Wednesday, January 30, 2013

KABUS PUTIH DI LALUAN PUAKA


Hari itu panas betul. Rumah aku tiada air-cond. Biarpun proposal telah berkali-kali kami hantar supaya ayah memasang satu penghawa dingin di rumah lama, rumah kami luangkan zaman kanak-kanak kami, ternyata gagal.

Alasan, jangan membazir elektrik. Nanti menambah global-warming. Haish. Kejam.

Jadi aku dan Jah ambil keputusan untuk keluar window-shopping. Selain jalan-jalan kat tempat berair-cond, kami juga memasang niat untuk cuci mata.

Petang itu kami juga janji dengan ibu, yang kami akan pergi jenguk mereka di kampung.

Di pendekkan cerita, jalan punya jalan, tidak sedar masa berlalu, dan jam telah pun menjangkaui pukul 8.30 malam. Seperti sebelum ini, saya pernah bercerita mengenai laluan ‘istimewa’ yang perlu kami ambil untuk sampai ke kampung halaman. Di sini.

Dah ramai yang memberi amaran. Kalau boleh jangan ambil laluan itu apabila malam tiba.

Penduduk kampung itu pun tidak akan keluar melalui laluan itu jika tidak terpaksa. Namun, bagi kami, nasi telah pun menjadi bubur. Sama ada mahu atau tidak, terpaksa kami telan juga hakikat itu.

Salah sendiri apabila membiar masa berlalu tanpa disedari.

Walaupun ada perasaan sedikit takut-takut, tapi aku gagahkan juga mengambil laluan itu memandangkan aku tidak memandu seorang. Jah ada menemani aku malam itu.

Hati ada sedikit lega dan bersyukur apabila dapat melihat, kiri dan kanan jalan, banyak kereta yang lalu lalang. Memandangkan malam ini, malam minggu, mungkin ramai yang keluar jalan-jalan macam kami juga.

Namun begitu, itu tidak mengubah keadaan kampung itu. Entah di mana masalahnya, walaupun laluan ini dikatakan laluan utama ke sebuah pusat peranginan terkenal di negeri ini, laluan itu tidak banyak diletakkan lampu jalan. Boleh dikatakan juga, hampir tidak ada lampu jalan.

Jalan itu hanya diterangi oleh lampu dari kenderaan yang lalu-lalang disitu.

Kebetulan, ketika aku memandu melalui hadapan sebuah rumah banglo putih di kiri jalan, hanya terdapat kenderaan kami sahaja yang berada di situ.

Kereta di bahagian belakang jauh dari kereta yang dipandu aku (kereta lain ditinggalkan akibat aku yang memandu laju).

Jalan di hadapan gelap gelita.

Mata aku memang lemah kalau memandu malam. Ada sedikit kabur dan jarak pandangan aku terhad. Maka, demi mendapatkan pandangan yang lebih jelas aku memandu sambil merapatkan badan ke hadapan rapat pada stereng kereta. Jarak permandangan aku hanyalah lebih kurang jarak pandangan lampu kenderaanku.

Tiba-tiba terdapat sebuah kereta menyalakan lampu tinggi ke arah kereta aku. Akibat silau dek cahaya tersebut aku turut menyalakan lampu tinggi kepada kenderaan tersebut.

Sebaik sahaja kereta itu lepas dari pandangan kami dengan laju, aku mengalihkan semula perhatianku ke hadapan kereta. Namun ketika itulah aku dikejutkan oleh sesuatu.

Aku ternampak ada sesuatu objek berdiri di hadapan kereta ku. Tapi akibat sudah terlalu dekat, aku tidak sempat menekan pedal brek, lalu aku melanggar objek berkenaan.

Shush!

Kereta ku sedikit bergegar.

Serta-merta badanku tersandar ke kerusi dengan kaki kiri menekan sedikit pedal brek. Aku tidak berhenti, namun kelajuan kenderaan semakin perlahan.

Aku sedar, aku dah berlanggar dengan sesuatu tapi kereta aku dapat menembusi objek itu.

Seperti melanggar kabus atau asap. Tapi ia mempunyai bentuk.

Bentuk seperti seorang perempuan sederhana tinggi memakai telekung berdiri di tengah jalan.

Muncul betul-betul dihadapanku. Betul-betul di hadapan lampu kanan kereta aku.

Mana sempat brek!

Jantung aku berdegup dengan pantas. Aku ingat nak meletup dah jantung aku. Aku langgar orang?

Aku pandang cermin sisi kereta, jika betul aku melanggar seseorang, mesti dia sudah terbaring di jalan sekarang.

Tetapi tiada. Jalan kosong. Lampu dari rumah banglo putih di kiri jalan menunjukkan jalan itu kosong. Tiada orang mahupun objek yang berada di tengah jalan ketika itu.

Kereta yang mengekori kami juga sudah tiada. Walaupun merasa sedikit terkejut dan bimbang, aku teruskan juga perjalanan untuk sampai ke rumah. Pedal minyak aku tekan laju semula.

Jah yang duduk di sebelahku membatukan diri. Seperti aku, Jah juga senyap tanpa reaksi.

Aku rasa dia sedang mendengar dengupan jantungnya sendiri sambil membuat penafian dalam hati yang kami tidak melanggar apa-apa.

Aku tahu aku melanggar sesuatu tapi aku tahu juga bukan orang yang aku langgar. Kalau tidak, pasti kereta aku tidak boleh dipandu ketika ini.

Kalau tidak, pasti aku dapat mendengar bunyi dentuman yang kuat. Impak kelajuan kereta yang melanggar sesuatu objek seperti manusia atau objek pejal, pasti akan mengeluarkan bunyi yang kuat.

Pasti ada kesan kepada kereta ku. Namun aku hanya mendengar bunyi yang sedikit pelik dan keretaku cuma bergegar sedikit.

Tiada impak yang kuat pun. Bunyi enjin juga kedengaran seperti biasa. Tiada yang luar biasa.

Sepanjang perjalanan selepas itu, aku dan Jah senyap, tidak berkata apa-apa. Tidak ada seorang pun yang bersuara. Radio, aku biar terpasang perlahan.

Menutup debaran dalam hati. Takut-takut terdengar bunyi pelik lagi.

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku keluar memeriksa kereta aku.

Tiada apa. Calar pun tiada. Kesan kemek pun tiada. Bersih.

Masuk sahaja dalam bilik, aku mula membuka mulut.

“Jah, masa kita lalu kat Kampung S*** R***** tu, kau perasan tak aku ada langgar something?”

“Perasan. Aku ingat kau yang tak perasan. Sebab tu aku senyap je dalam kereta tadi.”

Persoalan sama yang keluar dari mulut kami.

Hari ini panas terik. Malam ini juga panas dan kering.

Mana datang kabus? Mana datang asap? Asap berbentuk muncul di tengah jalan?

Bunyi tu? Datang dari mana kalau bukan dari perlanggaran dengan kabus itu?

Kenapa kereta aku nak bergegar pula sedangkan ianya hanya berlanggar dengan kabus nipis?

Jah turut membuat pengakuan yang dia dapat mendengar bunyi itu dan merasakan kereta kami bergegar.

Sehingga hari ini, setiap kali aku dan Jah melalui jalan itu, pasti tempat itu kami ingat. Pasti kisah-kisah yang pernah kami dengar sebelum ini, terungkit bersama. Berkaitan dengan laluan ini.

Kaitan yang sama. Banglo putih di kiri jalan dan kawasan perkuburan di kanan jalan.



Monday, July 23, 2012

MANDI MANDA DI SG BERNAM - BATU IKUT-IKUT


Kawasan perkelahan ini memang sempoi. Walaupun tidak besar mana, airnya cukup jernih. Kedalaman air sungai yang mencapai paras pinggang dan kawasan rehat yang luas, sangat sesuai dijadikan kawasan mandi manda. Tambahan pula kawasan ini pedalaman. Tak ramai yang tahu.

Setiap kali kami datang, hanya kami sahaja yang ada. Tiada orang awam lain.

Masih belum banyak kerosakan yang berlaku di sini. Seolah-olah tempat itu, kami yang punya.

SYOK!

Tidak seperti hari-hari lain yang sibuk, entah kenapa kelas hari itu di batalkan. Ramai pensyarah yang ada hal-hal lain selain dari mengajar kami.

Kesempatan itu kami ambil untuk melakukan aktiviti merapatkan hubungan silaturrahim.

Walaupun pada mulanya ramai yang respon di facebook status update, menyatakan keseronokan menyertai aktiviti ini buat kali kedua, namun yang betul-betul dapat hadir hanyalah beberapa orang.

Yang nyata, aku ada di tempat kejadian.

Oleh kerana tak ramai, kami tidak mengadakan parti BBQ. Cukup sekadar salad kentang, cucur goreng dan nasi goreng untuk bekalan buat kami berkelah.

Aku sendiri tak ingat aku bawa apa. Entah-entah bawa diri saja. Hah!

Tumpuan aku hari itu adalah untuk mandi, buat aksi terapung dan gelak ketawa.

Kalau tahu hakikat ini rakan aku Si Medan tu mesti nyampah. Alah Medan, rilek ar!

Lebih kurang jam 9 pagi, aku gerak menaiki kereta kak Mata dan anak-anaknya. Sampai saja ke tempat perkelahan, Medan dan beberapa yang lain sudah basah.

Dah start aktiviti tanpa tunggu aku! Ces!

Kemudian, seorang demi seorang datang sehinggalah jumlah kami lebih kurang 10 orang.

Untuk memeriahkan suasana, kami lakukan sesi bermain air dan beberapa aktiviti keanak-anakan dalam air.

Semasa bermain dan bertepuk tangan dengan meriahnya, aku ditakdirkan untuk kalah awal. 

Terpaksalah aku keluar dari bulatan permainan awal-awal dan mandi seorang.

Aku berganjak ke tengah sedikit untuk menjadi pemerhati luar aktiviti yang masih berjalan. Sedang aku seronok gelak ketawa melihat telatah rakan-rakan yang mencuit hati, tiba-tiba aku terpandang sesuatu di dalam air.

Alamak, selipar siapa yang tertinggal dalam air ini? Soalku dalam hati.

Ini adalah kerana aku ternampak sesuatu yang berwarna oren ‘fluorescent’ dalam air. Aku betul-betul ingat kasut Put tertinggal dalam air, padahal aku nampak Put pakai kasut tu.

Aku cuba keluarkan ‘benda’ itu. Aku pun masukkan tangan dalam air dan pegang ia erat-erat. Takut di bawa air pula.

Tapi aku pelik. Sebaik sahaja aku sentuh benda itu, ianya keras.

Batu rupa-rupanya. Aku keluarkan tangan dari dalam air dan toleh kiri kanan.

Mencari-cari siapa yang akan menjadi mangsa usikan aku.

Aku ingat selipar. Batu rupanya!

Aku nampak Mer dan Wan sedang bergurau senda. Yang lain-lain sibuk bergambar sambil bermain, mereka berdua, suka lain macam.

Saja nak kacau, aku panggil Mer.

“Mer! Mari sini jap!” panggil aku sambil melambai tangan minta dia datang dekat sikit.

“Apa?” balasnya dengan nada teruja. Aku sengih. Bermulalah sesi mengusik. Mer ni lurus sikit. Kalau usik dia mesti syok!

“Cuba kau tengok dalam air tu.” Kataku sambil menuding ke arah batu oren itu.

Tepat jangkaan aku. Dia tengok.

Bila dia sudah menunjukkan reaksi pelik aku sambung, “Siapa yang tertinggal selipar tu?”

“Entah.” Jawabnya pendek. Dia percaya sikit-sikit.

“Cuba kau pegang selipar tu. Tak pun kau tarik dia keluar.” Cadang ku. Disebabkan dia ni lurus sikit, betul-betul dia pegang benda tu.

Dengan nada geram dia balas, “Weh, bukan seliparlah!” kemudian dia tarik batu itu keluar.

“Batu lah! Kau tipu aku. Ces!” aku turut ketawa tapi mata aku tertancap pada batu itu.

Eh?

Warna meroon pula? Bukan tadi oren fluorescent ke?

Tiba-tiba Wan muncul sebelah Mer sewaktu terlihat kami ketawa. Aku waktu itu tak fikir apa-apa lagi. Mungkin biasan air itu membuatkan batu meroon boleh jadi oren.

Boleh ke?

Aku ceritakan semula kejadian lawak Mer terpedaya dengan aku pada Wan yang baru tiba menyertai kami.

“Lain macam je warna batu tu. Buang la jauh-jauh,” kata Wan. Ada reaksi bimbang di wajahnya. Aku dan Mer berhenti ketawa.

Oh, betul juga. Fikirku. Aku bingung sekejap.

Wan minta Mer membaling batu itu jauh-jauh pada bahagian dasar air yang dalam. Bahagian itu kami memang tak pergi sebab dalam dia lebih 6 kaki. Takut tenggelam.

Aku, komfem tenggelam.

Selepas itu, kami pun beredar dari situ menyambung semula permainan sambil bergambar dengan beberapa biji batu yang cantik.

Kami sangat teruja dengan bentuk seketul batu yang seperti diukir bentuk hati. Aku ingat lagi, kami semua mengambil gambar bersama batu tersebut. Macam-macm gaya. Masing-masing menunjukkan keterujaan tentang penemuan batu unik itu.

Termasuk aku.

Entah kenapa, hari itu banyak betul batu bentuk hati ada di kawasan tersebut. Sedangkan sebelum ini kami pernah juga datang main-main kat sini. Tiada pula keadaan yang sebegini unik.

Kemudian, aku bersama anak Kak Mata, main susun-susun batu buat benteng.

Sekali lagi banyak penemuan batu bentuk hati kami jumpa. Dari sekecil-kecil batu sehingga berat yang mencecah 4 kilo.

Dalam hati aku berkata, cantik juga kalau bawa balik buat hiasan. Tapi aku cancel niat tu, sebab memang sah-sah kami tiada aquarium di rumah. Kalau nak kena ligan dengan mak, bawalah sampah banyak-banyak balik rumah. Heh!

Lebih kurang jam 3 petang, kami mengambil keputusan untuk pulang. Sudah habis kecut semua jari-jari baru sedar diri nak pulang.

Sebelum pulang kerana tahu ini adalah kali terakhir kami ke tempat ini, kami pun mengambil gambar beramai-ramai tanda kenangan.

Aku sebagai pemilik kamera Olympus, mengambil alih tugasan mengambil gambar. Sudah standby, aku yang berdiri di dalam air kemudian terpijak sesuatu yang keras dalam air.

Aku tahu aku terpijak batu, walaupun aku memakai kasut getah waktu itu. Aku tak pedulikan keadaan itu dan terus becok menyuruh mereka membuat gaya itu dan ini.

Tidak mahu ketinggalan untuk menjadi sebahagian dari kenangan itu, aku minta Dya untuk mengambil gambar aku dan rakan.

Semasa aku mahu bergerak pergi ke arah kumpulan rakan lain, aku lagi sekali terpijak batu tersebut tapi kali ini aku hampir tergelincir dalam air.

Mujur Dya sempat memegang lenganku. Aku tidak kisah basah, tapi kamera di tangan ini, mahal harganya. Fuh!

Berpeluh nak ganti kalau rosak.

Rakan lain dah tergelak melihat aksi aku yang cemerkap itu.

Aku tetap sporting, turut ketawa. Aku menoleh ke arah batu itu. Dalam hati ada niat nak mencampakkan batu tersebut jauh sedikit dari kami. Takut Dya pula terseradung batu.

Tapi aku tak jadi berbuat demikian kerana batu tersebut merupakan batu berwarna oren ‘fluorescent’ sama macam tadi.

Tak nak lah aku pegang. Kang lain macam pula, bisik hatiku.

Setelah habis bergembira, jari dah kecut, mulut pun dah start membiru, kami pun naik ke darat untuk menukar pakaian.

Lepas ini, aktiviti makan durian pula, jerit kami kesukaan. Setelah memastikan segala sampah sarap kami kutip dan kami bawa balik, ada pula si Medan itu mahu membawa balik batu cantik yang berbentuk hati itu.

Suka sangat pada bentuk uniknya.

Nak buat hantaran kahwin katanya. Kami ketawa. Kak Mata selaku kakak paling tua berkata “Kot ye pun, bagi la hantaran mahal-mahal sikit. Ape ke de halnya batu!” Kami ketawa ramai-ramai mendengar gurauan Kak Mata itu.

Medan garu kepala sambil sengih-sengih macam kerang busuk. Dia kemudiannya meletakkan semula batu tersebut ke tempat asal dan kami pun berangkat pergi makan ‘doghoyan’!

Semasa dalam kereta Kak Mata, aku memerhatikan tempat kami mandi buat kali terakhir. Ni sem akhir. Lepas ini tak datang dah ke sini, kataku dalam hati. Aku pandang air yang jernih itu mengalir tenang.

Tiba-tiba fikiranku teringat semula kepada batu fluorescent yang aku nampak tadi. Eh?

Aku terfikir, bagaimana batu yang sama boleh berada di kaki aku 2 kali? Sedangkan waktu kami mula-mula mandi tadi tiada pula aku terperasankan akan batu yang unik itu. Sedangkan warna batu seperti itu memang ketara lain.

Aku belek semula gambar-gambar yang kami tangkap, mencari-cari objek itu, mana tahu ada dalam gambar kerana kami memang banyak tangkap gambar dalam air.

TAK ADA!

Aku perhatikan pula gambar-gambar yang kami ambil bersama batu bentuk hati tadi. ADA.

Aku ceritakan kepada kak Mata tentang kejadian itu. Kemudian dia tersentak.

“Habis, batu bentuk ‘love’ tu?” dia pandang aku. Aku pandang dia. Bulu roma aku menegak.

“Patutlah banyak batu bentuk love tu ada kat sekeliling kita. Entah-entah memang dia minta kita bawa dia balik kan?” sambung aku. Aku dah terdiam. Begitu juga kak Mata.

“Cuba kamu telefon balik Medan. Takut juga dia terbawa balik batu love tadi. Kang buatnya betul dia bawa balik macam mana?” saranan Kak Mata itu ada benarnya.

Serta merta aku menelefon Medan.

Syukur! Dia tak ambil pun batu itu.

Sampai di tempat makan durian, aku sembang balik dengan Mer dan Wan pasal batu warna fluorescent tu. Mer yang lurus baru terperasan batu yang dia angkat itu, warna meroon sedangkan dia nampak dalam air, sebijik warna macam selipar Put.

“Nasib ko warning aku Wan. Kalau tak..” aku terhenti kat situ. Tak sanggup meneruskan kata-kata yang mungkin boleh menimbulkan kata-kata riak atau besar diri.

“Itulah, masa kau orang gelak-gelak tadi aku rasa warna dia lain macam. Itu yang aku suruh kau orang campak pergi tempat lain,” kata Wan.

Hari itu, kisah mengenai penemuan itu kecoh di FB group kami. Masing-masing dah merasa seram.
Masing-masing menasihatkan agar tidak mengambil apa-apa yang menarik dari dalam hutan kerana ia dipercayai mempunyai pemilik.

Ada juga yang bercerita mengenai pengalaman serupa menimpa keluarga dimana individu yang ada mengambil barang ‘mereka’ dari hutan, perlu berubat dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Itu pun selepas barang ‘mereka’ dipulangkan ke tempat asal dia diambil. Memang bersyukur sangat-sangat!

Aku ceritakan kejadian serupa kepada Fin, ‘housemate’ aku yang tak ikut aktiviti kami. Masa bercerita pada dia petang itu, aku rasa badan aku lain macam. Nak demam.

Fin turut menyatakan pendirian dan ceritanya mengenai barang-barang ‘mereka’ dari hutan. Memang mereka mahu kita ambil. Tapi dengan tujuan untuk mengganggu kita dan agar kita patuh dengan perintah mereka jika mahu sembuh.

Malam itu aku tak boleh tidur walaupun badan dilanda demam kura-kura. Paling teruk adalah apabila esoknya, tengah hari buta lebih kurang jam 12, Fin ternampak ada bayang hitam masuk dapur. Ingatkan aku, rupanya tiada siapa di dapur.

Aduh! Yang itu siapa pula!

Sudahlah bilik aku menghadap pintu dapur! Alamat bertambah demamlah aku!

Nota tambahan : Aku rasa bayang hitam itu muncul kerana gara-gara aku memasang lagu “raise of the spirit’ by Kitaro di bilik tengahari itu. Terus aku delete lagu itu dari playlist! Seram seh!

DI TEBING BUKIT - pada malam Raya



Menjelangnya bulan puasa ini mengingatkan saya kepada satu kisah yang terjadi pada hari Raya, kira-kira 4 tahun yang lalu. Seperti biasa, kami pulang ke kampung nenek yang terletak di Hutan Melintang, Perak. Kami menaiki 2 kereta kerana jumlah kami yang ramai.

Selepas bermaaf-maafan dengan orang-orang kampung dan sanak saudara di Sg Samak, kami sekeluarga pulang semula ke rumah di Pekan Gajah. Kerana pulang agak awal memandangkan masing-masing perlu memenuhi tuntutan kerja yang membernarkan kami bercuti selama 3 hari sahaja.

Malam ke 2 raya, kami pulang. Aku memandu kereta di hadapan membawa ayah dan ibu. Manakala Abang memandu kereta lagi satu membawa adik-adik yang lain.

Jam telah menunjukkan pukul 12.30 malam. Kami berhenti seketika di pekan lombong untuk mengisi minyak. Lalu aku, ayah dan abang berbincang.

Laluan mana patut kami ambil malam ini.

Kesemua laluan menuju ke rumah kami merupakan laluan puaka yang pernah aku ceritakan dalam blog ini.


Setelah berbincang selama 5 minit, kami membuat keputusan melalui jalan puaka 3 kerana laluan itu walaupun di kelilingi lombong dan terkenal sebagai tempat makan kerbau.

Ini adalah kerana laluan itu paling dekat untuk sampai ke rumah. Ayah kata, tak mengapalah. Kita ada dua kereta. Apa-apa hal kereta lagi satu ada.

Doa banyak-banyak. Pesan ayah lagi. Abang angguk. Aku pun angguk.

Setelah itu kami pun mulakan perjalanan balik menggunakan laluan yang telah dikenalpasti. Memang seperti dijangka.

Laluan ini gelap gelita. Namun tiada kerbau mahupun lembu yang datang mengalas perut malam ini.

Dengan kelajuan sederhana, kami berjaya melepasi laluan itu tanpa apa-apa gangguan. Yang aku pasti, ibu dan ayah cuba berbual di sepanjang perjalanan bagi memastikan aku tidak takut memandu.

Aku pandang cermin sisi. Abang memandu dengan jarak yang dekat dengan kereta aku. Mungkin aku perlahan atau dia tidak mahu kehilangan rentak yang sama dengan kereta aku.

Kami telah pun selamat keluar dari laluan puakan itu. kami meneruskan perjalanan menuju ke kawasan perumahan aku yang teletak kira-kira 10 kilometer dari laluan tadi.

Jam telah menunjukkan jam 1.15 pagi. Kiri kanan, rumah kampung sudah sunyi sepi.

Tiada lagi kelihatan pergerakan orang kerana dah lewat malam. Mungkin telah melelapkan mata kekenyangan.

Dengan kelajuan 80km/jam kerana mengantuk dan ingin cepat sampai ke rumah, kali ini kami dikejutkan dengan sekumpulan kerbau melintas jalan.

Hanya beberapa meter sahaja mahu sampai ke kawasan rumah kami.

Aku perlahankan kereta sambil memandang cermin sisi kereta.

Harap-harap abang sempat mem’brek’ kerana jarak keretanya yang hampir dengan kereta aku, membimbangkan.

Kereta ku pandu perlahan sementara memberi laluan kepada kerbau-kerbau itu berlari melintasi jalan dan hilang di dalam belukar di sebelah kiri jalan.

Aku perhatikan kerbau-kerbau itu. bentuknya yang gemuk dan besar, bertanduk dan mempunyai mata merah menyala. 6 ekor semuanya.

Dengan sekelip mata, bayang mereka hilang dari pandangan dan kami meneruskan perjalanan.

Buat seketika kami semua terdiam.

Sampai sahaja di pintu pagar rumah, aku terus pergi mendapatkan abang.

“Kau nampak tak kerbau-kerbau tadi?” soalku. Mahu memastikan bahawa bukan aku seorang sahaja yang nampak.

“Nampak,” balas abang pendek. Aku menarik nafas lega kerana selain aku dan ayah yang nampak, abang yang berada di belakang juga nampak kerbau-kerbau tersebut.

Maknanya tak peliklah kan?

Namun seketika kemudian aku terdiam. Langkah ku terhenti, menyebabkan adik yang sedang berjalan di belakang aku, terlanggar aku.

“Weh, janganlah berhenti tengah jalan,” katanya marah. Dia yang sedang mengantuk bengang dengan tindakan aku. Bukan apa, dia turut di perintahkan membawa beg-beg berat masuk ke dalam rumah.

“Ayah, bukan belah kiri jalan tadi tu bukit ke? Macam mana kerbau-kerbau tu boleh panjat? Cepat pula tu?” kataku. Aku berasa pelik kerana setahu aku laluan sebelah kiri adalah bukit. Tinggi dan dipenuhi belukar.

Adalah mustahil bagi seorang manusia, walaupun berkereta mahupun menggunakan jentolak untuk naik bukit itu apatah lagi sekumpulan kerbau yang banyak.

Kot ye pun kerbau boleh panjat bukit, tapi tidak akan sepantas 15 saat untuk naik ke atas bukit berkenaan.

Ayah terdiam. Mungkin pendiriannya tentang ‘JANGAN TEGUR’ telah disematkan. Abang dah garu kepala. Dia pun pelik.

“Esok akak nak check balik,” ujarku.

“Kat situ la ada pokok besar yang ada kuilkan?” soal ibu. GULP!

Aku telan liur.

Memang ada kuil Hindu lama dan di bina satu lagi yang baru di sebelahnya dicelah-celah bukit itu. Biar betul!

Esoknya, pagi-pagi aku mengikut ayah dan ibu ke pasar pagi. Bukan sahaja nak menolong mereka, tapi juga untuk memastikan tekaan aku itu betul.

Aku minta ayah memandu agar aku boleh memberi tumpuan dengan betul pada laluan dan ‘spot’ tepat semasa kami nampak kumpulan kerbau-kerbau itu.

Aku terkejut dan memang sah!

Ibu turut menjadi saksi bahawa laluan yang digunakan oleh kumpulan kerbau-kerbau mata merah malam tadi adalah bukit yang tinggi. Mencecah hampir 30 kaki dari paras jalan raya. Kedudukan bukit yang rapat di bahu jalan membuatkan aku membuat kesimpulan bahawa kerbau-kerbau itu adalah ‘mereka’.

Ayah diam. Masih memegang prinsip JANGAN TEGUR.

Selepas melintas jalan, kerbau itu terus hilang dari pandangan mata. Kalau betul kerbau mesti mereka terhenti di tengah jalan kerana keadaan yang berbukit itu.

Tambahan pula, mana tuannya?

Lagi menariknya memang aku ternampak 2 kuil kecil terletak di satu sudut bawah pokok besar di tepi bukit berkenaan. Mungkinkah?

Aku tidak berani membuat apa-apa spekulasi yang aku tidak pasti.

Yang aku pasti, malam tu mata ‘mereka’ berwarna merah apabila mengenai cahaya kereta kami.

Fuh!

Nota tambahan : Bertambah laluan puaka yang terpaksa kami lalui semata-mata untuk pulang bertemu ayah dan ibu! Pindah lagi? Hish! Tak mampu rasanya.

Wednesday, July 18, 2012

SIAPA DI LUAR? AKU DI DALAM WOI!

Musim peperiksaan di UiTM memang mencabar. Tambahan pula dalam fikiran, CGPA nak kena top up naik. Takut-takut sangkut, kena buang pula. Silap haribulan grad dengan pointer rendah. Hish.

Naya!

Cerita bermula pada malam kelmarin dulu, beberapa tahun yang lalu. Sudah hampir 3 jam aku terkebil-kebil atas katil tak boleh tidur.

Sebelum tutup lampu ngantuk nak mampus. Bila dah tutup ni, tak boleh tidur pula. Roommate di katil sebelah dah lama berdengkur comel.

Pusing kiri. Pusing kanan. Duduk. Baring balik. Peluh dingin memercik di dahi. Belakang badan dah peluh.

Rasa seram sejuk.

Aku pusing pandang Len yang tengah sedap tidur. Kenapa la awal sangat dia ni tidur? Keluh aku dalam hati.

Tapi roommate aku ni sangat sporting dan baik. Aku ingat lagi minggu tu, dah beberapa malam aku tak dapat tidur malam. Semua gara-gara minggu studi. Kebetulan, subjek sem akhir ni memang mencabar minda. Len tetap sabar dan senyum mendengar keluhan aku.

Malam itu malam Selasa atau Rabu. Yang pasti bukan malam Jumaat. Bilik dah gelap. Suasana blok itu pun dah sunyi. Mungkin semua sedang tidur atau sedang khusyuk studi.

Budak bilik depan yang tadinya terdengar suara sembang telefon pun dah senyap. Hati makin debar-debar. Berpeluh sakan dahi aku. Last-last aku bangun buka lampu meja studi aku. Usaha aku sia-sia.

Tetap tak boleh tidur.

Setengah jam lepas tu, aku buka lampu meja studi Len pula. Dalam hati terasa kesian roommate aku ni. Mesti tak lena gara-gara perangai aku yang tak munasabah ni.

Tapi tak boleh buat apa. Aku tetap tak boleh tidur. Dan Len tetap baik.

LENA je.

Aku tengok jam. 330 pagi. Tak boleh jadi ni! Esok ada kelas tambahan pukul 9 pagi!

Dengan menebalkan muka walaupun tak ada siapa yang nampak aku pergi ke katil Len.

“Len, aku nak tidur dengan kau, boleh?” aku sentuh lembut bahunya.

Len buka mata sedikit kemudian mengenjak sedikit rapat ke dinding. Tanpa berkata apa-apa dia membenarkan aku tidur disebelahnya. Dah dapat tidur sebelah Len, lain pula kerenah aku timbulkan.

PANAS PULA!

Biarpun kipas ligat berputar, aku tetap panas. Aku mengeluh. Aku pandang ke arah meja studiku. Kosong. Yang ada hanya cermin.

Cermin yang menghadap tingkap. Aku pejam mata aku rapat-rapat. Aku tutup telinga aku kejap. Bagi aku cermin itu menakutkan. Walaupun tak nampak apa-apa.

Akhirnya, entah pukul berapa, aku terlelap juga. Tapi tak lama sebab aku tersedar bila jam henfon menyalak dan menunjukkan jam 6 pagi.

Aku bangun kembali pada katil milik aku dan sambung tidur. Tidur-tidur ayam. Len bangun. Aku ikut sekali. Tak nak pergi toilet sorang-sorang!

Aku tanya Len, dia sedar tak aku kejut dia malam tadi. Dia geleng.

“Kenapa ko kejut aku?” soalnya. Sah! Dia tak sedar aku tidur sebelah dia malam tadi.

“Ye ke? Tak pelah. Tak kisah pun,” itu jawapan yang keluar dari mulut Len bila aku ceritakan padanya perihal kerenah ku. Aku garu kepala. Hairan.

Macam mana dia boleh tak sedar sedangkan dia menginjakkan badannya memberi aku ruang tidur di sebelahnya?

Nak dijadikan cerita, akibat ketakutan yang aku alami itu, tidak diketahui puncanya, aku telah menjemput 2 rakan baikku Ros dan Linda buat ‘party’ studi di bilikku.

Dengan harapan, lagi ramai lagi best. Meriah. Tak takut.

Dengan berbekalkan muka cute dan aksi manja, dua rakan yang baik hati itu bersetuju untuk studi bersama dan tidur di bilik aku walaupun kolej diorang jauh lebih selesa dan terletak di atas bukit.

Untuk memujuk mereka dan menyatakan kenyataan bahawa bilik aku pun seronok, aku sediakan extra minuman dan belanja mereka makan burger Ramly special. Ada tambah‘cheese’  lagi. Heh!

Biarpun ‘party’ makan best, kami tetap buat ‘party’ studi. Kami memang belajar.

SUNGGUH-SUNGGUH. Sampai jam 2 pagi.

Oleh kerana aku banyak lagi tidak studi berbanding Ros, Linda dan Len, aku meneruskan studi semasa masing-masing sudah mengadu mengantuk. Mahu tidur. Mereka janji nak bangun semula jam 5 pagi sambung studi.

Aku angguk. Tapi aku belum rasa mengantuk. Malam itu segar pula mata aku. Adakah sebab tidur siang? Heh!

Jam waktu itu, pukul 230 pagi. Aku duduk di meja studi yang menghadap tingkap.

Tingkap sengaja dibuka sejak siang untuk mengudarakan bilik ini. Maklumlah keadaan yang padat boleh mendatangkan kepanasan.  Namun langsir ditutup kerana kalau tidak pemandangan hutan belukar pasti kelihatan tidak berapa jelas ketika ini.

GELAP DAN GULITA.

Ros dan Linda sudah terlelap sewaktu aku menoleh ke arah mereka yang studi di atas lantai bilik. Len sudah terlena meniarap atas katilnya dengan buku terbuka di hadapannya.

Aku panggil nama seorang demi seorang. Hmm.

Senyap. Seorang pun tidak menyahut. Walaupun lampu bilik masih terang benderang, depa tetap lena. Letih kot noh!

Aku kembali kepada buku yang aku baca. Aku tidak ingat subjek apa. Tapi yang pasti ianya berbahasa Inggeris.

Tak sampai sepuluh minit, aku rasa kesian pula pada member-member yang telah lena tersebut. Ingat nak pergi tutup lampu. Aku guna lampu meja studi sudahla, ye tak?

Baru sahaja aku hendak bangun, tiba-tiba aku terdengar satu bunyi pelik dari luar tingkap bilikku yang terbuka itu.

Bunyi seperti orang sedang bernafas. Kuat dari sebalik langsir.

Aku duduk kembali. Aku rapatkan telinga ku ke arah rakan yang sedang tidur.

Tenang sahaja. Sikit pun tidak berbunyi.

Aku jadi pelik. Kemudian, aku dengar lagi. Seperti tadi.

Aku yakin. Bunyi itu datang dari luar tingkap. Di sebalik langsir yang tertutup itu. Tangan kananku sudah mahu bergerak menyelak langsir. Mahu melihat apa yang menyebabkan bunyi nafas itu.

Tapi fikiran aku menahan. Kalau aku selak langsir itu, apa akan jadi pada aku? Aku pandang semula ke arah rakan-rakan ku.

Bukan mereka. Aku pasti! Mereka tidur jauh sedikit dari kedudukan aku yang membelakangi mereka. Sedangkan bunyi nafas itu benar-benar datang dari luar tingkap di hadapanku.

Sekali lagi, hati aku meronta-ronta mahu menyelak langsir itu. Semata-mata mahu mencari punca bunyi itu. Jari jemari sudah memegang kain langsir yang berwarna biru itu.

Sekali lagi juga, fikiran aku melarang.

Dan hati aku berkata, ko biar betul, Nad. Bilik ko ni tingkat 1. Siapa pula nak panjat sampai tingkat satu semata-mata intai ko ni?!

Aku juga hairan dengan diri sendiri. Aku kan penakut, kenapa beriya-iya mahu melihat keluar tingkap? Adakah desakan kuasa ‘mereka’?

Lantas selepas menyedari hakikat itu, segera aku bingkas bangun dari meja studi dan bergerak menuju kepada dua rakanku yang sedang tidur di lantai.

Aku tidur di tengah mereka sambil pejam mata kuat-kuat.

Akibat bunyi tolakan bunyi kerusi yang kuat, Len terjaga. Berkeriuk bunyi katil yang bergerak mengikut gerakan Len. Aku buka sedikit mataku.

Len pandang aku. Aku pandang Len. Ada nada hairan pada pandangan matanya.

Nasib dia faham. Tanpa banyak soal, dia bangun tutup lampu.

Serta merta bilik gelap. Kemudian, dia kembali ke katil.

“Esok kau cerita kat aku ye?” katanya tenang. Aku hanya angguk sambil tutup mata. Tak pasti Len nampak atau tak gelengan kepala aku tu.

Sambil berpeluh akibat takut dan tidur di celah-celah dua manusia, aku masih terdengar bunyi nafas itu berdesir di sebalik langsir. Aku ambil bantal, aku tutup telinga, peluk rapat lengan Ros.

*             *             *

“Weh Mak cik. Bangunlah! Subuh dah nak habis ni,” kejut Ros. Aku menggeliat. Aku pusing kiri. Aku pusing kanan. Tinggal aku seorang saja yang tidur atas lantai.

Aku tengok jam. 0700. Terbeliak mata aku!

“Cepatlah sembahyang. Aku dengaq hang ada citer baguih nak habaq. Pi la sembahyang dulu,” ujar Ros. Len atas katil dah sengih-sengih. Linda dah baring atas katil aku. Tersengih juga.

“Cepatlah!” gesa Linda. Ros menarik tanganku supaya bangun. Tetap sengih-sengih macam tadi.

Hangpa sengih noh!Satgi aku cerita komfem hangpa tak boleh sengih dah! Aku berkata dalam hati.

Memang betul sangkaan ku. Mereka tak sengih lepas aku buka cerita!

Len apatah lagi. Mau tak berdarah kalau aku toreh muka dia time tu. Pucat!

Akibat dari cerita itu, seminggu aku dan Len tak tidur kat bilik kami itu. Aku tidur di kolej Ros dan Linda yang terletak atas bukit itu, manakala Len tumpang tidur dengan member bilik depan!

Kami tak kecoh-kecoh sangat. Tapi kerabat terdekat yang tinggal di lorong itu taulah ceritanya serba sedikit  sebab kami merata menumpang tidur. Hanya ada di bilik tu, time siang atau sebelum pukul 10 malam. Selebihnya gelap. Senyap.

Kami keluar.

Satu hari, budak cantik bilik hujung tanya.

“Awalnya korang tidur. Tak studi ke?”

Sambil tersengih, kami jawab soalan itu, sepakat. Sama ja jawapan kami.

“Kami tidur bilik member. Buat studi group,’ heehehe. Konon!

*             *             *

Kerabat terdekat semua ‘curious’ nak tahu sejarah bangunan itu ataupun ‘bilik’ kami itu apabila mendengar pengalaman aku.

Aku pun ‘curious’ juga. Ada macam-macam versi keluar.

Satu, ada yang kata pernah terdengar makcik jual nasi lemak tengah-tengah malam lalu lalang kat koridor kami yang panjang tu.

Dua, ada yang pernah dengar budak berlari kat koridor itulah.

Tiga, ada budak bilik depan dengar bunyi tapak kasut orang berjalan. Tapi tapak kaki itu hilang sebaik sahaja tiba di bilik kami. Ingatkan kami ada di bilik. Nak pinjam satu pek Nescafe katanya.

Tup tup bilik gelap. Aku ingat lagi masa tu aku dan Len ada sesi perbincangan assignment.

Siapa yang singgah bilik kami tu?

Nak kata orang berjalan pergi toilet, sedangkan bilik kami bukan toilet. Toilet pun jauh. Ada selang lagi 4-5 bilik baru sampai toilet. Hish!

Bila aku dengar, biaq betui hangpa ni!

Aku juga pernah mendengar, pegawal kolej ni bercerita, mereka pernah ternampak kelibat wanita terbang di tingkat 2 melalui tingkap-tingkap bilik pelajar, seawal jam 4 pagi. Aduh!

‘mereka’ itukah?

Patutla, malam sebelum kejadian tu aku tak boleh tidur. Panas semacam.

Nak percaya pun susah. Tak percaya pun tak logik juga. Kalau tak ada masakan aku sukar mahu tidur? Habis bunyi nafas dari luar tingkap tu? Aku tak tidur lagi. Mengantuk pun tak. Sebab aku dah tidur siang tu.

Len dah garu kepala. Dia ni jenis tak suka menempel kat bilik orang lain. Lainlah aku. Kaki menempel. Hah!

Aku dan Len sepakat. Apa nak jadi jadilah. Makin lama kami makin malas nak fikir akan ketakutan itu.

Len lah paling berani. Aku respek sama dia. Hari-hari baca Yassin. Aku balik bilik bila jam dah 8 pagi. Walaupun Len masih lena, aku tahu, dia tidur seorang dalam bilik itu.

Akibat rasa bersalah, akhirnya aku cuba beranikan diri menerima hakikat yang aku dah berselisih dengan ‘mereka’. Tapi walau macam mana pun ‘mereka’ usik aku, ini bilik aku!

Tak caya, tanya mak cik pengurus asrama itu. Kami dah berdaftar secara rasmi sebagai penghuni bilik tersebut.

‘Mereka’ ada?

Akhirnya, setelah berminggu-minggu tidak mempedulikan keadaan itu, dengan mematuhi peraturan sendiri untuk menutup tingkap sebelum maghrib, dan mengaji tanpa jemu, gangguan tersebut pun hilang.

Kami dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan jayanya. Terima kasih kat member bilik depan gak, sebab bersabar dengan kerenah kami, terutamanya aku. Nak pergi buang air sama-sama, basuh baju sama-sama, nak gosok gigi pun sama-sama. Pukul 3 petang pun ajak teman yang paling tak boleh blah tuh!

Haish!

Woi! Aku kat dalam! Kat luar dok main jauh-jauh!

Nota tambahan : Terima kasih buat rakan yang mengajar ketabahan kepada aku >> love send out to Bai, Pau, K.G, Fery, Lenny, Ros & Linda!

Saturday, July 7, 2012

KEM JAMBORI SG BATU PAHAT - MALAM HARI



Aku tidak ingat tahun bila tapi sekitar 2000-2002 peristiwa ini dialami oleh aku dan kawan-kawan geng ‘pengakap’ yang diketuai oleh Aie, si Pengakap Raja merangkap  ketua kem jambori peringkat negeri Perlis. Ketika itu aku dan geng, Rena, Shuda, Ara, Hani dan Roya  bertugas di bahagian makanan.

Malam kejadian adalah malam kedua kami di tapak perkhemahan yang terletak kira-kira 1 km dari Sg. Batu Pahat, Perlis. Dek kerana nak bagi kami yang berumur 20 tahun ini berseronok selepas bertungks lumus memasak, Aie benarkan kami menyertai satu aktiviti yang direka khas bagi kami remaja dewasa. Heh! Iaitu Jalan Malam.

Setelah memastikan semua kanak-kanak riang duduk di dewan untuk acara bersama orang-orang ‘besar’ kami yang tidak berapa besar ini boleh buat aktiviti ‘suka hati’. Tanpa menunggu lama, kami telah siap sedia, tidak sabar memulakan ekspedisi kami yang tidak dirancang ini. 

Sebelum memulakan aktiviti, selaku ketua yang berdedikasi, Aie meminta kami mengira dengan kuat, bagi menentukan berapa ahli yang mengikut ‘rombongan’ ini.

Dengan semangat yang membara dan torchlight di tangan, kami pun menjerit menyebut nombor masing-masing. Setelah siap, terdapat 26 orang semuanya.

“Jalan berpasangan!” Jerit Aie dengan penuh semangat, sebab kami semua syok bersembang.

Kami telah di ‘briefing’ oleh Saman, seorang pakar jalan malam dan merupakan penduduk tempatan yang telah mengenalpasti laluan kami untuk malam ini pada sebelah siang tadi. Kami diingatkan agar berhati-hati dengan batu di jalanan dan anjing yang menjaga kilang batu di tengah perjalanan kami nanti.

“Di dusun nanti pun sama. Banyak anjing duduk dalam belukar.” Terang Saman.

Okey! Jerit kami penuh semangat. Aku berjalan berpasangan dengan Hani, manakala 2 kawan baik ku,  Rena dan Shuda, berjalan di belakangku. Setelah semua sedia, kami pun memulakan perjalanan yang penuh dugaan ini.

Kami diberitahu akan memasuki satu kawasan dusun buah-buahan dan kebun getah milik penduduk tempatan. Jalan lurus yang kami lalui untuk sampai ke dusun tersebut berakhir di kawasan perkelahan Sg Batu Pahat, tapi kami tidak berjalan sampai ke sana.

Keadaan yang gelap dan suram serta tiada cahaya bulan, berjaya membuatkan hati ini berasa sedikit gusar. Malam itu juga, agak panas. Tiada angin.

Seperti yang sudah diberitahu semasa kami melalui kawasan di hadapan kilang arang batu, segerombolan anjing seramai 4 ekor, menyalak ke arah kami dengan kuat.

Terasa bulu roma menegak bila terdengar mereka menyalak sebegitu. Nasib kami baik, mereka berada di dalam pagar yang berkunci.

Kemudian ternampak pula sekumpulan 4 orang berjalan secara beriringan lagak seperti samseng.  Jantung kami berdebar. Aie mengarahkan kami berhenti seketika untuk mengira ahli kumpulan. Seorang demi seorang mengira dengan kuat. Sampai yang terakhir, 26.

Kami meneruskan perjalanan dan kami telah ditegur oleh ketua kumpulan itu. Rupanya mereka adalah penduduk kampung yang sedang membuat rondaan malam.

“Kami pengakap dari Kem Pengakap sana tadi. Kami mahu jalan malam di dusun durian depan tu,” ketua mengangguk tanda faham dengan penjelasan Aie.

Aku memandang ke arah dua lagi ahli JKKK itu. Mereka memandang kami dengan serius tanpa senyuman. Dalam hati ku berkata, kami bukan buat salah pun. Kenapa serius sangat ni? Tapi aku diamkan sahaja.

Takut tercakap benda bukan-bukan. TAK BAIK. KITA KAT TEMPAT ORANG. Pesan Aie.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke satu lorong berupa satu lorong tidak berturap namun, kereta pun boleh melaluinya. Menurut Saman, kami hanya perlu jalan terus kerana tiada lorong mahupn jalan bersimpang yang perlu kami lalui.

Sebelum masuk ke jalan denai itu, kami kira dahulu ahli kami supaya kami tidak kehilangan sesiapa.
Kali ini kiraan kami berhenti pada angka 27.

Aik? Mana datangnya lagi seorang? Tapi seorang pun tidak merasa pelik kerana aku sendiri, mungkin tadi, Aie, tidak mengira dirinya sendiri. Aku rasa yang lain pun berfikiran seperti itu. Seorang pun tidak berkata apa-apa.

Mungkin teringat pesanan Aie.

Oh okey, betullah tu, tak kisahlah. Janji tidak ada sesiapa yang hilang, fikir kami.

Aku dengan Bismillah dan torchlight di tangan, berjalan dengan senyap sambil memerhatikan keadaan sekeliling dusun menggunakan bulan mengambang yang terang. Cahaya lampu aku sorotkan di tanah tempa kami berpijak, takut terseradung batu yang besar.

Keadaan sekeliling dusun ini benar-benar seperti di dalam hutan yang tebal. Pokok berdahan tinggi, belukar yang tebal dan bunyi unggas-unggas sana sini membuatku bertekad. Apa pun aku tidak akan tegur, walaupun dalam hati.

Setelah  beberapa minit berjalan, kami ternampak satu pondok menunggu durian yang sempurna.  Seperti rumah lagaknya, namun gelap. Tiada orang menunggu durian nampaknya malam ini.

Kami berhenti seketika di tepi pondok itu sambil seorang bersuara mengingatkan kami agar mengecam bentuk dan kedudukan pondok ini. Aku sedikit gusar kerana pondok ini menakutkan. Sekali lagi kami mengira ahli rombongan.

27 orang. Cukup. Kami teruskan perjalanan.

Makin lama aku menjadi semakin gusar. Ini adalah kerana keadaan dusun semakin gelap dan berangin. Tanda-tanda mahu hujan. Tambahan pula pasangan aku, Hani dia tidur sambil berjalan. Aduh.

Aku tengah takut ni, boleh pula dia tidur.

Selepas itu perjalanan menjadi sedikit sukar kerana laluan denai mulai tidak rata dan terdapat banyak lubang dan lopak-lopak yang perlu kami perhatikan agar kaki tidak terseliuh. Langkah kami makin lama makin laju, dek masing-masing mahu keluar cepat dari dalam dusun ini.

Tidak lama kemudian, kami ternampak satu pagar kayu di bahagian kiri kami. Aie, mengarahkan kami berhenti dan, seperti biasa kami diingatkan agar mengecam bentuk dan kedudukannya. Pada mulanya aku tidak mengerti kenapa kami harus berbuat begitu.

Ada perkara yang menanti kami rupanya. Dan pagar itu saksi yang amat penting.

Sekali lagi, kami mengira ahli rombongan.

Alhamdulillah, semua masih berada dalam kumpulan. 27 orang semuanya.

Sebelum kami mula melangkah, salah seorang dari kami mencadangkan agar bateri torchlight masing-masing dapat dijimatkan dengan setiap pasangan menggunakan satu torchlight sahaja agar kami tidak kehilangan sumber cahaya kelak.

Aku dan Hani berpakat agar lampu aku digunakan pada perjalanan balik nanti. Sekarang guna Hani punya. Tapi aku yang pegang. Sebab dia nak tidur.

Dugaan perjalanan kami bermula selepas kami bertembung dengan satu persimpangan di tengah-tengah dusun itu. Serta-merta langkah kami terhenti. Masing-masing mencari Saman.

“Aik, aku tak perasan pulak ada simpang ni siang satni. Aku jalan terus ja sampai keluar balik jalan besaq.” Jelas Saman.

Aku mulai rasa pelik. Rena dan Shuda yang berada di belakang aku turut pelik. Aku tambah gusar. Rasa tidak sedap hati.

Bila semua orang tidak berpuas hati dengan jawapan Saman, ini dia jawab.

“Macam mana siang aku boleh tak perasan pulak simpang ni, sedangkan malam ni nampak pulak,” jawabnya. Ada nada ragu-ragu pada suaranya. Menandakan dia juga kehairanan dengan keadaan itu.

Agak lama juga kami berhenti disitu. Disebabkan Saman kata dia tidak masuk kemana-mana simpang, maka kami semua bersetuju untuk mengambil jalan yang lurus. Sebelum berjalan, sekali lagi kami mengira ahli.

Asyik main kira-kira je kan?

Jam ketika itu sudah menunjukkan jam 12.30 malam. Setelah cukup 27 orang, kami berjalan ke hadapan. Kali ini Saman mengepalai rombongan yang tak berapa Cik Kiah ni. Destinasi jalan keluarnya tidak menampakkan batang hidung.

Jejaka-jejaka belakang yang tadi dok sembang-sembang bab motor, mulai senyap. Menumpukan perhatian agaknya. Takut tertinggal.

Kawan sebelah aku ni pulak, bukan nak bantu. Aku pula disuruhnya memegang dan memimpin tangannya. Haish!

Aku sudah terdiam. Satu, sebab dah ponek. Dua sebab risau. Tiga, sebab tak nak cakap bukan-bukan. Empat, nak simpan tenaga sebab nak memimpin orang yang tidor. Hani, Hani.

Di sebelah kiri kami, aku ternampak satu kebun bunga yang tidak berpagar. Walaupun gelap tetap kebun bunga itu. Kemas, nampak seperti di jaga. Tapi dalam dusun pun ada orang nak tanam bunga kertas ke? Hairan tapi seorang pun tidak bersuara.

Atau, aku seorang sahaja yang nampak? Selalunya kalau ternampak perkara pelik, Aie akan mengarahkan kami berhenti mengira ahli. Kali ini tidak.

Beberapa minit kemudian, kami sampai ke kawasan padang yang luas, tapi penuh dengan belukar dan semak samun. Ia kelihatan seperti satu kawasan sawah padi yang terbiar dan tidak diusahakan. Nak dekat keluar dah ke ni? Ada nampak lampu jalan lagi. Tapi mana laluan denainya?

Di hadapan kami, JALAN MATI.

Dari jauh kedengaran suara anjing menyalak sayup-sayup. Aku cuma mampu berdiri dan terdiam. Sambil itu mata mencari-cari denai atau jalan keluar yang boleh dilalui.

Dah nak sampai jalan keluar dah ni, detik hatiku. Ada lampu neon, dan aku ternampak satu kawasan perumahan teres di sebelah kiriku.

Sekali lagi, Saman garu kepala.

“Tadi masa aku lalu ada ja, jalan denai terus sampai jalan besaq. Ka, kita tak nampak denai tu sebab gelap sangat?” bila dia tidak tahu, apatah lagi kami. Aie dan Anip bergerak ke depan. Mencari denai atau laluan jalan kaki.

Kemudian, seorang dari kami bersuara, aku tidak ingat namanya.

“Kalau kita redah, hati-hati ada ular dan anjing dalam belukar. Kena standby kayu. Macam mana? Atau kita semua patah balik?” semua terdiam mendengar kata-katanya. Masing-masing sedang memikirkan pilihan mana yang lebih selamat termasuk aku.

Aku rasa nak melawan anjing, memang kudrat aku tak mampu. Nak pukul anjing sambil bawa beban 50 kilo sebelah aku ni, tak mampu kudrat 42 kilo ni. Takut ada ular lagi. Kalau patah balik pun rasa ralat juga sebab dah jauh berjalan. Lampu pun dah malap. Tanda-tanda bateri dah nak habis.

Aku lihat kawan-kawan lain. Ramai dah terduduk keletihan. Ditambah pula dengan mengantuk. Aku jenguk jam sekali lagi. Satu lebih. Aku sorot cahaya sekelilingku.

Aku seolah-olah sedang berdiri atas batas sawah, di hadapan dan sebelah kanan aku hanya ada belukar tebal, gelap gelita. Ular pun tak nampak. Suara kedengaran anjing sayup-sayup.  Belakang aku, hutan belantara tebal dan gelap.

Namun, hati aku terdetik seketika apabila aku terpandang pemandangan belah kiriku.

Taman perumahan tu. Lampu neon menerangi deretan rumah teres itu. Walaupun kawasan ini kawasan kampung dan pedalaman, namun kawasan perumahan ini lengkap kemudahannya. Rumah berpagar, lampu pun terang. Semua menyala. Jalan besar yang kami lalui sebelum masuk dusun tadi tu pun tiada lampu neon yang terang seperti ini. Sedangkan ia menuju ke kawasan perkelahan yang terkenal di Perlis ini.

Aku juga ternampak beberapa buah kereta yang diparkir di hadapan rumah dan di tepi jalan. Satu perkara menarik perhatianku. Semua rumah di situ gelap. Seperti semua penghuni di dalamnya sudah masuk tidur.

Oh yelah. Dah lewat malam ni. Kami je masih terkial-kial mencari jalan keluar.

Emm, kalau teruskan, mungkin ada jalan keluar dari taman ni. Kalau sesat lagi,mintak tolong je makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang duduk di situ. Tapi ada ke masih yang terjaga? Lagipun, nak sampai ke taman tu, kami terpaksa menempuh belukar tebal yang dikhuatiri menjadi tempat tinggal sang panjang dan sang  kala.

Fikiran kata baik teruskan je. Dah nak sampai jalan besar ni. Namun hati kata patah balik.

Akhirnya semua berpakat untuk berpatah balik kerana ramai ‘girls’ dalam kumpulan ini yang terasa tidak mampu untuk melawan anjing liar tambahan pula peralatan yang tidak mencukupi. Saman pula menguatkan alasan bahawa dia tidak perasan ada kawasan perumahan ini siang tadi.

“Kita dah salah ambil jalan ni,” terangnya. Sudahnya, kami patah balik semula.

Baru je keluar dari hutan gelap gelita tu. Dah kena masuk balik? Aku menarik nafas dalam-dalam. 

Bismillah.

Dengan sisa tenaga yang sudah hampir habis, kami berjalan pantas. Semua dia. Rata-rata pasangan sudah kehabisan bateri torchlight. Ada di antara mereka yang hanya bawa satu, maka, bergelaplah mereka.
Berbantukan cahaya lampu torchlight aku dan beberapa yang sudah malap, kami berhenti di setiap lokasi penanda yang kami nampak tadi.

“Betul tak tadi kita nampak pagar ni?” soal Aie.

“Betul!” sahut kami ramai-ramai. Kami mengambil keputusan untuk duduk sebentar di sekitar pagar kayu itu. Setelah siap mengira diri sendiri, kami pun duduk berehat.

Kami semua di arahkan menjimatkan lampu yang tinggal. Lalu kami duduk dalam kegelapan sambil mendengar deruan angin dan bunyi unggas-unggas yang semakin lama kedengaran semakin pelik. Aku duduk di sebelah Rena.

“Tadi simpang tu kau nampak tak?” soal Rena.

“Nampak.” Kemudian aku diam. Bahagian belakang badanku sudah berpeluh. Terdengar Saman berbual dengan Aie dan Anip. Aku tidak dengar butiran dengan jelas. Tapi aku dengar suara Saman dengan jelas.

“Satgi sampai sana aku habaq.” Katanya. Selepas 5 minit, kami meneruskan perjalanan. Misi kami kali ini mencari pondok durian itu pula.

Alhamdulillah. Ada. Sama seperti tadi. Kami kira ahli. 27 orang semuanya.

Selepas pondok itu, semua lampu ditangan habis tenaganya. Mujur sudah hampir ke jalan bertar. Dengan cahaya bulan yang menjenguk sedikit, akhirnya kami berjaya keluar dari kawasan dusun itu.

Sebaik sahaja kaki kami menjejak jalan berbatu itu, kami berbaris untuk mengira ahli. Biar banyak kali kami mengira. Asalkan tiada satu pun antara kami yang tertinggal atau ‘diambil’ oleh ahli dusun.

Satu kenyataan mengejutkan melanda kami sebaik sahaja selesai mengira.

26 orang semuanya. Aku dan Rena saling berpandangan.

“Check pasangan masing-masing. Cukup tak?” jerit Aie, berjalan dari belakang ke hadapan. Memeriksa semua ahli kumpulannya. Mana la tahu kot-kot ada yang tertinggal.

“Cukup?” soalnya kuat.

“Cukup!” balas kami serentak. Setelah mendengar respon kami, pantas Aie kembali kepada pasanganya. Setelah sedia, tanpa menoleh ke belakang, kami melangkah laju pulang ke kem Jambori pengakap.

Masa itu seorang pun tidak bersuara. Yang terdengar hanyalah derapan kaki yang melangkah laju. Hani di sebelahku masih tertidur dan tidak peduli apa yang sedang berlaku. Sudahnya aku, Rena, Shuda dan Hani jalan beriringan.

Yang lain-lain sudah melintasi kami, tinggallah aku, Rena, Shuda memimpin Hani yang tidur dan Aie dan pasangannya berjalan belakang kami. 

Rasanya, kamilah belakang sekali. Mujur ketika itu teringat nak melihat kilang arang batu. Anjing ada, tapi sudah tidak menyalak. Hanya memerhatikan kami dengan pandangan kosong. Tidak seperti tadi.

Sampai sahaja dalam kawasan jambori, Aie mengarahkan kami semua beratur seperti mana kami berjalan keluar tadi. Oleh kerana masing-masing mahu cepat sampai di kem, barisan sudah berpecah. Maka, Aie meminta kami mengira semua ahli rombongan.

Angka akhir. 26. Sah!

Seorang demi seorang membuka cerita mengenai ‘ahli tambahan’ yang mengikut rombongan kami sampai tersesat dalam hutan tadi.

Ada yang kata ternampak lelaki tua berjanggut putih sebelum masuk persimpangan dusun itu. aku tidak berkata apa-apa kerana aku tidak nampak orang tua yang dimaksudkan oleh mereka.

Sudahnya kami terduduk beramai-ramai di bahagian dapur sambil mendengar cerita Saman.

Siang itu dia pergi memeriksa kawasan dusun itu dengan Anas menaiki motor. Perjalanan masuk ke dalam dusun itu, lancar sahaja. Naik motor 10 minit. Jadi, jalan kaki paling slow pun 20 minit, ujarnya. 

Namun perjalanan yang kami ambil lebih 3 jam. Mula jam 11 lebih, keluar dari dusun, selepas 2 pagi. 

Jalan denai itu, kereta pun boleh masuk katanya. Tapi sumpah dia kata tiada simpang apa-apa pun yang ada dalam dusun itu. semua itu hanyalah kebun dan dusun milik penduduk kampung.

Dusun durian, kebun tanaman pisang dan ladang getah. Tiada simpang.

“Bagaimana pula dengan kawasan perumahan tu?” soalku. Saman garu kepalanya.

“Weh, logik sikit kot. Kat sini kampung. Pedalaman pula tu. Mana ada rumah batu sebiji pun. Kalau tak percaya jom kita tengok esok siang. Aku tunjuk kat hangpa. Durian dengan pisang ja kawasan tu. Kat sini pun tak dak lampu jalan, nun kat kawasan tu ada pula lampu kemain banyak gi.” Katanya.

Serta-merta bulu roma aku tegak berdiri. Betullah. Bila ingat-ingat balik, deretan kereta yang aku nampak tu, kereta proton saga lama. Tahun 1982 punya keluaran. Kemudian, Fiat lama. Ayah aku pun dah campak lombong kereta tu.

Rakan-rakan yang turut mendengar, terdiam.

Betul jugak, cetus hatiku. Sudahnya malam itu kami tidur 4 orang berhimpit dalam satu khemah. Seorang pun tidak berani melepak diluar. Kami duduk berbual dalam khemah, sampai pagi.

“Mungkin simpang yang kita nampak berbukit sikit tu la, jalan yang betul. Entah-entah ‘orang tua’ tu la yang bawa kita jalan terus.” komen Rena. Aku terdiam. Taman bunga itu macam mana? Sampai sudah aku lupa mahu bertanyakan kepada mereka.

Biarpun telah pagi, pengalaman malam tadi tetap menhantui diriku. Kalau lah kami teruskan juga perjalanan, mungkin kami tiada di alam nyata pagi ini. Semasa dalam perjalanan pulang kami ke kampus, sekali lagi kami terkejut.

Benar kata Saman, dusun itu hanyalah dusun durian, kebun pisang dan ladang getah yang bersih. Tidak tebal dan tiada semak samun dan belukar tebal seperti mana yang kami lihat malam tadi. Jauh sekali ada kontraktor yang mahu membina kawasan perumahan perumahan teres di situ.

Alhamdulillah. Kami berjaya nampak jalan yang lurus.

Ambil nota : Kawan-kawan, korang nampak tak taman bunga malam tu? Betul-betul masa kita bertembung dengan simpang dalam dusun tu?
nuffnang_bid = "522b0151707d6b8429295d308f4d25f0";

Saturday, April 7, 2012

BOLA API




Malam itu aku tidak ingat hari apa. Tapi yang aku tahu malam itu sangat sunyi. Aku yang tinggal di dorm depan sedang berjalan menuju ke bilik bersiram asrama yang terletak di hujung bangunan.

Sementara mahu sampai ke destinasi, biasalah. Kawan-kawan dan jiran-jiran dari dorm bersebelahan sibuk menegur aku. Mereka sedang bersiap-siap untuk ke kelas prep.

’Minah! Ko nak pergi mana?’ soal Een. Aku sengih. Budak kelas B yang suka sangat kat K. Heh!

‘Toilet. Nak ikut ke?’ soalku sambil ketawa. Dia mencebik. Dah tanya aku jawab la! Aku sengih lagi.

‘Nanti pergi kelas nak ikut!’ katanya. Aku angguk sambil meneruskan perjalanan aku yang suci itu.

Pergi bersuci memanglah suci!

Semasa aku melalui dorm senior-senior, aku membuang pandang ke bahagian belakang asrama yang gelap gelita. Sengaja, untuk mencabar hati sambil cari penyakit.

Langkah aku terhenti apabila aku ternampak sesuatu yang sangat menarik bagi pandanganku.

Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….
Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….

Kuat bunyinya. Melayang-layang. Terhoyong-hayang.

Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….
Ngeng…ngeng..ngeng…ngeng….

Aku berhenti melangkah dan berdiri di tepi koridor hadapan bilik bersiram sambil memandang benda yang melayang itu. Asyik. Aku mengamatinya betul-betul. Bentuk apa tu?

Apa bendanya tu?

‘Oit!’ Kemudian aku melompat. Terkejut!

‘Apa kau tengok tu, Kak Minah!’ sergah Ten. Aku sekeh kepalanya.

‘Terkejutlah!’ Aku marah. Dia sengih sambil urut kepalanya. Budak tingkatan 3 ni memang suka aku sekeh kepalanya.

‘Sorry, ar.’ Dia turut memandang ke arah ‘mereka’ yang aku tengok beriya-iya itu.

‘Fulamak! Berapi tuu.’ Muncung mulutnya. Aku siku perutnya.

JANGAN TEGUR.

Aku bagi amaran. Kami lihat lagi benda itu melayang-layang dengan laju sambil mengeluarkan bunyi pelik dan bercahaya seperti sedang terbakar.

‘Mereka’ melayang dari arah Felda yang terletak di belakang sekolah aku menuju ke bahagian hutan terletaknya kem tentera darat.

Ten pandang aku. Aku letak jari di mulut. Isyarat diam.

‘Weh, aku nampak macam bola api. Kau nampak apa, kak?’ soalnya.

Dia ni memang nak kena. Berani betul dia ni. Aku jungkit bahu dan cuba buat-buat tidak tahu.

Aku tidak mahu menafsir kerana aku tidak tahu apakah benda itu. Aku pun nampak bola api melayang-layang. Aku mula rasa bulu roma aku menegak. Apa benda itu? Siap keluar bunyi kuat lagi. Wau ke?

Malam-malam main wau? Gila ke apa.

Ada ke wau bentuk bulat? 

Lagipun kawasan yang ‘mereka’ lalui itu kawasan pencawang RTM yang ada wayar besar dan panjang-panjang. Bukan kawasan lapang nak main wau! Main helicopter control pun tak layak!

Persoalan itu terhenti dalam kepala otak kami apabila bunyi siren tanda jam hampir pukul 9.30 malam, dibunyikan kuat oleh ketua pengawas yang satu dorm dengan aku. Heh!

Aku dan Ten kemudian mengambil haluan masing-masing. Takut lambat. Lambat ke kelas prep sama maknanya dengan cuci tandas pada hari Ahad. Eii!

Cepat-cepat!

*****
Balik kelas prep, aku melenggang-kangkung menuju ke dorm Een. Maklumlah geng. Nak paw dia punya megi. Tidak tahu mengapa, perut aku berkeroncong. Padahal tadi dah makan supper!

Alah, supper biskut empat segi tak cukuplah, ujarku beralasan. Een memang baik hati. Lepas aku buat muka kesian sambil merayu, dia bagi megi karinya yang tinggal sebungkus itu saja. Siap letak syarat lagi.

‘Kita share, kau masak!’ katanya sambil ketawa besar. Ces!

Ingatkan nak bagi aku semua! Disebabkan geng punya pasal, aku terus setuju.

La...la…la…la..

Aku berjalan dengan suka hati sambil memegang jug untuk ambil air di bilik bersiram tanpa menyedari apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

Namun begitu, apabila langkah aku tinggal beberapa sahaja lagi untuk sampai ke bilik bersiram, aku mangambil langkah seribu, berpatah balik ke dorm Een.

Aku pulangkan megi kari Een.

‘Dah kau ni kenapa Minah? Tadi beriya-iya nak makan!’ Rungut Een.

‘Lain kalilah!’ tanpa mempedulikan Een yang membebel-bebel itu, aku berlari balik ke dorm aku. Rosak program!

Sampai sahaja aku dalam dorm, terus aku duduk atas katil Ten.

‘Aku tidur dengan kau ye malam ni, Ten.’

Ten kerut dahi. Dia sedang sibuk melipat baju atas katil.

‘Kau kenapa Kak Minah?’ Aku hanya diam sambil pandang Ten.

‘Esoklah cerita,’ kataku sambil mengambil bantal dan selimut dan aku bawa ke katil Een. Apa pun terjadi, malam ni aku nak tidur juga dengan Ten. Tak kira!

***
Pagi-pagi lagi aku dan bercerita dengan Ten apa yang aku nampak pada malam aku cancel nak makan megi kari Een itu.

Sambil siap-siap nak ke sekolah, mulut aku bercerita pada Ten, budak katil sebelah. Aku cerita pada dia seorang saja sebab dia nampak bersama aku semalam. Malas kecoh-kecoh sebab Kak Mawar; ketua pengawas ada. Tengah siap-siap macam kami juga.

‘Bola api tu, patah balik.’ Mata Ten membulat.

‘Kali ini besar sikit. Bunyi pun tambah kuat. Rasanya ‘mereka’ terbang dekat sikit la dengan asrama kita,’ ujarku. Ten sudah takut.

‘Biar betul kak?’ Ten telan liurnya.

‘Betul!’.

***

Sebulan selepas itu, kami pulang bercuti. Seminggu. Cuti semester.

Pulang sahaja ke asrama semula selepas bersuka-ria bersama keluarga, Ten terus mendapatkan aku. Belum sempat dia salin pakaian, dengan nada perlahan dia bercerita padaku.

‘Saya dah tahu apa ‘mereka’ yang kita nampak hari itu.’ sungguh-sungguh dia bercerita.

‘Apa?’ soalku tidak sabar.

‘Penanggal, kak,’ katanya. Bulu roma aku menegak. Badan mula rasa seram sejuk.

‘Mana kau tahu?’ Ten tersengih sambil mengeluarkan senyap-senyap buku Mastika dari dalam begnya. Aku tengok kak Mawar tiada di katilnya. Bagus. Dia turun ke bilik bacaan. Kalau tak, mahu kena rampas buku tu.

“Ten baca dalam bas tadi. Betul kak! Sebijik dengan apa kita nampak hari tu.’ Ujarnya sungguh-sungguh. Aku pun membaca muka surat yang dimaksudkan Ten. Mataku terbeliak dan jantungku berdegup laju.

Aku tidak perlu baca sampai habis. Dengan hanya satu baris ayat sahaja, ia berjaya menangkap segala nafas aku.


Ketika penanggal terbang, ia menyerupai cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.

‘Kan? Betul kan?’ soalan Ten itu aku balas dengan anggukan. Sama.

Apa?!!GULP.

Penanggal rupanya. Dia buat apa terbang malam tu? Cari makan ke?

‘Macam mana kalau ‘mereka’ datang dekat kita malam itu?' soalku. Ten tergelak.

 ‘Apalah kak ni. Penanggal cari darah orang lepas bersalin jelah!’ ujar Ten.

‘Yelah tu. Darah period kita macam mana?’ soalku. Ten garu-garu kepalanya yang gatal tiba-tiba itu.

‘Sama ke?’ soal Ten pada aku. Aku jungkit bahu.

HISH! Mintak simpang malaikat 44!

Malam itu aku tidur dengan Ten lagi. Memang aku cari penyakit! Kan dah dapat penyakit!

Penyakit takut tidur sorang-sorang!

Dalam hati, aku menangis.

Huwaaaa! Aku ada lagi 2 tahun tinggal di sini!

Nota kaki : Aku nampak lagi ‘mereka’ melayang di belakang sekolah setiap kali bulan mengambang penuh sambil mengeluarkan bunyi yang menjengkelkan. Kalau ikutkan hati aku nak je baling dengan batu. Biar ‘mereka’ jatuh!


Pengalaman lain >>


> Histeria di Asrama Puteri
> Laluan Puakan - Menara Condong
> Rumah Atas Bukit
> Master Bedroom