Sunday, December 25, 2011

LALUAN PUAKA - Pekan Lombong

Kejadian kali ini berlaku kira-kira dua tahun lalu. 2009. Ketika itu aku menyandang jawatan sebagai seorang manager di sebuah syarikat retail chain terkenal di Malaysia. Aku pula bertugas di salah satu cawangannya di sebuah Bandar kecil di Perak. Bandar yang terkenal dengan industry lombong bijih timah pada zaman penjelajahan British.

Biar aku namakan pekan itu sebagai pekan Lombong. Pada hari itu aku tamatkan operasi pada jam 10.30 malam. Namun begitu akibat kesibukan aku lupa makan. Maka, aku mengambil masa melepak dengan rakan sekerja lain makan-makan sambil minum air sebelum berangkat pulang.

Perjalanan pulang aku bermula jam 11.30 malam. Route yang paling singkat terpaksa aku ambil untuk sampai ke rumah mengambil masa selama 30 minit. Laluan paling jauh ambil masa 1 jam 15 minit. Kedua laluan pun sama-sama meresahkan dan menakutkan bagi perempuan seperti aku.

Dan yang paling membuatkan aku resah dan gelisah adalah, laluan yang aku akan ambil adalah laluan paling dekat, dan itu akan menyebabkan aku melalui satu kawasan lombong tinggal yang luas dan melalui pinggir sungai. Laluan itu pada sebelah siang, tidaklah sunyi kerana ia digunakan oleh pemandu untuk ke Kampung Gajah. Heh!

Namun pada waktu malam, mat-mat rempit suka menggunakan laluan itu untuk berlumba kerana ianya sunyi dan tiada gangguan. Malam itu kebetulan adalah malam Khamis. Maka mat rempit pun tidak berani berlumba di tempat sunyi itu. Kalau ada pun traffic malam itu hanyalah sekumpulan kerbau atau lembu yang keluar makan angin. Itu pun kalau ada.

Aku mengutuk diri aku sendiri kerana aku terlupa bahawa malam itu Khamis malam Jumaat. Kau orang tahulah budaya Melayu dengan taboo Khamis malam Jumaat ini. Selalunya aku tidak bekerja lebih masa pada malam Khamis, namun begitu disebabkan terpaksa menyelesaikan tugas-tugas kecemasan lalu aku terlupa akan perkara itu.

Badan aku measa sedikit tidak selesa ketika itu. Laluan puaka itu mengambil masa 10 minit untuk aku habiskan jika memandu ‘Ferrari’ merahku dengan kelajuan 80km/j. Heh.


Tak boleh laju-laju. Banyak lopak. Banyak lembu.

Lampu jalan terakhir adalah sebelum jambatan pertama yang perlu aku lalui. Selepas itu tiada. Selekoh bentuk S menyukarkan aku untuk panduan yang lebih laju. Aku lihat belakang, aku adalah kereta terakhir. Kereta dihadapan aku telah pun menghilang di simpang 3 yang terakhir di pekan Malim Nawar.

Aku berdoa dalam hati dan aku pasang lagu kuat-kuat. Di kiri jalan, gelap. Hanya terdapat lampu-lampu kecil dan kelihatan sayup dari kandang-kandang itik yang memenuhi tepian lombong tinggal itu. Di kanan jalan pula cuma belukar tebal yang menutup tebing sungai.


Malam itu, lembu pun tidak kelihatan. Begitu juga kerbau.

Kalau dia orang ada tak lah aku takut sangat. Sekurang-kurangnya adalah makhluk hidup yang bersiar-siar di laluan itu. Huh. Namun harapan tinggal harapan. Seekor pun tiada. Laluan yang mengambil masa 10 minit itu tiba-tiba terasa panjang dan lama untuk ditamatkan.

Laluan lurus hampir ke penghujungnya dan kemudian aku akan melalui selekoh berbentuk U yang terakhir dan jambatan kedua pula. Aku berdoa agar di jambatan kedua itu ada pemancing yang akan aku temui. Selalu di situ ramai yang menyusun kerusi sambil menghalakan pancing ke dalam sungai.

Di selekoh U itu pula, terdapat satu pokok besar yang tidak diketahui namanya namun aku yakin ia telah berada disitu semenjak zaman penjajahan British lagi. Besar, rendang dan kelihatan tua. Sorotan lampu high beam kereta menyalakan cahayanya ke arah pokok besar itu, dengan debaran, takut-takut berani aku periksa pokok itu.

Lega. Tiada apa-apa yang pelik.

Kemudian sorotan lampu terarah kepada tebing sungai dan bahu jalan selekoh itu. Tiada apa-apa. Kosong.

Pandangan aku terarah pada jambatan kedua pula. Aku sedikit kecewa kerana malam itu seorang pemancing pun tiada. Tiada tanda-tanda mereka wujud waktu itu.

Tiba-tiba aku tersentak. Tangan yang memegang stereng terasa goyah. Kereta ada sedikit terhoyong hayang namun aku kuatkan genggaman pada kawalan stereng untuk mengelakkan aku melanggar tembok jambatan.

Jantung aku berdegup kencang. Amat kencang.

Ini adalah kerana dari sisi mataku kelihatan seorang lelaki memakai kemeja berwarna merah berdiri tegak sambil menundukkan wajahnya.

Kaki yang berada di pedal minyak, aku tekan kuat. Namun begitu, kereta terasa bergerak dengan perlahan. Dengan sekelip mata, imej lelaki itu hilang dari pandangan mata aku. Aku lihat dari cermin sisi kereta, imej itu juga sudah tiada. Keadaan gelap sahaja yang aku nampak.

Badan rasa menggeletar dan dahi aku sudah berpeluh. Aku perlahankan panduan setelah aku melepasi jambatan ketiga, sebelum sampai ke simpang ke pekan cowboy tempat aku tinggal. Nafas terasa sekat-sekat akibat debaran yang aku rasakan.

Bila masa lelaki itu berdiri disit?. Aku telah pastikan tiada siapa disitu. Seorang pun tiada. Tapi kenapa waktu sorotan cahaya lampu menyala ke kawasan dia berdiri itu aku tidak nampak dia berdiri disitu? Kenapa dia cuma kelihatan dari sisi mataku?

Sampai di rumah, mak sudah menunggu di pintu. Mak, I love you!

Macam tahu-tahu saja.

“Dah kenapa dengan muka akak ni?” soal mak sebaik sahaja aku muncul di depannya.

“Tak ada apa-apa,” balasku pendek. Selepas mengunci semula pintu mak bertanya mengapa aku lewat sangat. Aku lihat jam di dinding. 12 tepat.

“Makan dengan kawan. Maaf, buat mak tunggu,” mak angguk.

“Kamu ikut jalan mana tadi?” soal mak.

“Jalan lombong la mak. Kenapa?” soalku.

“Tadi orang surau bercerita. Anak lelaki Pak Imam Saleh tu pernah accident kat jambatan tu, tahun lepas.” Cerita mak tanpa perasan perubahan muka aku. Aku sentap sedikit.

“Anak lelaki dia yang accident tu, ada lagi mak?” aku soal sambil pura-pura minum air bagi meredakan keresahan aku.

“Meninggal dah. Kereta dia menjunam masuk dalam sungai,” balas mak selamba. Aku terduduk. Mak kerut dahi. Dia pelik.

“Dah kamu ni kenapa pula?” Aku cuma boleh geleng kepala. Aku berfikir. Aku mesti buat sesuatu.

“Mak, malam ni nak tidur bilik mak boleh?” soal ku sambil tersengih.

Nota kaki : Aku masih tabah melalui laluan itu untuk setahun lagi. Nak buat macam mana. Kerja punya pasal. Huhu.


Anda mungkin nak tahu ini juga ! :>>>>


> Main Golek-golek
> Kenduri Bawah Pokok Rambutan
> Kenduri Bacaan Yassin

Sunday, November 27, 2011

LALUAN PUAKA - Pekan Gajah


Peristiwa ini baru sahaja berlaku. Kemungkinan sebelum bulan puasa tahun 2010. Kali ini melibatkan mak, ayah dan sebuah laluan atau jalan puaka.

Orang luar mungkin tidak perasan laluan ini kerana ianya antara tempat laluan pemandu-pemandu dari KL dan Utara mahu ke Lumut. Selalunya pemandu yang selalu berangan nak menyertai F1 atau F4, gunakan laluan ini untuk melepaskan gian berlumba setelah melalui laluan sebelum ini yang berliku-liku dan sempit.

Kalau kau orang nak pergi mandi laut kat Teluk Batik pun akan lalu jalan ini. WAJIB!

Laluan ini boleh dikatakan sering digunakan oleh aku dan keluarga untuk ke Ipoh membeli-belah atau keluar jalan-jalan memandangkan sekarang aku tinggal di pekan kecil atau budak bandar suka kategorikan pekan aku tinggal sekarang ini sebagai pekan cowboy.

Terletaknya laluan ini adalah di sebuah kampung yang aku namakan dia sebagai Kg SR. Keadaan laluan ini ketika siang adalah redup dengan deruan angin asli dek oksigen yang berlebihan dari pokok-pokok yang tumbuh meliar dan tebal di kiri dan kanan jalan. Apabila malam pula, pemandu seringkali menggunakan lampu high beam untuk memberi sinaran pada laluan ini dek kegelapan yang sama macam crayon warna hitam.

Laluan ini agak sibuk, tidak kira pagi, tengahari, petang mahupun malam dan kesibukannya memuncak tatkala musim perayaan. Segala macam kereta, lori balak ke lori pasir serta lori kontena pun menyibuk melalui jalan ini tanpa mereka menyedari mengenai risiko yang mereka mungkin hadapi.

Kalau ikut pengalaman aku sendiri, tempat yang sama juga aku pernah nampak anak harimau mati terbaring ditepi jalan. Mungkin tak sempat ikut mak dan bapak dia melintas jalan, sudah dilanggar lori kontena. Tapi aku tak kutiplah anak harimau itu sebab takut mak bapak dia kutip aku balik buat lauk pula. Heh!

Sudah bermacam cerita dapat didengari dari penduduk setempat, pengalaman cikgu sendiri, kawan kepada Nan, kawan kepada aku, mengenai laluan ini. Mereka semua berpesan perkara yang sama.

JANGAN IKUT JALAN INI SELEPAS 12 TENGAH MALAM.

Bukan seorang dua yang berpesan tau. Ramai!

Selalu jugalah makcik-makcik jual pisang goreng dan laksa di tepi jalan di kampung sebelah berpesan kepada orang luar yang datang menyinggah gerai mereka, agar tidak melalui jalan ini selepas jam 12 tengah malam.

Aku pun pernah mendengar sendiri dari mereka-mereka yang pernah mengalami kejadian pelik ketika melalui jalan tersebut.

Panjang laluan ini adalah sejauh 1 kilometer. Lurus dan sedikit berbukit. Terdapat pula satu pondok kayu yang ditinggal tanpa tuan di kiri bahu jalan. Ciri-ciri batu tarnya elok. Ada tampal pun sikit je. Tidak akan menjejaskan tayar kereta savvy mahupun kereta kembara.

Berbalik kepada cerita.

Malam itu, ayah, mak dan adik bongsu Qis, dalam perjalan pulang dari Ipoh. Jam waktu tu masih belum lewat pun. Masih menunjukkan jam 9.30 – 10 malam. Menurut ayah, laluan itu sibuk, banyak kereta, lori pasir dan lori babi lalu lalang disitu, maklumlah hari minggu.

Selepas traffic light, ayah memandu kereta sederhana laju kerana dihadapannya terdapat 4 atau 5 lagi kereta sedang mengekori sebuah lori membawa muatan pasir. 40km sejam. Okeylah kan? Namun kereta dari arah lawan, kemain lagi laju. Menyukarkan proses cilok mencilok yang ingin dilakukannya.

Sedang asyik memandu sambil mendengar ceramah di radio kereta, tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatian mata ayah. Jauh di hadapan.

Dia ternampak ada satu silinder berwarna putih bercahaya berada di tengah-tengah atas garis putih pembahagi jalan. Ayah merasa pelik.

Silinder tersebut tetap kejap berdiri di atas jalan tanpa sedikit pun terjejas atau berganjak dari kedudukannya walaupun kereta yang lalu-lalang di sebelah kiri dan kanannya laju-laju belaka.

Hati ayah terdetik hairan kerana belum pernah sekalipun di dalam hidupnya selama 60 tahun melihatkan kejadian seumpama itu. Kereta-kereta yang dipandu laju dikiri dan kanan semestinya akan menghasilkan momentum tinggi yang boleh menyebabkan apa-apa sahaja bendasing akan berterbangan. Malah silap hari bulan, budak kecil pun boleh melayang.

Ayah terus menatap ‘benda’ itu sehinggalah tiba giliran kereta Protonnya akan melalui sebelah silinder itu. Waktu itu mak tidak perasan apa yang ayah nampak dan Qis elok tidur berbaring di belakang.

Sebaik sahaja ayah melepasi’nya’, ada satu bau busuk yang teramat sangat menusuk ke dalam hidung ayah dan mak. Seolah-olah bau itu ada di dalam kereta. Ayah tahan nafas, mak segera pusingkan kepalanya melihat ke tempat duduk belakang, melihat ke arah Qis.

BY Aie Afat

“Eh, bau apa ni?” tegur mak dengan sepontan. Dia cuba untuk mengejut Qis. Berak ke dia ni? Soal mak dalam hati.

“Hish, jangan tegurlah.” Suara ayah perlahan namun dalam nada keras. Walau bagaimanapun Mak masih belum dapat menangkap apa maksud ayah.

“Kenapa pula. Busuk sangat ni. Bau apa ni?” soal mak. Ada nada marah. Geram dengan sikap ayah yang menegurnya. Ayah memandang mak. Cuba memberi isyarat melalui matanya.

“Apa?” soal mak. Ayah ulang lagi pergerakan matanya menyuruh mak jangan menegur.

Semasa itulah baru mak mengerti. Dia ikut terdiam dan duduk tegak menghadap ke hadapan sambil menahan nafasnya. Lama mereka berkeadaan seperti itu. Mak cakap dia hampir termuntah menghidu bau yang sangat kuat itu. Di dalam hatinya terdetik yang bau itu adalah seperti bau bangkai ataupun bau mayat.

Setelah dalam lebih kurang 2 minit, bau itu hilang dengan serta merta. Mak pandang ayah dan ayah pandang mak. Ayah letak jarinya di bibir membuat isyarat ‘diam’ atau ‘jangan tegur’ pada mak.

Dengan perlahan mak pusing semula ke belakang untuk memeriksa Qis yang tidur di belakang. Dia menarik nafas lega. Nampak macam biasa. Tiada apa yang berlaku pada Qis. Masih bernafas seperti selalu.

Sepanjang perjalanan ke rumah, Mak dan ayah, diam membisu. Masih ada sedikit debaran namun lega ianya telah berakhir.

Sebaik sahaja sampai rumah, lantas mak mendapatkan ayah. Mak masih bimbang dan gusar.

“Bau apa tadi tu bang?”soal mak. Tak sabar nak dengar penjelasan ayah.

“Awak nampak tak ada satu benda putih atas jalan tadi, bentuk silinder?” Mak terdiam mendengar soalan ayah.

“Putih?” Mak geleng. Ayah kerut dahi.

“Bercahaya” terang ayah. Mak geleng lagi.

Mustahil. Sesiapa pun mesti nampak punya lagipun mak memang tengah pandang ke hadapan tadi. ‘Benda’ itu sangat jelas kelihatan pada pandangan mata kasar ayah dan ia mengeluarkan cahaya. Ayah juga yakin pemandu lain juga akan nampak.

“Tidak nampak apa-apa pula sebelum bau itu terbit tadi,” balas mak setelah melihat ayah terdiam. Kemudian ayah ceritakan pengalamannya dari A ke Z.

“Bau itu hilang waktu kita melalui tepi lorong yang ke kubur lama tu.”

Mak tersentak.

“Yalah. Baru teringat dekat situ ada kubur lama,” jawab mak. Terbayang semula tempat di mana bau itu tiba-tiba menghilang. Kedua mereka terdiam. Mak kemudian pergi mendapatkan Qis yang sedang menonton DVD.

“Qis pergi mandi,” suruh mak. Qis merungut. Tidak mahu meninggalkan cerita kartun kegemarannya.

“Orang baru je mandi tadi,” balasnya. Mak paksa Qis mandi sampai menangis budak itu tidak mahu.

“Dah malam la. Sejuk!” bantah Qis lagi. Mak paksa juga walaupun Qis tidak mahu. Ayah memerhati dari jauh. Malas nak masuk campur. Sudahnya, dengan linangan air mata, Qis berangkat juga pergi membersihkan diri.

 Bila ayah persoalkan kenapa mak paksa Qis mandi walaupun dah malam, begini jawapan mak.

“Karang ‘mereka’ ikut macam mana?” Ayah cuma mampu menggeleng.

Pulak dah!

Ambil nota : Qis berumur 8 tahun ketika kejadian.

Contact us ----> click here!

Thursday, November 24, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : BILIK ABANG - PART 2

Pengalaman kali ini paling menyeramkan bagi aku. mungkin aku akan kategorikan pengalaman ini sebagai seram tahap 3.

Tahap 1 : Seram bengang.
Tahap 2 : Seram naik bulu roma.
Tahap 3 : Seram tahap berpeluh.

Jarang-jarang kita dengar pengalaman tahap 3 sebegini, namun kau orang akan dapat merasainya selepas siap membaca kisah ini. Aku bersyukur kerana aku tidak mengalaminya. Namun begitu ia telah dialami oleh seorang ahli keluarga yang rapat dengan kami iaitu Uncle, adik lelaki mak yang bongsu.

Pertama kali aku mendengar pengalaman ini, kerana Uncle menyembunyikannya daripada pengetahuan kami. Kalau kami tahu, sudah tentu aksi hentakkan kaki daripada aku adik beradik untuk pindah rumah lain akan berlaku. Begitu juga mak dan ayah akan sering mengadakan mesyuarat tergempar di master bedroom.

Jikalau mengikut kronologi hayat Uncle, peristiwa ini berlaku pada tahun 1994. Ketika Uncle berumur 15 tahun. Uncle satu sekolah dengan abang, tapi sebab periksa PMR dah habis, Uncle lepak kat rumah atas bukit sambil tunggu keputusan keluar.

Berikut adalah apa yang Uncle cerita pada emailnya :-

Rumah atas bukit (1994).

Aku ingat lagi, masa itu cuti sekolah. Seronok sangat sebab periksa PMR dah habis. Hati dok berbunga-bunga sebab kononnya aku akan bertukar sekolah masa tingkatan 4 nanti. Iaitu ke sekolah Teknik atau Vokasional. Lagipun borang dah beli dan aku merasa amat teruja.

Malah dengan semangat aku isi borang tersebut. Gambar pun dah ready. Jadi, aku lepak-lepak kat rumah atas bukit, dengan harapan senang nak hantar borang itu nanti.

Sekolah teknik pilihan aku berjiran dengan sekolah aku sekarang. Sebelah sahaja. Kalau aku jenguk keluar tingkap bilik akak, boleh nampak bumbung sekolah itu. Punyalah semangat aku berkobar-kobar.

Tengahari itu, aku menelefon seorang kawan yang memohon sekolah yang sama macam aku untuk bertanyakan progress masing-masing. Dia meminta aku menyemak semula borang itu kerana ada pembetulan.

“Okey-okey, nanti aku telefon kau balik,” ujar aku.

Dengan penuh semangat campur risau takut salah isi borang, aku berlari ke tingkat atas untuk mendapatkan borang tersebut bagi membuat pembetulan. Di sebabkan aku ini budak lelaki maka aku selalu lepak bilik Abang time cuti sekolah.

Abang tiada dirumah ketika itu. Mungkin pergi melepak di Kompleks Yik Foong dengan kawan-kawannya main ‘jamming’. Tak pun pergi main game ‘Street Fighter’.

Sebaik sahaja aku membuka pintu bilik abang, aku merasakan aku seperti berselisih dengan seseorang sebab merasakan angin kuat menerpa aku. Dalam hati aku berkata  mungkin angin masuk dari luar jendela memandangkan ia terbuka luas. Lagipun aku tolak pintu dengan deras.

Semangat punya pasal.

Tanpa fikir banyak, aku menuju ke arah almari kecil di tepi bilik air. Aku geledah almari kecil itu sampai bersepah. Tidak lama kemudian, aku terasa sesuatu yang pelik secara tiba-tiba.

Aku merasa seperti ada sepasang ‘mata’ sedang memerhatikan aku. Namun begitu aku buat tidak tahu saja memandangkan borang tersebut lebih penting. Lagipn adalah sesuat yang mustahil kerana aku seorang sahaja dalam bilik itu. Di saat aku sedang memikir di mana aku meletakkan sampul surat berisi borang, ketika itulah aku ternampak dengan jelas melalui ekor mataku, ada sepasang mata merenung tajam ke arah aku.

Dari bawah katil.

Cemas tak jumpa borang bertukar kepada cemas lain.

Rupa-rupanya ‘mereka’ melepak di bawah katil sambil memerhatikan aku. Peluh dingin mula memercik di dahi. Baru aku perasan bilik itu terasa lebih redup dan sejuk dari biasa.

Ah, sudah!

Jantung aku ketika itu, tak payah cakaplah. Kalau boleh terkeluar, lama dah tercampak atas lantai ni. Aku tarik nafas dalam. Sebagai lelaki yang sudah baligh lagi ganteng, aku memberanikan diri untuk tengok ke arah bawah katil. Namun bila aku tenung betul-betul, fuh.

Tak ada apa-apa. Kosong. Aku bingung sekejap.

Betul ke apa yang aku nampak tadi? Lama juga aku mencangkung sambil berfikir dan menenangkan jantung aku yang hampir nak pecah ini, gara-gara takut. Tapi tidak lama kerana dengan segera teringat balik pasal borang yang aku cari tadi.

Ahh. Mana pula perginya borang ni? Tanpa berputus asa aku meneruskan pencarian yang tergendala tadi. Sambil mencari, aku merungut. Aku simpan baik punya dalam almari ini sebab tidak mahu terkantoi dengan kakak. Kalau dia tahu aku nak tukar sekolah lain, bebelan dia akan memakan setahun lamanya. Itu pun belum tentu reda.

Sedang asyik menbuat operasi mencari, lagi sekali aku menyumpah dalam hati. Bukan apa, sebab jantung aku rasa macam nak keluar lagi sekali. Kali ini ‘mereka’ dok bertenggek atas almari baju abang yang tinggi lagi antik sebab ia sudah berusia hampir 35 tahun. Peluh memercik di dahi.

Adoi! Duduk dekat atas itu pula! Jerit batinku.

Aku sudah jadi libang-libu. Kacau ni. Waktu inilah otak tidak dapat berfungsi dengan efektif. Tidak tahu mahu berbuat apa. Bayang-bayang itu samar namun aku dapat lihat dia meniarap di atas itu sambil memerhatikan aku.

Apa nak buat ni?!

Entah mengapa, hati berat menyatakan suruh aku lari, tetapi kaki aku seperti melekat atas lantai, tidak larat untuk diangkat. Tapi aku sudah tidak sanggup lagi nak berhadapan dengan situasi ini. Mahu memekik panggil kakak di bawah, baru aku teringat dia keluar seawal pagi tadi dan masih belum pulang.

Itulah, orang ajak keluar, tak nak. Nak jumpa kawan konon. Rungutku. Memang jumpa, tapi ‘kawan’ lain pula yang muncul. Argh!

Kepala bertambah celaru apabila aku menyedari yang aku keseorangan di rumah. Mahu tidak mahu, tanpa suara aku gagahkan mulut membaca sesuatu sebagai pendinding. Kumat kamit mulut aku namun ayat Quran yang aku baca, campur aduk. Aku ulang baca. Tapi masih juga sama.

Tunggang-langgang.

Aku naik fed-up. Memang tiada cara lain untuk aku keluar dari situasi ini melainkan aku keluar dari bilik ini. Dengan sisa semangat yang masih ada, aku cuba untuk melangkah.

Ya, Allah. Berat betl rasanya kaki dan badan ini. Satu badan sudah berpeluh. Menggeletar dan takut. Aku gagahkan juga. Sudahnya aku merangkak keluar sambil kepala tunduk ke lantai. Almari itu pula berada betul-betul di sebelah pintu keluar. Bertambah berat langkah yang aku ambil. Terasa lambat betul nak sampai ke pintu.

Artist : Aie Afat


Sampai sahaja ke muka pintu, aku cuba bangun. Ia adalah cubaan pertama aku untuk larian pantas keluar dari bilik. Namun tidak semena-mena aku terjatuh, mungkin kerana mahu cepat punya pasal. Aduh!

Setelah aku berjaya berdiri, dengan pantas aku berlari turun. Zass!!

Sampai di bawah, pintu keluar aku cari dahulu untuk lari dari situasi ini. Alhamdulillah, berjaya juga. Sebaik sahaja dapat keluar, aku terus duduk di laman tepi bukit menghadap padang besar. Aku kesat peluh di dahi. Fikiran masih lagi serabut dan celaru dengan bayangan dan dengan apa yang aku alami di bilik abang.

Terbayang-bayang ‘mata’ itu. Walaupun secara kasarnya tidak bertentang mata, ia tetap membuat aku gelisah. Resah dan berpeluh. Entah berapa lama aku duduk di situ, aku pun tidak pasti. Yang aku pasti aku tidak sanggup untuk duduk di dalam rumah itu berseorangan.

Lamunan aku terhenti bila aku terdengar bunyi enjin Mazda hijau kakak menderu menaiki bukit. Kali pertama aku merasa lega bila nampak kakak balik. Heh! Aku tersengih.

“Dah jumpa kawan ke belum?” soal kakak. Aku geleng.

“Belum,” pendek jawapanku. Dalam hati aku menyambung, jumpa orang lain, kak.

‘Mereka’.

Semenjak hari itu, aku memendam rasa. Rasa takut itu aku pendam dalam-dalam. Berlagak berani, seperti tiada apa yang berlaku. Terpaksa. Bukan apa, aku budak lelaki. Ego.

Oleh kerana tidak mahu dicop penakut atau bimbang aku seorang sahaja yang merepek, aku tidak menceritakan hal itu kepada sesiapa pun dalam rumah itu hinggalah hari ini.

Baru aku tahu, pengalaman yang aku lalui itu wajar, memandangkan seluruh ahli keluarga yang tinggal di rumah atas bukit ini telah terlebih dahulu mengalami peristiwa yang pelik-pelik sebelum aku.

Hish.

__________

Begitulah pengalaman Uncle di rumah atas bukit. Untuk pengetahuan kau orang, rumah itu rupa-rupanya pernah dibiarkan kosong tiada penghuni selama 3 atau 4 tahun. Sudahlah rumah itu berusia lebih 30 tahun, dibiarkan kosong pula.

Nasib baik Uncle tak cerita dulu. Kalau tidak, aku tidak dapat bayangkan keadaan kami ketika itu. Mungkin juga selama setahun kami akan tidur dalam master bedroom sehingga ayah benarkan kami pindah keluar dari rumah itu. Heh!

Ambil nota : Adik dan Nan langsung tidak berani masuk bilik abang. Kalau lalu depan bilik abang pun dia orang akan lari sekuat hati. HAHA!



Tuesday, November 22, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : 'LAMPU AJAIB'

Waktu itu jam sudah menunjukkan angka 7.45 malam. Selepas solat maghrib, selalunya mak mahu kami semua anak daranya membantu menyediakan makan malam bagi haru tersebut.

Aku, sebagai kakak yang tua, paling rajin masuk ke dapur. Jiha pula jadi pegawai pemerhati sahaja ketika itu. Aku masih ingat lagi mak menyuruh aku memotong ayam kepada 16 bahagian untuk dimasak kicap.

Kegemaran kami sekeluarga memang hidangan ayam masak kicap. Maka aku dengan semangat dan rajinnya membantu mak sambil diperhatikan Jiha. Aku cuba membuat kerja sambil berbual dengan Jiha. Entah bagaimana, perbualan kami hangat, makin lama, makin sengit dan akhirnya berkesudahan dengan pergaduhan besar.

Aku meninggi suara, begitu juga dengan Jiha. Masing-masing tidak mahu kalah walaupun benang masing-masing dah basah. Mak punya penyataan yang betul sebenarnya. Sungguhpun begitu, memang kebiasaannya, aku dan Jiha kalau gaduh tidak akan mengalah sama sekali.

Tidak semena-mena kedengaran satu bunyi riuh rendah sekawan burung yang sangat banyak, mungkin baru pulang petang. Burung-burung tersebut seolah-olah ikut gaduh sekaki bak kata orang sekarang join sekaki. Ilah hairan lantas memandang ke arah luar rumah, namun tidak nampak sekawan burung mahupun seekor burung pun yang berterbangan di luar rumah.

Aku dengar bunyi tersebut datang dari arah bangsal kayu yang terletak di bahagian belakang bilik orang gaji rumah atas bukit. Selepas dengar sahaja bunyi itu, kami berhenti bergaduh sebab suara burung yang riuh itu mengganggu kosentrasi aku untuk gaduh lebih panjang lagi.

Agaknya malas nak menyambung gaduh selepas itu, Jiha menyertai adik-adik lain menonton kartun Doreamon.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kereta Volvo ayah masuk ke dalam garaj. Pintu rumah terkuak dari luar dan muncul ayah di muka pintu. Wajahnya tidak berapa elok ketika itu. Nampak seperti tidak senang akan sesuatu atau kata pendeknya marah.

“Siapa guna bilik air atas tak tutup lampu balik?” tinggi suaranya kerana ayah memang pantang kalau kami mengamalkan sikap membazir elektrik. Mak cuba menenangkan ayah dengan bersuara lembut.

“Bilik air mana?” tenang suara mak bertanya.

“Bilik akak.” balasnya sambil memandang ke arahku. Aku dengan jujurnya mengaku.

“Bukan akak yang pakai last sekali. Akak ambil air sembahyang dekat bawah ni tadi,” balasku selamba dengan nada kerek. Setelah mendengar jawapanku, pandangan ayah beralih kepada sekumpulan anaknya yang sedang khusyuk menghadap tv.

“Siapa guna bilik air atas tak tutup lampu balik?” ayah ulang soalan bagi mendapatkan jawapan sambil menunjukkan kuasanya sebagai ketua keluarga.
“Kita orang tak guna bilik air atas. Hari ni kami duduk kat bawah je,” balas Jiha.

Ada je jawapan, tak nak mengaku. Pergi tutup sekarang,” perintah ayah.

Semua orang terdiam. Masing-masing tidak mahu berganjak dari tempat duduk. Mungkin tidak mahu meninggalkan kartun Doreamon ataupun takut mahu naik ke atas bilik seorang-seorang. Berteman pun belum tentu berani.

“Lekas,” perintah ayah lagi. Semua tunduk.

“Takutlah ayah,” Jiha bersuara mewakili semua orang. Ayah mendengus sambil merungut kecil. Sudahnya, dia melangkahkan kakinya sendiri naik ke tingkat atas untuk menutup lampu.

Aku tidak peduli sangat sebab aku sibuk masak dengan erti kata lain aku selamat, tak perlu naik atas tutup lampu. Heh!

Kemudian kedengaran lantai tingkat atas yang berlantaikan kayu pakir berderap laju dan ayah berlari menuruni tangga. Sampai ke dapur, ayah duduk di kerusi. Dia cuba bertenang.

Semua orang pergi mendapatkan ayah. Mak pelik.

“Kenapa ayah?” Soal semua hampir serentak. Ayah buat-buat gelak.

“Tak ada apa, ayah kejar tikus. Tapi dah lari ikut tingkap bilik abang.” Jawab ayah dengan tenang. Kami ketawakan ayah. Kami rasa perlakuan ayah sangat kelakar.

Lewat malam itu, suara burung-burung yang riuh itu kedengaran lagi dari bangsal kayu tersebut. Aku jenguk keluar tingkap dan memandang ke arah bengsal kayu tersebut namun dek suasana gelap gelita, pandangan aku jadi terhad.

Burung bising malam-malam ni buat apa pula? Tak nak tidur kah? Bebelku seorang sampai tertidur.

************

Mak masuk kejut aku pagi itu. Aku sembang dengan mak sambil kemas bilik.

Mak dengar tak bunyi burung-burung tu lagi tengah malam semalam?” soalku.

“Dengar juga,” jawab mak pendek. Mak pandang aku.

“Kenapa?” soalnya kembali. Aku jungkit bahu. Banyak sangat peristiwa pelik yang sengaja berlaku untuk menarik perhatian kami sekeluarga.

“Bukan apa mak, belakang tu mana pernah ada burung singgah situ. Kat situ kan ada ular,” ujarku. Mak diam.

“Burung jarang berkicau tengah malam kalau tidak ada ‘benda’ mengusik mereka,” jawab mak memberi jawapan supaya muka tanda tanya aku lenyap. Aku angguk dengar jawapan mak.

Faham sangat dah. Macam-macamlah ‘mereka’ ni!

Kemudian mak cuit aku.

“Mana ada tikus semalam,” kata mak memulakan bicara. Aku berdebar kerana aku dengan segera sudah dapat menangkap apa yang mak maksudkan. Iaitu bilik air dalam bilik aku tidur ini.

Aku membuang pandanganku ke arah bilik air itu. Lampunya tertutup. Begitu juga pintunya.

“Masa ayah balik dari surau semalam, dia nampak lampu bilik air kamu terbuka. Tapi masa dia naik mahu tutup lampu, dia terkejut. Lampu dah siap tertutup pula. Itu yang buat ayah lari tu,” cerita mak. Aku terdiam namun kepalaku ligat berfikir.

Serba salah. Nak gelak ke nak takut?

Aku merasakan peristiwa itu kelakar sebab pertama kali rasanya nampak ayah yang macho itu, takut, namun mulai pagi itu aku dan adik-adik, sain kontrak mandi dan ambil air sembahyang guna bilik air tingkat bawah.

Bilik tidur itu juga kosong pada waktu malam akibat kami semua adik beradik tidur master bedroom selama satu bulan. Aku selamat sebab aku tinggal di asrama. Heh!

Ambil nota : toilet tu kami guna kalau terpaksa saja. Itu pun tidak sampai seminit. Pemilik sebelum ini, anak perempuannya berusia 12 tahun dan 8 tahun terperangkap setengah jam dalam bilik air yang sama beberapa tahun sebelumnya. Diceritakan sendiri oleh budak perempuan yang terperangkap itu. Pintu bilik air terkunci ketat dan lampu terbuka dengan sendiri. Mereka dapat diselamatkan bila pintu itu dikopak.



Friday, November 18, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : KENDURI BACA YASSIN

Aku dengar kisah ini buat kali pertama, semalam. Kisah ini terkeluar dari lipatan sejarah mak rentetan kisah ‘pokok jambu air’. Rupa-rupanya, kejadian ini berlaku ketika kami baru sahaja menduduki rumah atas bukit tersebut dalam tempoh beberapa bulan.

Sejak memasuki rumah itu, ayah terlebih dahulu mengalami peristiwa pelik-pelik. Rupa-rupanya ayah tidak boleh tidur selama sebulan dan selepas itu, cirit birit pula. Sebulan juga.

Jumlahnya, 2 bulan. Dalam tempoh itu juga, ayah mengalami belakang badannya di cakar ‘mereka’, banyak kali. Ayah cakap, dia tidak stress atau susah hati pun sehingga tidak boleh tidur pada waktu malam. Keadaan jiwa dan raganya biasa-biasa saja. Tiada tekanan rumahtangga mahupun bebanan kerja.

Namun begitu, siang ayah boleh tidur. Tapi hanya di pejabat bukan di rumah. Sudah banyak solat tahajjud, mahupun solat hajat malah membaca al-quran (selalu dapat tidur lena lepas baca Quran) telah dilakukannya, namun usaha ayah tetap gagal. Mak merungut, sebab ayah selalu kejut mak suruh teman dia bersembang setiap malam. Heh!

Atas nasihat mak, ayah pergi berubat dengan seorang guru alim, bagi bertanyakan tentang simptom-simptom berikut, kerana doktor kata ayah okey. Darah tinggi pun tidak, stress pun tiada.

Selepas berjumpa dengan ustaz tersebut (sudah pun arwah), ada sedikit perubahan. Namun, tidak lama selepas itu, simptom berulang kembali. Atas nasihat ustaz dan persetujuan mak, ayah ambil keputusan untuk membuat kenduri membaca yassin dan doa selamat bagi menjauhkan apa-apa yang menganggunya ketika itu.

Tetamu yang ayah jemput ketika itu adalah pelajar lelaki sekolah asrama dan beberapa orang warden. Mak cakap, ramai. Lebih daripada 50 orang termasuk ahli keluarga kakitangan sekolah yang dijemput sekali.

Majlis malam itu dimulakan dengan bacaan yassin di ruang tamu satu. Warden-warden dan pelajar-pelajar duduk dalam satu bulatan, termasuk seorang warden yang aku namakan dia sebagai Cikgu N.

Syukur alhamdulillah, secara zahirnya majlis bacaan yassin dan doa selamat telah berlaku dengan lancar tanpa apa-apa gangguan dari dalam rumah kerana kanak-kanak macam aku dibiarkan bermain di luar rumah. Meriah malam itu.

Dia orang macam tengah berhari raya la pulak. Lepas makan-makan, mereka lepak-lepak sampai pukul 11 malam. Setelah masing-masing pun mula menguap, mereka minta diri untuk beransur pulang. Begitu juga tetamu perempuan yang datang membantu mak didapur, termasuk isteri Cikgu N.

Mereka adalah tetamu terakhir yang melangkah keluar dari rumah. Isteri Cikugu N dengan mak memang rapat. Rakan mensyuarat tingkap mak.

Sebelum pulang, Cikgu N gamit ayah dan mak. Ada perkara yang nak disampaikan, tapi agak rahsia pula lagaknya.

Artist : Aie Afat

Dengan penuh keyakinan namun hati-hati, dia cerita pada ayah sesuatu yang memeranjatkan aku sewaktu mendengarnya dari mak. Sudah tentu mak dan ayah reaksinya lebih kurang aku ketika itu.

Dia tanya ayah, adakah kita ada bela binatang? Ayah geleng. Mak pelik.

Sambil menarik nafas panjang, Cikgu N cakap ketika majlis bacaan yassin sedang berlangsung, dia ada ternampak satu binatang berwarna hitam, berjalan melintasi bulatan bacaan yassin yang pelajar-pelajar buat di ruang tamu 1 tadi.

“Muncung dia serupa tikus tapi kakinya panjang dan badan besar sedikit dari kucing.” Katanya penuh semangat sebelum menyambung.

“Binatang itu melintas dan masuk dalam stor bawah tangga. Ingatkan memang ada bela binatang. Saya pun selamba sajalah. Tapi bila fikir-fikir semula, saya tidak pernah pula nampak binatang macam itu.” Ujarnya. Mak pandang ayah. Isteri Cikgu N, cuit mak.

“Binatang apa macam tu? Memang tikus kot,” ujarnya. Mak hanya terdiam tanpa membalas.

“Betul ke?” soal ayah. Cikgu N angguk. Setelah memberi nasihat dan sepatah dua kata selepas itu, Cikgu N dan isterinya pulang.

Seperti tidak percaya, hakikat itu terpaksa ayah dan mak telan tanpa memberitahu kami adik beradik. Patutlah ayah selalu buat-buat cool. Sebab dia sudah tahu. Pesannya hanya satu.

JANGAN TEGUR.

Mak cakap, dia dengan ayah duduk berbincang dalam master bedroom, mesyuarat tergempar. Mak mahupun ayah kehairanan kerana ‘mereka’ begitu berani dan tidak takut langsung. Yalah, bacaan yassin tidak membawa apa-apa kesan kepada ‘mereka’.

Sudahnya, keduanya tidak boleh tidur malam itu. Mereka juga sepakat perkara itu dirahsiakan dari pengetahuan siapa-siapa dalam rumah ini.

“Esok kena jumpa lagi dengan ustaz tu.” Ayah putuskan dengan tegas. Mak angguk akur.

Namun begitu, keputusan tetap sama walaupun pelbagai perkara sudah dilakukan ayah mengikut nasihat ustaz tersebut. Ayah tetap bersabar biarpun usaha murni itu gagal. Tepat 2 bulan simptom tersebut hilang dengan sendiri tanpa pengetahuannya.

Kalau kami tahulah agaknya ketika itu, mesti kami jerit macam ni :

NAK BALIK RUMAH LAMA!!
NAK BALIK RUMAH LAMA!!
NAK BALIK RUMAH LAMA!!!!

Sambil hentakkan kaki beramai-ramai. Heh!

Ambil nota : Malam itu, disebabkan ramai tetamu, kitorang siap main buaian lagi bawah pokok durian. Yalah, abang-abang hensem semua datang, kenalah tayang muka. Hahaha!!


Thursday, November 17, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : KENDURI BAWAH POKOK RAMBUTAN

Kali ini punya cerita adalah pengalaman yang selalu kami alami sejak tinggal dekat rumah atas bukit. Lama-lama ia menjadi perkara ‘alah bisa, tegal biasa’ kami sebab selalu sangat berlaku sampai kami naik tak hairan dah.

Walau bagaimanapun aku akan cerita salah satu kejadian yang mak alami. Kebetulan waktu itu kami semua ada di rumah. Cuti penggal persekolahan selama 2 minggu. Tahun mak tak berapa ingat tapi, dia tahu kami memang ada dalam rumah.

Masa aku bertanya mak berkenaan perkara yang sama, aku mengakui waktu itu aku juga mendengar perkara yang sama, hanya berbeza sedikit pengalamannya.

Setelah semua selesai makan malam dan mengemas dapur, kami lepak sekejap depan tv. Jam menginjak jam 11 malam dan siaran tv sudah hampir tamat. Aku dan adik-adik lain sudah siap-siap nak tidur.

Seperti selalu, jika aku ada dirumah, aku akan heret adik-adik tidur bilik belakang a.k.a bilik aku. Aku sudah tak mahu tidur bilik mak sebab tak ada privasi nak bergossip sebelum tidur.

Kebetulan aku tidur di tingkap atas katil 2 tingkat sebelah tingkap. Sebagai akak, aku mengalah dengan yang lain-lain sebab dia orang nak tidur katil bawah. Aku tak ingat butir gossip tingkap kami, yang aku tahu, akhirnya semua tertidur tinggallah aku terkebil-kebil seorang-seorang atas katil.

Pintu bilik kami biar terbuka sebab tak nak keadaan bilik terlalu gelap. Maka cahaya dari tangga membias sedikit ke dalam bilik. Keadaan di luar senyap sebab semua orang dah  masuk bilik masing-masing untuk tidur.

Tengah aku termenung dan mengelamun, aku terdengar bunyi riuh rendah dari arah luar rumah. Jam aku tengok dah menunjukkan pukul 12.45 malam. Aku budget, bunyi datang dari arah belakang rumah kami sebab tingkap sebelah katil aku tu menghala ke belakang rumah.

Aku tengok dari celah-celah kekisi tingkap. Dekat luar gelap gelita. Ada cahaya lampu jalan sahaja. Namun bunyi bising itu jelas kedengaran di telinga.

Ada bunyi makcik-makcik bersembang, sedang memanggil orang, dan suara lelaki muda sedang bercakap-cakap sambil buat kerja. Percakapan mereka tidak dapat aku tangkap butirnya. Suara mereka dapat didengari, tapi apa yang mereka sembang aku tak pasti.

Keletang, keletung, ting ting…

Bunyi pinggan mangkuk, talam, sudu-sudu, bunyi periuk belanga berlaga-laga jelas kedengaran. Ni mesti tengah basuh pinggan ni, ujar aku dalam hati. Waktu supper bukan dah lama ke habis? Baru nak basuh pinggan malam-malam buta ni? Bila dia orang nak siap buat kerja? Takkan tidur kat situ kot? Aku keliru dan pelik sikit.

Tapi yang aku pasti, waktu itu yang aku merungut dalam hati saja. Bising betul orang dewan makan ni buat kerja. Tak reti diam ke? Buat kerja pun nak kecoh-kecoh.

Aku mengalihkan badan mengadap ke arah lain. Malas nak layan. Akhirnya aku tertidur tanpa berbuat apa-apa.

*******

Aku tolong mak buat sarapan pagi itu. Semua orang sudah sambung tidur balik sebab hari cuti, dan ayah tidak membuat apa-apa pengumuman pun nak pergi ke mana-mana hari ini.

Sengaja aku membuka bicara untuk aku berbual dengan mak sambil buat kerja.

“Mak, semalam akak tak boleh tidur sebab orang dewan makan bising sangat,” ujarku sengaja nak bermanja.

“Bising? Mana kamu tahu orang dewan makan?” tanya mak. Ada bunyi suspen pada suaranya.

“Yalah, basuh pinggan, sembang kuat-kuat. Tak boleh tidur tau. Tak ada ke orang pergi tegur dia orang tu mak? Suruh ayah pergi marah dia orang mak,” kataku dalam percubaan menjadi batu api.

“Mak dengar orang basuh pinggan mangkuk dengan periuk belanga je. Tak ada pulak mak dengar suara orang cakap-cakap.”

“Yakah?” Soalku sambil pandang muka mak. Kemudian mak angkat kening.

“Lagipun, sekarang kan cuti sekolah. Dewan makan tutuplah kak,” balas mak selamba. Heh!

“Habis mak? Bunyi semalam tu?” soal aku, masih tak puas hati. Namun mak jungkit bahu saja tanda tak tahu. Tapi kemudian selamba saja muka mak masa dia beritahu aku perkara itu.

“Mereka buat kenduri bawah pokok rambutan semalam.”

Mata aku terbeliak dengar kenyataan mak. Mak cakap dia dengar jelas dekat area pokok rambutan belakang bilik dia selepas tengah malam tadi.

Aku pandang luar tingkap dapur. Terus nampak pokok rambutan yang rendang dan suasana redup bawahnya. Tiba-tiba Nan dengan Adik masuk dapur sambil membawa traktor mereka.

“Mak, nak main kat belakang ya?” Soal Nan. Adik tersengih disebelah Nan.

“Kat mana?” Soal mak sambil tangannya memotong sayur.

“Tu, kat bawah pokok rambutan tu. Best akak, tak panas pun.” Balas Nan selamba sambil buat muka bangga dengan aku. Mak pandang aku. Aku dah resah. Fikiran ligat berputar.

“Eh, tak payahlah. Jom kita mandi kolam kat belakang nak?” Soalku untuk mengalih perhatian mereka.

“Boleh ke mak?” Soal Nan untuk kepastian. Maklumlah selama ni mak jarang mahu beri mereka kebenaran mandi dalam kolam plastik yang ayah beli haritu.

“A’ah. Hari ini mandi kolam je. Tak payah main kat luar.” Balas mak.

“Yeay!!” jerit keduanya. Aku tengok mak. Dia buat-buat cool. Aku faham. Selepas malam tadi, takkan selamba je nak pergi main bawah tu kan?

Kalau main juga bawah pokok rambutan tu, agak-agak ‘mereka’ jemput tak kami makan? Heh!

Silap haribulan, siap buat menantu! Hish mintak simpang.

Malam tu kenduri berlangsung lagi. Kali ini, aku tidur tengah-tengah Jah dan Ilah. Mata dan telinga, aku tutup rapat-rapat.


RUMAH ATAS BUKIT : TOLONG SAPU SAWANG DAN BUAT AIR PULAK!

Artist : Aie Afat

Dah banyak kali mereka mem’propose’ untuk aku publish cerita ini, namun sebab aku tiada di tempat kejadian, maka penghormatan ini aku beri kepada Ilah dan Jah untuk bercerita mengikut pengalaman masing-masing.

Kali ini cerita datangnya dari Ilah, adik perempuan kedua aku. Aku dalam cerita ini adalah Ilah dan Akak tiada kena mengena dalam kejadian ini sebab akak sekolah. Sekolah asrama. Peristiwa ini dialami sendiri oleh Ilah dan Jah, sewaktu masing-masing berumur 11 dan 9 tahun.

Maka cerita dibawah aku salin dari email yang mereka hantar ke email aku. Aku ubah struktur ayat sikit untuk aku samakan standard blog ini dengan cerita mereka.

Ilah dan Jah (1997):-

“Sejak aku tinggal di rumah atas bukit itu, aku tak pernah nampak ‘mereka’. Syukur alhamdulillah sebab aku ni penakut orangnya.Walau macam manapun yang aku nak cerita ni ialah pengalaman yang pada pandangan aku, ‘mereka’ mengusik aku secara sengaja.

Kejadian ini berlaku ketika aku darjah 5. Tahun akhir kami sekeluarga tinggal di rumah atas bukit. Adik-beradik yang tinggal dalam rumah atas bukit itu, tinggal empat orang. Jadi, akulah heroin otai masa tu. Abang , Akak dan Jiha tiada, masuk sekolah asrama.

Tradisi wajib keluarga aku. Masuk sekolah asrama.

Aku ingat lagi hari itu. Rabu, sebab mak dan ayah pergi ke pasar malam. Memang menjadi kebiasaan dalam keluarga kami asal beli barangan mentah je, pasar malam. Lepas tu pulak, pasar malam yang sama tiap-tiap minggu.

Pasar Malam Rapat Setia. Huh! Boring.

Selesai solat maghrib dan mengaji, mak dan ayah pergi pasar malam dengan Nan dan Adik. Tinggallah aku dengan Jah berdua sahaja di rumah. Aku tak nak ikut sebab banyak sangat homework yang perlu aku siapkan. Siang, macam biasalah. Tengok TV.

Kalau tak siap homework yang cikgu berikan, alamatnya aku kena denda ketuk ketampi 30 kali, esok. Cikgu memang, asal ketuk ketampi je 30 kali, asal 30 kali je aku kena ketuk ketampi.

Aduh! Memang tak best. Pasal itulah aku tak nak kena lagi buat kali ke 8! Rasa nak tercabut dah lutut aku ni. Cabut terus karang tak pasal-pasal jadi orang ‘istimewa’.

Alasan ‘cover’ baeek punya. Heh!

Yelah...yelah. Masa depan aku juga kan?

Malam itu Jah teman aku. Dia budak darjah 3, mana ada kerja sekolah. Sambil teman aku, dia melakukan aktiviti ke-creative-an dan kegemaran dulu, kini dan selama dia iaitu melukis.

Mood malam tu dia nak melukis Cinderella dengan pelbagai fesyen baju. Ala-ala fashion designer pula aku tengok dia ni. Kami membuat tugasan tersebut di tengah-tengah ruang tamu 2. Semua ruang lain, kami biarkan tidak menyala. Hanya lampu di ruang tamu 2 dan bahagian tangga sahaja kami biarkan menyala.

“Jimat.” Pesan mak.

Sedang kami khusyuk dan syok membuat tugasan masing-masing, aku terdengar satu bunyi pelik dari arah tangga. Aku duduk tegak. Mengamati bunyi itu.

Shreeeetttttt....... shreeeetttttt....... shreeeetttttt..........


Bunyi seperti siling sedang dibersihkan menggunakan penyapu ‘sawang’.

Dengan tindakan refleks yang ada pada budak darjah 5, aku segera pandang ke tempat yang berbunyi itu. Betul depan tangga. Setahu aku siling ground floor bukan asbestos sebaliknya lantai simen. Bagaimana pula bunyi itu boleh terhasil?

Aku pandang ke arah pintu pemisah ruang tamu 1 dan 2 yang terletak di tepi tangga yang kami sengaja biarkan terbuka.

Dup...Dap...Dup...Dap...jantung aku bergerak laju.

Aku tengok lagi. Kosong dan malap. Sunyi dan sepi. Ruang itu terbias hanya dengan cahaya lampu dari tangga.

Kenapa pulak sapu sawang ni? Ada orang ke?

Aku mengesot rapat ke Jah. Tapi Jah hanya diam. Buat-buat tak dengar atau memang dia tak dengar. Tetap meneruskan aktivitinya melukis Cinderella dengan gaun kembangnya.

Bunyi apa tu?Aku tanya Jah.

Jah hanya menjungkitkan bahu. Jah tak tahu. Dia tak dengar. Aku cuba amati lagi. Kot-kot ada bunyi lagi lepas itu. Tapi gagal.

TV yang terletak atas almari aku pandang sepi sebab memang dari tadi kami tidak buka. Konon tak nak ada gangguan sebab nak buat kerja rumah sampai siap. Daya fokus aku dah lari sikit sebab badan aku dah mula rasa seram sejuk. Bulu roma dah meremang.

Ehem! Ehem! Aku sengaja berdehem. Nak hilangkan debaran di dada. Macam-macam kesimpulan terlintas dalam kepala aku waktu itu.

Cicak kot. Mesti cicak punyalah. Kataku untuk sedapkan hati sendiri. Aku cuba buat-buat cool macam tiada apa yang berlaku. Kemudian aku sambung semula buat kerja aku. Tapi baru saja aku nak cuba mengkhusyukkan diri membuat homework balik, ada sesuatu bunyi datang dari dapur pula.

Ketung...keting...ketung...keting...

Ketang...keting...ketang...keting...

Bunyi sudu berlaga dengan kaca. Macam orang tengah mengacau air dalam jag kaca.

Kali ini Jah pula mencuit aku. Aku tersentak.

“Siapa kat dapur tu?” suara Jah terkeluar kuat sedikit dari nada aku tanya tadi. Hish Jah ni, kan Mak dah pesan banyak kali.

JANGAN TEGUR.

Dengan spontan, Aku dengan Jah memanjangkan leher. Menjenguk pintu dapur yang berbentuk ala-ala pintu bar zaman cowboy.

Gelap. Tiada satu bayang atau pergerakan pun. Bunyi itu masih berterusan seolah-olah ‘mereka’ sedang membancuh air dengan meriahnya.  Bukti menunjukkan bunyi itu tidak dapat dikesan.

Kami tidak berganjak dari tempat duduk tadi. Akibat ketakutan, aku dan Jah segera membaringkan diri ke lantai secara serentak. Berpeluh satu badan.

Aku memandang sekeliling. Siling,  langsir, pintu. Tiada apa yang berubah. Jah, aku peluk rapat-rapat. Aku dapat rasakan badan dia menggeletar. Aku pun sama. Takut.

Dalam fikiran aku waktu itu mengharapkan ayah dan mak agar segera pulang. Masa itu mana ada handphone ni semua. Nak tak nak memang kena tunggu. Akibat ketakutan dan kepenatan menunggu, kami berdua terlelap.

Kami terjaga bila mak kejutkan aku. Mak tanya kami sudah solat isyak atau belum.

Entah kenapa aku bingung dan blur. Namun aku ikutkan juga. Lepas solat, tanpa berlengah aku mengekori mak ke dapur untuk menyimpan barang makanan yang dibeli dan bersedia untuk makan malam.

Jah ikut sekali. Konon-konon nak tolong mak susun barang. Tapi niat aku dan Jah sebenarnya nak tengok sama ada bekas jag berisi air dan sudu yang kami dengar tadi itu ada atau tidak di dapur.

Dapur kemas macam biasa sebab Mak memang pengemas orangnya. Aku tengok sinki kosong. Setitik air pun tiada.

Aku pandang Jah. Dia pun sama. Tak terkata apa. Dalam hati kami terdetik, siapa pula yang membancuh air dalam keadaan gelap tadi?

Kemudian aku tanya mak. “Mana mak simpan penyapu sawang?”

Mak pelik. “Tu.” Balasnya sambil mulut dimuncungkan pada satu sudut di belakang pintu dapur.

Ah, sudah.”

Demikianlah cerita dia orang. Aku memang tahu ‘mereka’ memang suka bancuh air kat dapur tu. Tak percaya, tanya Abang. Dia suka duduk sorang-sorang dalam rumah. Heh!


Wednesday, November 16, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : MAIN GOLEK-GOLEK

Cerita kali ini datang dari seorang warden. Rumah dia terletak jauh sedikit di hadapan rumah kami. Antara rumahnya dan rumah kami dihalang oleh timbunan pokok-pokok ru, pokok buah-buahan dan belukar tumbuh meliar. Memang tak nampak. Rumah dia, kami panggil sebagai rumah dalam hutan.

Menurut dia, waktu itu, malam Jumaat. Dia baru selesai buat rondaan di asrama lelaki. Jam menunjukkan lebih kurang jam 11.30 ke 12 malam. Dia menaiki motor untuk pulang ke rumah.

Aku tanya mak, tapi dia tak pasti ketika itu kami ada dirumah atau tidak. Tapi kalau menurut pengamatanku, peristiwa itu berlaku ketika kami tiada dirumah. Rumah gelap, yang tinggal hanya lampu di bahagian depan rumah dan lampu jalan menerangi laman hadapan.

Dari lokasi asrama ke rumahnya, dia perlu melalui jalan kecil tepi rumah kami. Angin sepoi-sepoi bahasa sewaktu motor kapcai EX5 dia, mendaki jalan berbukit di belakang rumah atas bukit.

Malam nanti hujanlah ni, fikirnya dalam hati. Dia nyanyi-nyanyi kecil.

Sedang dia berangan-angan sambil mendongak ke atas, dia ternampak sesuatu bergolek atas bumbung dapur rumah atas bukit. Sengaja dia menyorotkan lampu motornya ke arah bumbung untuk pastikan apakah benda itu. Takut pencuri.

Apakan daya, lampu motornya macam motor lain juga. Sorot kecil. Suram.

Tidak berpuas hati dia nyalakan sportlight motor. Nak bagi puas hati. High beam. Hah! Puas hati.

Pada mulanya dia ingatkan bola. Nan dengan adik, memang kuat main bola. Petang-petang, selalu main bola depan rumah. Berangan jadi hero bola sepak ala-ala David Beckham. Heh!

Namun, apabila diamatinya sungguh-sungguh, dia terkejut lantas berdebar-debar. Kuat. Dengan jelas dan yakin dia dapat tahu benda yang sedang bergolek atas bumbung itu tanpa jatuh itu, bukan bola mahupun pencuri.

Peluh dah mula memercik bahagian belakang bajunya. Basah. Belum hujan dah basah.

Dalam takut–takut berani itu, dia tengok ‘benda bergolek’ itu tanpa kelip mata mahupun memperlahankan motornya. Semakin hampir, semakin yakin.

Golek..golek…golek…kepala.
Golek..golek…golek…kepala.

Banyak kali. Kehadapan, kebelakang, berulang-ulang. Mulutnya ketika itu sudah kumat-kumit membaca ayat Kursi. Dia berkata lagi, perbuatan itu masih berlaku biarpun ketika itu dia sedang melalui tepi rumah kami.

Golek..golek…golek…kepala.
Golek..golek…golek…kepala.

Dalam hati dia berdoa-doa agar kepala tersebut tidak tumpangnya ikut pulang ke rumah. Mulutnya semakin kuat mengalunkan ayat Kursi. Mujur boleh. Kalau tak mahu dia dikejar, bayangnya. Dia teruskan perjalanan tanpa toleh ke belakang.

Prinsip JANGAN PANDANG BELAKANG di pegang teguh. Walaupun berpeluh dan seram-seram sejuk, sampai rumah dia terus mandi dan tidur tanpa cerita apa-apa pada isterinya.

JANGAN TEGUR. Ucapnya dalam hati.

Dia tidak menceritakan peristiwa itu kepada mak atau ayah kerana bimbang kami takut tinggal di rumah itu. Peristiwa itu diceritakan semula oleh warden lain seminggu selepas kejadian.

Aku tanya mak. “Mana dia tahu itu kepala mak?” soalku.

Ada rambut. Panjang pulak tu. Mata pun ada. Tapi dia tak nampaklah mata tu betul-betul sebab takut nak tengok lama-lama” balas mak.

Ah, payah. Katil aku betul-betul sebelah tingkap tepi bumbung dapur.

Nak ubah katil ke nak tidur bilik lain malam ni?

Bilik lain? Lagi teruk!

Huwaaaaa!!!! Nak pindah rumah malam ni jugak!!

Ambil nota : Kalau nak lari dari bilik aku, panjat ikut bumbung dapur lagi senang. Langkah je. Tak payah terjun-terjun….Oh? Maknanya? Selama ni aku berlagak bilik aku paling selamat. Hampeh!
Ilustration by artist : Aie Afat



Tuesday, November 15, 2011

RUMAH ATAS BUKIT : BILIK ABANG PART 1

Artist : Aie Afat

CERITA 1

Kali ni punya cerita memang paling popular. Permintaan tinggi dari adik beradik aku untuk siarkan cerita ini. Sebab? Kami semua ada di tempat kejadian, kecuali abang.

Menurut kisah pokok jambu air sebelum ini, bilik abang yang berada ditingkat dua memang best. Redup, gelap dan sejuk bak ada aircond.

Namun bukanlah keistimewaan bilik abang yang kami nak cerita sebab bukan ada orang pun selalu duduk dalam tu. Tak kira siang atau malam, keadaan bilik itu sama saja.

Gelap.

Aku tak ingat tahun bila tapi aku yakin peristiwa ini berlaku antara 1995 – 1996. aku tak berapa ingat sama ada waktu itu cuti sekolah atau tidak. Tapi yang aku tahu, abang tiada masa kejadian dan rumah atas bukit, kosong lama. Seminggu.

Kami pulang petang tu lebih kurang dalam pukul 6 petang. Sampai di garaj kereta, aku alert. Tengok sekeliling. Tak ada apa yang berubah. Cuma rumput panjang sikit, kemuncup banyak kat tempat sidai kain.

Akibat yang lain keletihan selepas pulang dari perjalanan yang jauh, aku yang tua ditugaskan pergi buka pintu rumah. Dengan harapan yang tinggi dan dengan pantas aku laksanakan tugas dengan dedikasinya.

Drama Hong Kong kegemaran aku dah mula. Tak nak miss walau seminit pun.

Dengan tenaga yang ada, pintu aku kuak ke dalam, sambil menjinjit sebuah beg baju. Tiba-tiba aku terpandang seekor kucing gemuk berwarna coklat kekuningan tanpa tompok, melintas depan aku.

Langkah kucing itu terhenti bila ternampak aku tengah tengok dia. Dia pandang aku. Mata bertentang mata, seolah-olah terkejut dengan kehadiran aku. Aku memanglah terkejut, sebab setahu aku kami tak dibenarkan bela kucing sebab Jah asma. Kucing adalah larangan sama sekali! Tanpa membuang masa aku terus menjerit.

AYAH! Ada kucing duduk dalam rumah! Dengan semangat suara aku keluarkan.

Tanpa fikir panjang aku kejar kucing itu. Dengan harapan dapat tangkap dia untuk bawa dia keluar rumah.

Apa lagi, kucing itu berlari lintang pukang macam tak cukup tanah. Macam tahu sangat dah dengan keadaan dalam rumah aku, kucing itu tanpa lengah-lengah lagi berlari naik tangga ke tingkat atas rumah. Aku terus kejar.

Nanti dia masuk bilik aku berak, payah pula. Fikiran aku ketika itu.

Aku mengejar lagi dengan pantas. Laju sungguh kucing itu lari sampai tak sempat nak break. Nak tergelincir pun dia lari juga dengan bersungguh-sungguh. Bayangkan kucing gemuk kaki pendek lari. Macam itulah keadaan dia. Sampai di atas, dia melencong ke lorong menuju bilik kami dan bilik abang.

Namun, kucing itu sempat menoleh kepada aku sebelum berlari masuk ke dalam bilik abang. Aku yang termengah namun masih punya semangat, tanpa fikir panjang juga terus buka tombol pintu bilik abang.

Tapi langkah aku terhenti di depan pintu. Aik?

Kenapa perlu aku buka pintu?

Kucing itu masuk ikut mana? Bawah pintu?

Aku tunduk, tengok bawah pintu abang. Semut atau anak tikus je boleh masuk.

Aku hairan. Garu kepala. Aku buka lampu. Terang, namun tiada seekor kucing pun ada di situ. Adik-adik yang mengekori lambat belakang aku, aku suruh tengok kat bilik kami, yang pintunya terbuka.

Aku tengok bawah katil abang. Kosong. Ada habuk saja. Bawah tilam pun aku tengok. Kot-kot dia menyorok macam tikus. Tiada juga. Kemudian, aku buka almari abang pula tapi tutup semula. Takkan kucing boleh buka almari pula. Aku tengok sekeliling.

Pintu bilik air, tutup. Begitu juga tingkap. Aku buka tingkap, aku nampak pokok jambu air dan bahagian dapur rumah aku. Terdengar suara mak panggil kami turun.

Adik-adik datang melapor, semua tempat dalam bilik kami sudah digeledah, namun bayangan dan tapak kucing itu tidak dijumpai. Malah master bedroom juga kami buka pintu dan masuk. Seperti tadi, dia gagal ditemui.

Lenyap begitu sahaja.

Aku pandang siling bilik abang, putih dan rata. Mana kau pergi kucing? Soalku dalam hati. Setelah puas hati, kami keluar dari bilik abang dan tutup macam biasa tanpa usik apa-apa barang.

Kat meja makan, aku termenung. Adik-adik dah bertanya itu ini pada mak dan ayah. Sibuk bercerita mengenai penemuan baru ‘mereka’.

“Kucing tu terperangkap dalam rumah ni ke mak? Kita kan tak ada dalam rumah ni seminggu? Dia makan apa?” Macam-macam persoalan timbul.

Mak bising. Dia kata kami tak tutup tingkap, sampai kucing boleh masuk. Masalahnya mak, kucing tu masuk ikut bawah pintu bilik abang. Yang itu macam mana pula?

Mak diam. Ayah pun diam. Adik-adik, diam. Tapi seminit je. Lepas tu bising balik. Pot-pet. Pot-pet. Masing-masing dengan teori masing-masing.

Aku pula masih tidak dapat mempercayai pandangan mata ini, kucing yang besar dan gemuk, boleh masuk bawah pintu selebar 2 cm.

Di depan mata sendiri. Mata bertentang mata. Tembus pintu masuk bilik abang.

Apa kau buat dalam rumah ini?

Ambil nota : Ilustrasi situasi sebenar sila klik sini.