalah semangat aku berkobar-kobar.

Tengahari itu, aku menelefon seorang kawan yang memohon sekolah yang sama macam aku untuk bertanyakan progress masing-masing. Dia meminta aku menyemak semula borang itu kerana ada pembetulan.

“Okey-okey, nanti aku telefon kau balik,” ujar aku.

Dengan penuh semangat campur risau takut salah isi borang, aku berlari ke tingkat atas untuk mendapatkan borang tersebut bagi membuat pembetulan. Di sebabkan aku ini budak lelaki maka aku selalu lepak bilik Abang time cuti sekolah.

Abang tiada dirumah ketika itu. Mungkin pergi melepak di Kompleks Yik Foong dengan kawan-kawannya main ‘jamming’. Tak pun pergi main game ‘Street Fighter’.

Sebaik sahaja aku membuka pintu bilik abang, aku merasakan aku seperti berselisih dengan seseorang sebab merasakan angin kuat menerpa aku. Dalam hati aku berkata  mungkin angin masuk dari luar jendela memandangkan ia terbuka luas. Lagipun aku tolak pintu dengan deras.

Semangat punya pasal.

Tanpa fikir banyak, aku menuju ke arah almari kecil di tepi bilik air. Aku geledah almari kecil itu sampai bersepah. Tidak lama kemudian, aku terasa sesuatu yang pelik secara tiba-tiba.

Aku merasa seperti ada sepasang ‘mata’ sedang memerhatikan aku. Namun begitu aku buat tidak tahu saja memandangkan borang tersebut lebih penting. Lagipn adalah sesuat yang mustahil kerana aku seorang sahaja dalam bilik itu. Di saat aku sedang memikir di mana aku meletakkan sampul surat berisi borang, ketika itulah aku ternampak dengan jelas melalui ekor mataku, ada sepasang mata merenung tajam ke arah aku.

Dari bawah katil.

Cemas tak jumpa borang bertukar kepada cemas lain.

Rupa-rupanya ‘mereka’ melepak di bawah katil sambil memerhatikan aku. Peluh dingin mula memercik di dahi. Baru aku perasan bilik itu terasa lebih redup dan sejuk dari biasa.

Ah, sudah!

Jantung aku ketika itu, tak payah cakaplah. Kalau boleh terkeluar, lama dah tercampak atas lantai ni. Aku tarik nafas dalam. Sebagai lelaki yang sudah baligh lagi ganteng, aku memberanikan diri untuk tengok ke arah bawah katil. Namun bila aku tenung betul-betul, fuh.

Tak ada apa-apa. Kosong. Aku bingung sekejap.

Betul ke apa yang aku nampak tadi? Lama juga aku mencangkung sambil berfikir dan menenangkan jantung aku yang hampir nak pecah ini, gara-gara takut. Tapi tidak lama kerana dengan segera teringat balik pasal borang yang aku cari tadi.

Ahh. Mana pula perginya borang ni? Tanpa berputus asa aku meneruskan pencarian yang tergendala tadi. Sambil mencari, aku merungut. Aku simpan baik punya dalam almari ini sebab tidak mahu terkantoi dengan kakak. Kalau dia tahu aku nak tukar sekolah lain, bebelan dia akan memakan setahun lamanya. Itu pun belum tentu reda.

Sedang asyik menbuat operasi mencari, lagi sekali aku menyumpah dalam hati. Bukan apa, sebab jantung aku rasa macam nak keluar lagi sekali. Kali ini ‘mereka’ dok bertenggek atas almari baju abang yang tinggi lagi antik sebab ia sudah berusia hampir 35 tahun. Peluh memercik di dahi.

Adoi! Duduk dekat atas itu pula! Jerit batinku.

Aku sudah jadi libang-libu. Kacau ni. Waktu inilah otak tidak dapat berfungsi dengan efektif. Tidak tahu mahu berbuat apa. Bayang-bayang itu samar namun aku dapat lihat dia meniarap di atas itu sambil memerhatikan aku.

Apa nak buat ni?!

Entah mengapa, hati berat menyatakan suruh aku lari, tetapi kaki aku seperti melekat atas lantai, tidak larat untuk diangkat. Tapi aku sudah tidak sanggup lagi nak berhadapan dengan situasi ini. Mahu memekik panggil kakak di bawah, baru aku teringat dia keluar seawal pagi tadi dan masih belum pulang.

Itulah, orang ajak keluar, tak nak. Nak jumpa kawan konon. Rungutku. Memang jumpa, tapi ‘kawan’ lain pula yang muncul. Argh!

Kepala bertambah celaru apabila aku menyedari yang aku keseorangan di rumah. Mahu tidak mahu, tanpa suara aku gagahkan mulut membaca sesuatu sebagai pendinding. Kumat kamit mulut aku namun ayat Quran yang aku baca, campur aduk. Aku ulang baca. Tapi masih juga sama.

Tunggang-langgang.

Aku naik fed-up. Memang tiada cara lain untuk aku keluar dari situasi ini melainkan aku keluar dari bilik ini. Dengan sisa semangat yang masih ada, aku cuba untuk melangkah.

Ya, Allah. Berat betl rasanya kaki dan badan ini. Satu badan sudah berpeluh. Menggeletar dan takut. Aku gagahkan juga. Sudahnya aku merangkak keluar sambil kepala tunduk ke lantai. Almari itu pula berada betul-betul di sebelah pintu keluar. Bertambah berat langkah yang aku ambil. Terasa lambat betul nak sampai ke pintu.

Artist : Aie Afat


Sampai sahaja ke muka pintu, aku cuba bangun. Ia adalah cubaan pertama aku untuk larian pantas keluar dari bilik. Namun tidak semena-mena aku terjatuh, mungkin kerana mahu cepat punya pasal. Aduh!

Setelah aku berjaya berdiri, dengan pantas aku berlari turun. Zass!!

Sampai di bawah, pintu keluar aku cari dahulu untuk lari dari situasi ini. Alhamdulillah, berjaya juga. Sebaik sahaja dapat keluar, aku terus duduk di laman tepi bukit menghadap padang besar. Aku kesat peluh di dahi. Fikiran masih lagi serabut dan celaru dengan bayangan dan dengan apa yang aku alami di bilik abang.

Terbayang-bayang ‘mata’ itu. Walaupun secara kasarnya tidak bertentang mata, ia tetap membuat aku gelisah. Resah dan berpeluh. Entah berapa lama aku duduk di situ, aku pun tidak pasti. Yang aku pasti aku tidak sanggup untuk duduk di dalam rumah itu berseorangan.

Lamunan aku terhenti bila aku terdengar bunyi enjin Mazda hijau kakak menderu menaiki bukit. Kali pertama aku merasa lega bila nampak kakak balik. Heh! Aku tersengih.

“Dah jumpa kawan ke belum?” soal kakak. Aku geleng.

“Belum,” pendek jawapanku. Dalam hati aku menyambung, jumpa orang lain, kak.

‘Mereka’.

Semenjak hari itu, aku memendam rasa. Rasa takut itu aku pendam dalam-dalam. Berlagak berani, seperti tiada apa yang berlaku. Terpaksa. Bukan apa, aku budak lelaki. Ego.

Oleh kerana tidak mahu dicop penakut atau bimbang aku seorang sahaja yang merepek, aku tidak menceritakan hal itu kepada sesiapa pun dalam rumah itu hinggalah hari ini.

Baru aku tahu, pengalaman yang aku lalui itu wajar, memandangkan seluruh ahli keluarga yang tinggal di rumah atas bukit ini telah terlebih dahulu mengalami peristiwa yang pelik-pelik sebelum aku.

Hish.

__________

Begitulah pengalaman Uncle di rumah atas bukit. Untuk pengetahuan kau orang, rumah itu rupa-rupanya pernah dibiarkan kosong tiada penghuni selama 3 atau 4 tahun. Sudahlah rumah itu berusia lebih 30 tahun, dibiarkan kosong pula.

Nasib baik Uncle tak cerita dulu. Kalau tidak, aku tidak dapat bayangkan keadaan kami ketika itu. Mungkin juga selama setahun kami akan tidur dalam master bedroom sehingga ayah benarkan kami pindah keluar dari rumah itu. Heh!

Ambil nota : Adik dan Nan langsung tidak berani masuk bilik abang. Kalau lalu depan bilik abang pun dia orang akan lari sekuat hati. HAHA!



No comments: